Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

2020: Dunia hiburan norma baru susuli tamparan Covid-19

Dec 24, 2020 | 05:30 AM



Tahun penuh dugaan, ujian dan membawa tamparan hebat buat industri seni dan hiburan sedunia. Begitulah 2020 yang bakal melabuhkan tirainya dalam dunia masih lagi berjuang dengan pandemik Covid-19 yang masuk setahun membelenggu masyarakat dunia. Di sebalik segalanya, penggiat seni tidak berputus asa malah tempoh sukar ini mewujudkan harapan baru apabila ramai mula meneroka dan membangun kandungan hiburan digital. BERITA HARIAN menyingkap dunia hiburan norma baru sepanjang 2020.




DENGAN sekelip mata, warna-warni dunia hiburan sedunia meliputi pesta seni, konsert jelajah dan tayangan filem pecah panggung pudar dek tamparan wabak Covid-19 awal tahun ini.



2020 menjadi tahun getir buat semua sektor khususnya anak seni sedunia yang tergenjot kerja seninya apabila banyak projek dibatalkan atau ditunda sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memerhatikan perintah jarak selamat.



Dalam satu laporan analisis industri kreatif bertajuk Lost Art: Measuring Covid-19's Devastating Impact On America's Creative Economy yang disiarkan di laman kajian Brookings, sebanyak 2.7 juta pekerjaan dalam industri kreatif di Amerika Syarikat dianggarkan pupus dek koronavirus.



Industri itu juga kerugian lebih AS$150 bilion ($200 bilion) apabila khidmat dan produk yang ditawarkan tidak mampu dilanggani seperti biasa.



Industri seni halus dan pementasan yang paling teruk terjejas dan kerugian AS$42.5 bilion di samping kehilangan 1.4 juta pekerjaan.



Namun, hikmahnya - anak seni yang cekal berkarya menyedari mereka perlu inovatif dalam memastikan penakatan mereka tidak terganggu dek wabak yang mengganas dalam diam ini.



Banyak usaha kreatif turut dijana dalam tempoh sukar, sebagaimana yang disingkap semula dalam rencana ini.



TAMPARAN HEBAT BUAT INDUSTRI FILEM



Di merata dunia, pawagam ditutup buat tempoh berbulan lamanya, pesta filem dibatalkan, ditunda atau dialihkan ke format digital mahupun hibrid (apabila keadaan lebih reda).



Khidmat penstriman filem menjadi lebih popular apabila tayangan filem di pawagam tidak dapat diteruskan.



Antara filem yang terpaksa ditayangkan secara digital termasuk filem seram The Hunt, filem cereka sains The Invisible Man dan filem drama komedi The High Note.



Filem yang dinanti-nanti dalam francais filem James Bond, No Time To Die, ditunda tayangannya dua kali, dari April 2020 ke 20 November 2020 dan akhirnya 2 April 2021 kerana masalah kewangan studio yang terkena tempias Covid-19.



Ia dijangka akan bersaing mendapat perhatian penonton kerana satu lagi filem besar F9 (daripada francais filem Fast & Furious) akan ditayangkan pada 2 April juga.



Satu-satunya filem besar yang ditayangkan sewaktu pandemik ini adalah filem aksi cereka sains Tenet yang terpaksa berpuas hati dengan kehadiran kelompok kecil penonton kerana keterbatasan ruang pawagam yang disediakan.



Kutipan 'box office' pawagam sejagat juga merosot sekitar AS$5 bilion.



Industri filem Bollywood, dalam pada itu, turut mengambil langkah tangkas menyiarkan filem besarnya di wadah penstriman Prime, Netflix dan Hotstar.



Filem Amitabh Bachchan, Gulabo Sitabo, mengenai tuan rumah yang selalu bertengkar dengan penyewa bilik di rumahnya misalnya, menarik perhatian pelanggan Prime, wadah penstriman milik Amazon.com.



Di Korea Selatan pula, dunia perfileman Covid-19 terjejas apabila beberapa pembikin filem dan drama disahkan positif Covid-19.



Pengarah drama komedi romantik All About My Wife dan Herstory, Min Kyu-dong, disahkan positif Covid-19 awal bulan ini.



Lewat bulan lalu, penggambaran filem Netflix di Korea, All Of Us Are Dead, terpaksa dihentikan apabila salah seorang kru filem disahkan menghidap Covid-19.



Dengan bisnes pawagam terjejas teruk malah payah memancing penonton yang masih sangsi datang ke pawagam lagi, karyawan seni di sesetengah negara muncul dengan idea inovatif.



Di Filipina misalnya, tayangan filem atas gondola (pawagam terapung) persis suasana di kota berair Venice, Italy, diperkenalkan di sebuah gedung beli-belah di Manila dengan bayaran 500 pesos ($13.80) sehari.



TERHENTI GEGARAN KONSERT



Antara selebriti yang terpaksa membatalkan konsert jelajah mereka pada 2020 termasuk Guns N' Roses, Justin Bieber, My Chemical Romance, Motley Crue, Slipknot, Taylor Swift, 98 Degrees, Shania Twain, Alicia Keys, Green Day dan Bon Jovi.



98 Degrees, Slipknot dan Green Day awalnya merancang singgah ke Singapura bagi jelajah konsert mereka ke Asia.



Sebaliknya, sebagai gantian kepada acara-acara di lokasi fizikal, beberapa selebriti bergabung tenaga mengadakan konsert digital bagi memberi sanjungan buat pekerja barisan hadapan yang bertarung nyawa dalam tempoh pandemik.



One World: Together At Home yang dijayakan Elton John, Billie Eilish, Paul McCartney, Celine Dion, John Legend dan Oprah Winfrey disiarkan pada 19 April hasil usaha gerakan Global Citizen dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).



Konsep persembahan difikirkan penghibur yang dikenali dengan idea gila-gilanya, Lady Gaga.



Konsert digital AXN All-Stars yang disertai penggubah lagu David Foster serta penyanyi Michael Bolton dan bintang Indonesia, Afgan dan Anggun dengan misi serupa memberi semangat kepada karyawan perubatan disiarkan di saluran AXN pada 28 November.



SEMARAK DUNIA DIGITAL



Kerana lebih banyak masa dihabiskan di rumah dek perintah berkurung, ramai selebriti serata dunia memanfaatkan masa menghasilkan rancangan dalam talian.



Ia disiarkan di Instagram, Facebook Live mahupun YouTube, memberi gambaran dunia hiburan baru bakal terus hidup di wadah digital.



Antara yang menyajikan hiburan tanpa henti di wadah digital, menghiburkan peminat yang kebosanan adalah Justin Bieber, Miley Cyrus, Arnold Schwarzenegger dan Reese Witherspoon.



Bieber mengadakan sesi sembang dengan pekerja barisan hadapan manakala Cyrus pula mengundang selebriti lain untuk menyanyi dengannya.



Di Nusantara pula, Datuk Sheila Majid mengadakan konsert menyanyikan seberapa banyak lagu 'hitnya' manakala Datuk Rossa pula mengadakan program sembang menghiburkan mengenai perkembangan dirinya dan artis Indonesia lain.



Generasi penghibur muda Malaysia, Khai Bahar dan Wany Hasrita pula membuka akaun di saluran YouTube bagi menggalak kerja amal mahupun berinteraksi dengan peminat menerusi permainan Playerunknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >