Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:20
Maghrib
6:56
Isyak
8:11

Arab Saudi, Iran kian tunjuk petanda akhiri ketegangan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Arab Saudi, Iran kian tunjuk petanda akhiri ketegangan

Oct 19, 2021 | 05:30 AM

LIMA tahun selepas dua kuasa besar Asia Barat memutuskan hubungan diplomatik antara mereka, angin kian bertiup kencang mengkhabarkan kemungkinan era 'dingin' Arab Saudi-Iran akan berakhir.

Ini setelah negara yang diamanahkan dengan kunci dua masjid agung - di Makkah dan Madinah - dan negara pencetus revolusi Muslim ke atas Dunia Barat itu menunjukkan kesediaan membuka lembaran baru sekali gus mengakhiri ketegangan antara mereka yang telah mengheret Dunia Islam ke kancah perang proksi terburuk di rantau itu.

Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan al-Saud, berkata rundingan dengan Iran berlangsung dengan "mesra", sambil menyifatkan rundingan itu sebagai "usaha penerokaan".

"Kami serius tentang rundingan ini. Bagi kami ia bukan satu peralihan yang besar. Kami sentiasa menyatakan kami mahu mencari satu huraian bagi menstabilkan rantau ini," katanya yang ditukil akhbar Financial Times pada Jumaat lalu.

USAHA BERBAIK-BAIK

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini pegawai dari kedua-dua negara mula mengeluarkan kata-kata positif mengenai rundingan penting yang diadakan di Baghdad sejak April tahun ini.

Perbincangan yang dilancarkan di bawah mantan presiden ketujuh Iran, Syeikh Dr Hassan Rouhani, dan diteruskan di bawah penggantinya, Presiden Sayyid Ebrahim Raisi, bertujuan memperbaiki hubungan antara dua negara bertelagah sejak hubungan terputus pada 2016.

Bagaimanapun, sedang bibit-bibit untuk berbaik mula kelihatan, pakar politik menyatakan banyak lagi perlu dilakukan untuk meredakan ketegangan dan perselisihan yang wujud.

Apatah lagi, kedua-dua negara ini memimpin dua golongan Muslim terbesar di dunia - golongan Sunni di pihak Saudi, dan pendukung fahaman Syiah di pihak Iran.

Media antarabangsa melaporkan pada 10 Oktober lalu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal mengesahkan pusingan keempat rundingan telah berlangsung pada 21 September lalu dan menzahirkan harapan agar mereka akan "meletakkan asas" untuk mengatasi masalah antara kedua-dua negara.

Rundingan selanjutnya dijangka diadakan tidak lama lagi.

Rakan sejawatannya dari Iran, Encik Hossein Amir-Abdollahian, berkata perbincangan itu "berada di landasan yang betul".

"Kami sudah mencapai hasil dan persetujuan, tetapi kami masih memerlukan lebih banyak dialog," katanya awal bulan ini.

Iran juga telah membuka semula rundingan dengan kuasa besar dunia di Vienna, Austria, bagi membangkitkan semula perjanjian nuklear - Rancangan Tindakan Bersama Menyeluruh (JCPOA) 2015 - yang menyaksikan pengunduran Amerika Syarikat daripada perjanjian tersebut pada 2018.

"Kami harap mereka (Iran) akan menyediakan satu asas bagi menghuraikan isu-isu yang belum terhurai antara kedua-dua pihak dan kami akan berusaha dan bekerja bagi mencapainya," kata Putera Faisal dalam sidang akhbar di Riyadh bersama-sama ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Encik Josep Borell pada 6 Oktober yang ditukil media antarabangsa.

PUNCA KONFLIK

Arab Saudi dan Iran telah memutuskan hubungan diplomatik pada 2016 selepas penunjuk perasaan menyerang misi diplomatik Arab Saudi di Tehran selepas kerajaan Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ulama Syiah yang dihormati.

Sheikh Nimr Al-Nimr adalah antara 47 tahanan yang dipancung sehingga mati di Arab Saudi pada 2 Januari 2016.

Mereka menerima hukuman itu selepas disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan.

Al-Nimr adalah tokoh penting yang terlibat dalam bantahan Syiah yang meletus pada 2012 sebagai sebahagian siri kebangkitan Arab atau 'Arab Spring'.

Al-Nimr yang memimpin masyarakat Syiah di al-Awamiyah, wilayah timur Saudi, dianggap kerajaan itu sebagai pengkritik paling lantang terhadap pentadbiran monarki Bahrain, yang bertindak keras ke atas penganut Syiah pasca 'Arab Spring' pada 2011.

Saudi malah telah mengerahkan tenteranya bagi membantu Bahrain melumpuhkan kebangkitan dan pengaruh Syiah kerana bimbang ia akan merebak.

Perang proksi Arab-Parsi menyaksikan peperangan terburuk meletus di Yaman dan Syria, dengan sekitar setengah juta orang menjadi mangsa dan jutaan lagi lara.

Seorang diplomat asing di Arab Saudi yang rapat dengan proses rundingan itu berkata, kedua-dua pihak "hampir bersedia... untuk meredakan ketegangan antara mereka dan perang proksi (diplomatik) di rantau ini" semasa pusingan terakhir perbincangan.

Diplomat asing itu menambah, kedua-dua pihak "berkemungkinan besar akan memperhalusi perjanjian" dalam pusingan baru rundingan yang mungkin dilakukan dalam beberapa hari.

"Mereka, pada dasarnya sudah mencapai kesepakatan untuk membuka kembali konsulat... dan saya rasa pengumuman untuk hubungan yang baik semula mungkin akan datang dalam beberapa minggu mendatang," kata diplomat itu kepada agensi berita AFP dengan syarat namanya tidak didedahkan.

PENILAIAN

Kedudukan hubungan dua hala Saudi-Iran goyah dan akhirnya terputus disebabkan masing-masing dilihat cuba merebut kuasa kepimpinan dan pengaruh di rantau Timur Tengah.

Dunia maklum betapa Iran selalunya digambarkan sebagai negara yang mahu meluaskan jajahan dan takluk, bersifat pemecah-belah, tegar dalam perebutan kuasa dan menghasilkan senjata nuklear.

Bagi Saudi, Iran adalah kuasa penggugat di Timur Tengah dan kejayaan kepimpinan Syiah dalam melancarkan Revolusi ke atas Barat pada 1978-1979 dan kejayaannya mempertahankan kedudukan pemerintahan Syria, Yaman, Lebanon dan Gaza, mengancam daya pengaruh Riyadh di rantau itu.

Namun, bagi Iran, pendirian dan tindakannya sejauh ini mencerminkan kedudukan sebenarnya - mendukung norma dan peraturan antarabangsa dan tidak melaksanakan dasar agresif.

Di pihak Saudi, ia bukan sahaja mahu dilihat bahkan diterima secara tuntas kedudukannya sebagai pemimpin ulung Dunia Islam dan Dunia Arab - tiada galang ganti.

Namun pada masa yang sama, Saudi dengan mengadakan rundingan langsung yang serius dengan Iran, secara tidak langsung, mengakui pendekatannya yang bersifat konfrontasi yang dilakukannya ke atas Iran selama ini telah gagal.

Dengan menjebakkan diri dalam memerangi pejuang Houthi yang disokong Iran di Yaman sejak 2015 pula mendedahkannya kepada risiko besar - prasarana dan loji minyaknya terdedah kepada serangan dron dan peluru berpandu - sekali gus menjejas pengeluaran dan eksport minyak selain menggugat pengaruhnya sebagai pengeluar dan pengeksport terbesar bagi pasaran dunia.

Dari mata kasar, usaha rundingan ini adalah satu langkah permulaan ke arah perdamaian, dan tentunya di pihak Iran ia mahu meyakinkan Saudi pentingnya keamanan di Timur Tengah.

Kemungkinan Iran mahu menjadikan rundingan ini sebagai perantaraan politik kepada Amerika Syarikat bahawa program nuklearnya adalah untuk keperluan negara dan mahu perjanjian nuklear Pelan Tindakan Komprehensif bersama (JCPOA) kembali diteruskan, tidak boleh ditolak.

Natijahnya, kejayaan Arab Saudi dan Iran untuk berbaik lebih bergantung kepada kesediaan dan ketulusan mereka menghentikan sengketa.

Namun, usaha ini mungkin terencat kerana telah menjadi kelaziman dalam urusan politik - adanya pihak menangguk di air yang keruh.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3