Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

'Andai waktu boleh diputar, kerjaya masa depan jadi keutamaan'

Mar 14, 2021 | 05:30 AM



JIKA Cik Najwa Jumali boleh memutar semula waktu, beliau akan memikirkan lebih mendalam tentang kerjayanya pada masa depan.



Ini kerana bekas juara kapal layar nasional itu yang bertemu 'jodoh' dalam teknologi dan rekaan, tentunya akan mendalami kemahiran dalam bidang itu dengan lebih awal.



Berkat tekadnya dan usaha menjalin rangkaian, Cik Najwa, 26 tahun, kini bertugas sebagai pereka User Interface (antaramuka pengguna) dan User Experience (pengalaman pengguna) (UI/UX) di syarikat pemula teknologi, Tribe.



Tribe merupakan syarikat percepatkan (accelerator) teknologi 'blockchain' pertama yang disokong pemerintah.



Cik Najwa merupakan pereka bagi inisiatif OpenNodes, wadah yang disokong Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) dan bermatlamat menghimpunkan agensi pemerintah, syarikat 'blockchain' dan korporat dalam satu platform.



Menceritakan tentang perjalanannya dalam bidang teknologi kepada Berita Minggu, anak sulung tiga beradik itu berkata tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk memasuki industri tersebut.



"Semasa di peringkat universiti, atas dorongan ibu bapa, saya memilih bidang pengajian yang dianggap lebih 'selamat' - iaitu perniagaan.



"Namun dalam pengajian saya di Universiti Indiana Bloomington di Amerika Syarikat, saya terdedah kepada beberapa kursus data dan teknologi.



"Ini menyedarkan bahawa saya sebenarnya suka menganalisis data dan dengan data, kita boleh menganalisis tabiat dan kelakuan manusia. Ini sekali gus mendorong saya untuk memilih pengkhususan dalam analitik data bagi industri rantai bekalan," terang beliau yang pernah menjadi juara dunia kapal layar di Kejohanan Byte CII Dunia di Kingston, Canada, pada 2009.



Namun, selepas pengalaman kurang menarik dalam pekerjaan pertamanya sebagai konsultan teknologi, Cik Najwa cuba mencari lagi minat dan bidang tukikan dalam aspek teknologi.



"Saya merasa agak kehilangan pada masa itu dan berdetak di hati ini, kalau saya telah fikirkan masa depan saya sejak dari dulu lagi, mungkin saya sudah kenal pasti minat sebenar saya dan mengasah bakat lebih awal," ujarnya.



Tidak patah semangat, menerusi kajian yang dibuat, beliau kemudian menyertai kumpulan "Women in Tech" yang memberinya peluang menjalin rangkaian dan berkenalan dengan pemain industri.



"Sesi menjalin rangkaian ini banyak membantu saya sebab saya pada masa itu tidak tahu apa bidang kepakaran atau khusus yang ingin saya ceburi dalam teknologi.



"Jadi dengan bercampur dan bertukar pandangan dengan individu yang memegang pelbagai jawatan dalam industri, ia memberi pendedahan dan maklumat lebih terperinci," ujar Cik Najwa.



Pengalaman itu turut menyedarkan beliau tentang minatnya dalam bidang rekaan, serta membuka jalan dan peluang kepada peranan yang dipegangnya sekarang.



Apabila ditanya pandangannya tentang industri itu, beliau berkata teknologi semakin berkembang dan ia mendorong pembentukan banyak masyarakat dalam dan luar talian.



Oleh itu, bagi kaum Hawa yang ingin berkecimpung dalam teknologi, Cik Najwa menasihatkan mereka agar berjinak-jinak dengan kumpulan atau masyarakat teknologi yang ada untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.



"Saya tidak fikir ada banyak hambatan untuk wanita menyertai sektor ini.



"Namun mereka harus berani mengetengahkan diri mereka dan mendedahkan diri kepada peluang yang sudah ada," tambah beliau.




"Sesi menjalin rangkaian ini banyak membantu saya sebab saya pada masa itu tidak tahu apa bidang kepakaran atau khusus yang ingin saya ceburi dalam teknologi.Jadi dengan bercampur dan bertukar pandangan dengan individu yang memegang pelbagai jawatan dalam industri, memberi pendedahan dan maklumat lebih terperinci... Saya tidak fikir ada banyak hambatan untuk wanita menyertai sektor ini. Namun mereka harus berani mengetengahkan diri mereka dan mendedahkan diri kepada peluang yang sudah ada.''
- Cik Najwa Jumali.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >