Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aktivis seni terbit program digital penyegar dikir barat

Oct 21, 2020 | 05:30 AM



Lebih ramai pemuzik tempatan kini bereksperimen dengan bunyian dan irama bersilang genre demi mencetus kesegaran muzik di wadah media sosial. Ada yang mengubah irama dikir barat menjadi lagu pop bagi memancing pendengar baru. Usaha ini diabadikan dalam siri program digital. Ada pula yang mengubah lagu pop menjadi irama tradisional dalam usaha menyatukan pencinta muzik tradisional di Singapura. BERITA HARIAN melaporkan.




SEJAK menuntut di Sekolah Hai Sing Catholic sekitar 1999, penggiat seni Encik Hidayat Nordin sudah mula menanam minat terhadap seni dikir barat.



Mantan Naib Presiden Gabungan Dikir Barat Singapura ini juga gigih menggalas amanah sebagai jurulatih dikir barat di beberapa sekolah sejak 2007.



Beliau juga pengasas dua kumpulan dikir barat wanita, Dania Aniqah dan Dayang Bintang Tiga.



Minat menebalnya pada seni dikir barat yang mampu memancing perhatian ramai anak muda hingga ke hari ini tidak dibiarkan begitu sahaja.



Baru-baru ini, Encik Hidayat, 34 tahun dan rakannya Encik Danish Izman, 23 tahun, menerbitkan sebuah rancangan digital Dikir Pop Series di saluran YouTube, Biar Betik Media.



Rancangan lima episod dengan tayangan perdana pada Jumaat lalu itu diusahakan dengan bantuan geran penyampaian digital sebanyak $10,000 yang diperuntukkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



Episod selanjutnya akan berkumandang pada 8.30 malam setiap Jumaat.



Ia merupakan satu paparan irama dikir barat moden yang diberi sentuhan pop agar mudah dihadam oleh mereka yang bukan penggiat dikir barat.



Malah projek ini menjadi pembuka pintu bagi Encik Hidayat menghasilkan dokumentari tentang dikir barat pula.



Ikuti wawancara bersama beliau.



Soalan (S): Bagaimana tercetus idea bagi rancangan 'Dikir Pop Series'?



Encik Hidayat (H): Ia bermula apabila teman saya, Danish, bertanya apakah antara idea yang boleh diterbitkan dengan menggunakan Geran Penyampaian Digital NAC.



Saya sebenarnya rindukan dikir barat sejak wabak Covid-19 melanda. Keadaan tidak mengizinkan kegiatan ini diteruskan atas sebab langkah jarak selamat yang perlu diperhatikan.



Justeru selepas berbincang dengan Danish, saya dapat hasilkan satu konsep yang menggabungkan seni penulisan dan lagu dikir barat dalam satu nafas yang mudah diterima golongan bukan penggiat dikir barat.



Sebenarnya konsep mengolah semula lagu dikir bukanlah perkara yang baru, Kumpulan 2D sudah melakukannya. Bezanya cuma, kali ini lagu yang diolah adalah lagu moden.



S: Apakah matlamat rancangan ini dan cabaran yang dihadapi?



H: Matlamat kami adalah terus mengekalkan budaya seni dikir barat walaupun dalam keadaan yang tidak mengizinkan dengan menerapkan pembaharuan melalui wadah dalam talian.



Walaupun ini bukan dikir barat sebenarnya, ia juga menunjukkan kehebatan seni ini, yang serba lengkap dan boleh diubah suai mengikut situasi dengan elemen seni kata dan seni lagu dikir barat Singapura dijadikan tunjang Dikir Pop Series.



Kedua, kami ingin menonjolkan bakat yang sedia ada dalam masyarakat dikir barat setempat. Ada dalam kalangan mereka sudah menceburi persada muzik di sini.



S: Mengapa irama dikir barat begitu dekat di hati anda?



H: Titik permulaan saya dalam meneroka seni dan muzik bermula dengan dikir barat. Tanpa disedari ramai, saya lihat dikir barat masih lagi diminati termasuk dalam kalangan belia.



S: Siapakah yang anda libatkan dalam program 'Dikir Pop Series'?



H: Kumpulan dikir Makyong Kedek akan menyampaikan lagu Perihal 4 Kerat. Kelana Purba mendendangkan Kusangka Aur/Eh! Silang Lagi.



Dendang Mutiara menyanyikan Aduhai, Raja Sehari. Melakar Aksara menjadi dendangan Si Anak Seni.



Simple Biawak tampil dengan Sidang Di Ladang. Ukhuwah menjadi sajian La Maschera x Desa Tiga Lima.



Nibong Tunggal menyanyikan Sebulat Kata Si Kecil manakala Dayang Bintang Tiga pula mendendangkan Kusangka Cukup.



Merpati Puteh 27 tampil dengan Galilah Gali Menanti Esok. Keris pula menyanyikan Meraut Ranjau Maya.



S: Apakah keistimewaan bakat dikir barat yang dipilih bagi rancangan ini?



H: Keistimewaannya mengikut tema seperti lagu dari kumpulan yang pernah menjuarai peraduan dikir barat Mega Perdana, kumpulan baru, kumpulan gabungan sekolah dan juga lagu dari kumpulan-kumpulan yang pernah meraih piala Lagu Terbaik dalam pertandingan.



S: Ceritakan tentang dokumentari yang bakal diusahakan.



H: Selepas ini, saya diberi peluang melalui geran NAC yang sama bagi menghasilkan dokumentari yang merakam perjalanan seni dikir barat di Singapura dari tahun 1980-an hinggalah sekarang.



Bagaimana ia mampu membentuk belia dari generasi ke generasi dan menghasilkan seniman-seniman yang berwibawa?



Dokumentari ini yang akan diterbit bersama penyanyi dan penggiat dikir barat Aqmal N akan menampilkan bakat tempatan yang terlibat dalam dunia dikir barat seperti Khairudin Samsudin, Djohan Abdul Rahman, Asnida Daud dan Daly Ahli Fiqir.



S: Mengapa dikir barat besar di Singapura?



H: Pada pendapat saya, mungkin kerana daya tarikan seni ini. Ia juga lengkap dengan empat elemen seni yang serba merangkumi, baik seni kata, seni lagu, seni tari dan seni muzik.



Mungkin juga ia sering menggalakkan nilai positif dan pembangunan serta mendidik aktivis dengan unsur-unsur yang tidak boleh didapati dalam bilik darjah.



Saya rasa dengan adanya individu-individu yang berjaya terlibat dalam kegiatan ini, ia juga menjadikan seni dikir barat ini satu kesenian yang mampu menarik minat belia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >