Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aliff Aziz kembali aktif nyanyi dengan sertai Gegar Vaganza 8

Nov 12, 2021 | 05:30 AM



KEMBALI dengan semangat baru yang memperkasa jiwa agar terus dapat mencari rezeki buat keluarga dan menyumbang pada industri seni serantau.



Inilah tekad yang dipasang penyanyi dan pelakon asal Singapura, Aliff Aziz, 30 tahun, apabila beliau diperkenalkan sebagai antara 13 peserta musim terbaru peraduan realiti Gegar Vaganza 8 (GV8) di sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Astro Malaysia dari The Summit 1, VE Hotel, Bangsar South City kelmarin.



Sebagaimana katanya setelah menyanyikan lagu yang menaikkan namanya pada 2007 sesudah memenangi peraduan Anugerah anjuran Mediacorp Suria, Sayang Sayang:



"Sebenarnya bagi Aliff, menyertai peraduan Gegar Vaganza 8 adalah peluang keemasan yang besar.



"Aliff pun sudah lama berehat. Ini adalah wadah yang baik buat Aliff kembali ke persada seni."



Berita mengenai Aliff yang gigih bangkit daripada tempoh silam yang kelam meliputi kemelut rumah tangga hinggalah beberapa masalah sosial dikongsi dalam pelbagai sidang maya menyentuh perasaan, tahun ini.



Setelah hidup berjauhan di Singapura semasa pandemik Covid-19, terpisah daripada isteri, pelakon dan usahawan Bella Astillah yang menetap di Kuala Lumpur, dan dua anak mereka, Ayden Adrean dan Ara Adreanna, Aliff kembali ke pangkuan keluarga dengan tekad beristiqamah dan berhijrah.



Beliau malah berpeluang menjalankan kerja dakwah bersama kumpulan Dakwah Tabligh Malaysia yang turut disertai rakan artis, pengacara Gegar Vaganza, Nabil Ahmad dan pelakon Saharul Ridzwan.



Selain Aliff, 12 peserta GV8 yang diperkenalkan termasuk Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaacob, Shidee, Bandi Amuk, Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki Low, Nikki Palikat, Nico, Saiful Apek dan Yassin serta Upiak Isil (Indonesia).



Ini merupakan kali pertama GV menampilkan peserta bukan Melayu iaitu Suki, 30 tahun, juara peraduan One In A Million 2006 dan peserta Malaysian Idol, Nikki, 36 tahun, keturunan Tambuan, Sabah, yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat.



Pengadil tetap peraduan pula adalah Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang, sepertimana yang diharapkan warganet susuli terlabuhnya tirai GV7 tahun lalu.



Pengacara GV yang membuat ramai tidak kering gusi, Nabil dan Jihan Muse, kekal sebagai peneraju rancangan.



Mengenai penyertaannya, Datuk Fazley, 43 tahun, yang kini lebih dikenali sebagai cef selebriti selepas bergelar juara MasterChef Selebriti Malaysia pula berkata:



"Jangan risau. Dapur akan tetap berasap juga walau saya sibuk sertai GV8. Apa yang membuatkan saya ingin sertai peraduan ini adalah kerana anak saya yang berusia empat tahun tidak mengenali saya sebagai penyanyi.



"Anak lain dah biasa dengar lagu Asmara Ini sambil saya menggendong mereka. Yang kecil seorang sahaja tak tahu lagu itu lagu bapanya. Dengan saya memasuki GV, bolehlah dia cerita kepada orang bahawa bapa dia asalnya penyanyi sebelum bergelar cef."



Adibah Noor, 51 tahun, yang terkenal dengan lagu balada Terlalu Istimewa pula menyertai GV bagi menghiburkan peminatnya dan mengharapkan semangat perpaduan peserta dapat dirasakan dalam peraduan ini.



Kumpulan Nico yang terdiri daripada Abdul Fashah Abdul Aziz (Nico), Muzaffar Shah Baharin (Affa) dan Mohd Shah Rosli (Dino) pula sudah mempersiapkan diri untuk masuk gelanggang pertandingan dengan gigih bersenam zumba, berbasikal dan berlari-lari anak bagi mendapatkan stamina menghibur.



Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, pula menjelaskan kepopularan dan kewibawaan jenama GV kian matang.



"Matlamat Astro adalah menyediakan platform penjenamaan semula bagi penghibur berpengalaman yang pernah merasai era kegemilangan.



"Kami ingin memberikan penonton pengalaman berlainan setiap musim. Yang bertanding berusia antara 30-an tahun dengan 60-an tahun. Kita sudah melihat daripada GV musim-musim lalu bahawa tak semestinya legenda bergelar juara.



"Ada yang merupakan peserta 'underdog' (peserta yang dianggap mempunyai peluang tipis menang) seperti Cliff Umar yang dinobatkan sebagai juara GV7.



"Walau apa pun, nama-nama besar ada kekuatan masing-masing," jelas Raqim.



GV8 masih mengekalkan format sistem pemarkahan 100 peratus oleh juri profesional.



Juara GV8 akan menerima wang tunai RM100,000 ($32,465).



Konsert GV8 akan bersiaran di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam mulai 21 November ini.




"Sebenarnya bagi Aliff, menyertai peraduan Gegar Vaganza 8 adalah peluang keemasan yang besar. Aliff pun sudah lama berehat. Ini adalah wadah yang baik buat Aliff kembali ke persada seni."
- Aliff Aziz




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >