Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN: Selamat Hari Raya Aidilfitri

Aidilfitri tetap bermakna walau disekat pandemik

May 13, 2021 | 05:30 AM



HARI ini Hari Raya. Hari yang dinantikan setiap Muslim yang selesai menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan. Pada hari ini, umat Islam meraikan satu kemenangan. Sebagai hadiah kemenangan dalam berjuang mengekang hawa nafsu, Allah menganugerahkan mereka Hari Raya yang dipenuhi kegembiraan, kesyukuran dan juga fitrah.



Seperti tahun lalu, umat Islam menyambut Hari Raya tahun ini dalam keadaan berhadapan cabaran pandemik Covid-19. Oleh kerana virus ini masih menular, umat Islam menyesuaikan sambutan Hari Raya mereka dengan mengambil langkah berjaga-jaga demi mengurangkan risiko jangkitan.



Ini termasuk menjaga jarak selamat, menunaikan solat Hari Raya di rumah bagi yang tidak dapat melakukannya di masjid, mengehadkan pertemuan sosial dan menyambut Hari Raya hanya bersama anggota keluarga serumah dan menerima jumlah tetamu yang sangat terhad.



Kesemua ini sama sekali tidak menjadikan sambutan Hari Raya kita kurang bermakna. Sambutan Hari Raya yang bermakna tidak terletak pada sambutan penuh kemeriahan dan kemewahan. Hari Raya yang bermakna ialah apabila seseorang Muslim itu berjaya memanfaatkan Ramadan sepenuhnya sebagaimana yang dituntut agama.



ERTI HARI RAYA



Dalam bahasa Arab, Hari Raya disebut Eid. Secara literal, eid bermaksud kembali. Istilah Eid Al-Fitri yang sering kita gunakan bererti kembali kepada fitrah, yakni suci dan bersih. Eid juga bererti yang berulang. Hari Raya itu disebut eid sebab sambutannya berulang pada setiap tahun apabila datang Syawal.



Dari pengertian ini, Hari Raya ialah hari kita kembali kepada Allah dengan azam untuk lebih taat kepada-Nya dan menjadi insan lebih baik setelah menjalani madrasah Ramadan selama sebulan.



Setelah menunaikan puasa sebulan dengan iman dan hanya ingin mendapatkan keredaan Tuhan serta menjalankan ibadah-ibadah lain, seperti solat tarawih, berzakat dan membaca Al-Quran, seseorang itu akan keluar dari Ramadan seperti seorang bayi baru lahir, ertinya suci daripada dosa dan kesalahan.



Itulah maksud sambutan Hari Raya Idul Fitri yang sebenarnya dan yang bermakna. Memang tepat kata cerdik pandai, 'Bukanlah Hari Raya dengan memakai pakaian baru. Hari Raya yang sebenar ialah mereka yang ketaatannya bertambah".



HARI RAYA BERMAKNA



Menurut ajaran Islam serta panduan yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Muhammad saw, sambutan Hari Raya yang bermakna dicapai dengan sekurang-kurangnya empat perkara:



Ungkapan rasa syukur

Kembali menjadi suci

Kemenangan besar

Meleburkan dosa



Tiada lebih besar daripada menzahirkan kesyukuran mendalam kepada Ilahi pada Hari Raya. Dengan datangnya Lebaran, seseorang Muslim harus berasa lebih bersyukur dengan segala yang dimilikinya dalam kehidupan ini. Kesyukuran ini akan menimbulkan perasaan penghargaan atas segala nikmat kurniaan Tuhan serta menyedarkan bahawa hakikatnya manusia tidak memiliki sesuatu di dunia ini melainkan kesemuanya adalah milik Tuhan.



Kesyukuran pada Hari Raya juga dizahirkan dengan ungkapan takbir Hari Raya yang sangat digalak dibca pada malam dan juga Hari Raya . Ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185, "Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur".



Dalam ayat ini, Allah memerintahkan kita mencukupkan bilangan hari puasa 29 atau 30 hari, dan kemudian mengagungkan Allah dengan bacaan takbir. Dengan melakukan demikian, kita disifatkan Allah sebagai hamba-Nya yang besyukur.



KEMBALI MENJADI SUCI



Sebagaimana yang disebut sebelum ini, Hari Raya ialah hari kita membersihkan diri kita secara zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan mengeratkan lagi hubungan dengan Allah dan dengan manusia. Hubungan dengan Allah harus dieratkan dengan azam untuk lebih taat, beribadah dan menjadi insan baik. Hubungan dengan manusia pula dieratkan dengan tradisi bersalaman, saling memohon maaf, berlaku ihsan, berkongsi juadah dan juga melakukan kunjungan.



Amalan bermaaf-maafan pada Hari Raya adalah sesuatu yang baik meskipun ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Memohon maaf pada Hari Raya memberi makna mendalam. Dengan maaf-memaafkan, kita dapat membersihkan hati dari segala dendam, benci dan perasaan buruk lain. Maka itulah kita harus mengambil peluang meminta maaf orang lain pada Hari Raya.



KEMENANGAN BESAR



Kemenangan pada Hari Raya membawa erti besar sekali bagi umat Islam. Ia kemenangan ke atas kejayaan kita berjihad (bersungguh-sungguh) dan melawan hawa nafsu daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ia hari perayaan bagi mereka yang telah berpenat lelah berpuasa dan beribadah kepada Allah. Bagi merekalah hak bergembira menyambut Aidilfitri.



Pada masa sama, kita harus meluaskan skop dan berfikiran lebih kritikal dalam mentafsirkan erti kemenangan sebenar yang kita nikmati hari ini. Pada dasarnya, kita tidak mahu kemenangan yang kita kecapi bersifat sementara sahaja, iaitu kita gagal mengekalkannya pada masa mendatang.



MELEBURKAN DOSA



Ramadan mendidik kita menjadi Muslim lebih baik dan membantu kita dalam meleburkan segala dosa dan kesilapan. Hal ini hanya boleh dicapai apabila kita menggunakan sebaik mungkin kesempatan pada Ramadan dengan peningkatan gerakan amal ibadah kita dan berlaku ihsan terhadap setiap insan.



Ramadan yang baru meninggalkan kita menjana kekuatan dan jati diri, kesabaran dan juga daya tahan kita. Paling penting, ia mendidik kita menjadi insan lebih dekat dan bertakwa kepada Allah.



DI TENGAH PANDEMIK



Hari Raya tahun ini masih disambut di tengah pandemik Covid-19, seperti tahun lalu apabila terdapat sekatan dan keterbatasan yang menghalang kita menyambutnya seperti lazimnya.



Namun keterbatasan ini sama sekali tidak mengurangkan erti Hari Raya yang sebenar. Malah, setiap Muslim harus mengikut segala protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Ini demi keselamatan dan maslahat diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat umum.



Mengikut segala peraturan, seperti menjaga jarak selamat, memakai pelitup, mengehadkan jumlah tetamu kepada lima orang sehari, menunaikan solat Hari Raya di rumah dan sebagainya, mesti dilakukan dengan serius dan dengan sepenuh kefahaman akan kepentingannya.



Dengan kenaikan kes Covid-19 dalam masyarakat baru-baru ini, Singapura telah kembali kepada fasa kedua pembukaan semula ekonomi yang akan berlarutan hingga ke akhir bulan ini.



Keputusan pemerintah ini tidak dapat dielak demi mengurangkan risiko penularan lebih besar.



KESIMPULAN



Dalam kita bergembira menyambut Hari Raya, janganlah kita lupa bahawa kita mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan diri dan orang ramai. Membendung penularan pandemik ini tidak dapat dilakukan oleh pemerintah sahaja. Ia memerlukan kerjasama, kesefahaman dan sikap bertanggungjawab setiap anggota masyarakat.



Sekiranya kita mengambil sambil lewa atau melanggar protokol kesihatan dan peraturan yang ditetapkan, kita akan meninggikan lagi risiko jangkitan dakam kalangan masyarakat dan mungkin menjadi punca penularan lebih besar pandemik ini.



Ayuh, kita menjadi Muslim dan rakyat bertanggungjawab. Marilah kita sambut Lebaran dengan melakukan kebaikan dan bukan kerosakan. Ingatlah, walaupun kita tidak dapat menyambut Hari Raya kali ini dengan cara yang biasa kita lalukan, seperti berkunjung ke rumah sanak saudara beramai-ramai, ia tidak sedikit pun akan mengurangkan keberkatan, nilai dan erti sebenar Hari Raya.



Semoga Hari Raya yang kita sambut hari ini menjadi Hari Raya istimewa dan lebih bermakna, walaupun di tengah pandemik.



  • Penulis naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)


Sambutan Hari Raya bermakna dicapai dengan sekurang-kurangnya empat perkara:



Ungkapan rasa syukur

Kembali menjadi suci

Kemenangan besar

Melebur dosa




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >