Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Barah pangkal rahim: Cara mengesan dan mencegah

Feb 15, 2021 | 05:30 AM



BARAH pangkal rahim merupakan barah yang menduduki tangga kedua dalam senarai penyakit barah paling lazim menjejas wanita sedunia. Tangga teratas adalah barah buah dada.



Kedudukan barah pangkal rahim di Singapura turut terletak di tangga kedua. Tetapi ini merupakan keadaan sekitar tahun 1970- an.



Di Singapura buat masa ini, kedudukan barah pangkal rahim sudah menjunam ke tangga ke-10.



Besar kemungkinan penyakit ini akan terkeluar daripada senarai Top Ten Female Cancers tidak lama lagi.



Langkah-langkah mencegah, mengesan dan merawat barah pangkal rahim ketika dalam tahap awal telah mendatangkan hasil yang memberangsangkan sehingga penyakit ini tidak lagi menjadi bebanan berat di negara kita berbanding negara-negara lain di dunia.



Pangkal rahim turut dikenali sebagai pintu rahim, leher rahim atau serviks. Organ ini boleh diperiksa dengan mudah oleh doktor.



Ini bermakna penyakit-penyakit yang menjejas pangkal rahim mudah dikesan untuk dirawat.



HPV



Pada awal tahun 1980-an, virus papilloma manusia atau human papilloma virus (HPV) dikenal pasti sebagai punca utama barah pangkal rahim.



Terdapat lebih 100 jenis HPV.



Namun, sekurang-kurangnya hanya 16 jenis yang menyebabkan barah pangkal rahim atau penyakit barah lain dan jenis ini digolongkan sebagai HPV risiko tinggi.



Jenis HPV dikenal pasti mengikut nombor. HPV 16 dan 18 menyebabkan sekitar 70 peratus barah pangkal rahim dan sekitar 30 peratus yang lain menyebabkan HPV risiko tinggi lain, termasuk HPV 31, 33, 34, 35, 39, 45, 51, 52, 56, 58, 59, 66, 68 dan 70.



Kuman HPV biasanya dijangkiti melalui hubungan seks.



Risiko dijangkiti HPV lebih ketara melalui kegiatan seks rambang dan seks tanpa perlindungan.



HPV boleh menjangkiti sehingga 80 peratus kaum wanita sepanjang hayat mereka.



Namun, yang melegakan adalah kebanyakan jangkitan ini dapat diatasi dengan keupayaan daya perlindungan tubuh secara alami tanpa sebarang rawatan.



VAKSIN



Pada 2006, vaksin pertama untuk mencegah jangkitan HPV telah diperkenalkan. Pada ketika itu batasan usia bagi vaksin ini adalah dari usia 9 tahun hingga 26 tahun.



Dua vaksin yang diperkenalkan pada waktu itu adalah gardasil dan cervarix.



Gardasil berkesan untuk mencegah jangkitan empat jenis HPV iaitu 6, 11, 16 dan 18.



Manakala Cervarix berkesan untuk mencegah jangkitan HPV jenis 16 dan 18.



Harus diingat bahawa HPV jenis 6 dan 11 bukan HPV jenis risiko tinggi dan tidak menyebabkan barah.



HPV jenis 6 dan 11, yang berisiko rendah, boleh menyebabkan 90 peratus masalah kutil di bahagian kelamin.



Terdapat kemajuan yang agak mendadak berkaitan vaksin HPV.



Sekarang terdapat vaksin baru yang dinamakan gardasil 9 dan vaksin ini berkesan mencegah jangkitan daripada sembilan jenis HPV iaitu HPV 6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58.



Baru-baru ini, batasan usia untuk vaksin gardasil 9 sudah dilanjutkan kepada 45 tahun.



Vaksin gardasil 9 diberikan sebanyak dua kali bagi mereka yang berusia sembilan hingga 14 tahun dan sebanyak tiga kali bagi mereka yang berusia 15 hingga 45 tahun.



Vaksin HPV paling berkesan dan paling bermanfaat jika diberi pada usia muda remaja sebelum pendedahan kepada hubungan seks.



MEDISAVE



Sejak Jun 2018, wang simpanan Medisave boleh digunakan untuk membiayai kos suntikan vaksin gardasil atau cervarix.



Di peringkat nasional, program suntikan vaksin di sekolah-sekolah menganjurkan penggunaan vaksin cervarix bagi pelajar perempuan di menengah satu.



Adalah diharapkan program suntikan vaksin di sekolah dan penggunaan Medisave akan diluaskan kepada vaksin gardasil 9 pada masa terdekat.



UJIAN



Penyakit barah pangkal rahim agak unik kerana ia boleh dikesan pada tahap sebelum terjadinya penyakit barah iaitu terdapat peringkat prabarah yang boleh dikesan dan dirawat sebelum ia berubah atau berkembang menjadi barah.



Pengesanan penyakit prabarah pangkal rahim boleh dilakukan menerusi dua ujian yang berbeza iaitu ujian Pap smear dan ujian HPV DNA.



Walaupun ujian-ujian ini berbeza, cara melakukannya adalah sama.



Kementerian Kesihatan telah menerbitkan garis panduan terkini untuk ujian saringan bagi barah pangkal rahim.



Ujian Pap smear dianjurkan bagi wanita yang berusia dari 25 tahun hingga 29 tahun dan ia wajar dilakukan setiap tiga tahun.



Ujian HPV DNA pula dianjurkan bagi wanita berusia 30 tahun ke atas dan mereka dinasihatkan supaya menjalani ujian ini setiap lima tahun.



FAKTOR RISIKO



Berikut adalah senarai faktor risiko yang berkaitan dengan barah pangkal rahim:



1. Jangkitan yang berlarutan dengan HPV risiko tinggi



2. Daya imun yang lemah



3. Jangkitan kelamin seperti herpes, klamydia dan gonorhea



4. Mempunyai ramai pasangan seks



5. Bermula menjalin hubungan seks pada usia muda



6. Merokok



Anda sudah dapat menilai bahawa hampir kesemua faktor risiko berkaitan barah pangkal rahim adalah berhubungan dengan gaya hidup dan tidak ada kaitan dengan riwayat dalam keluarga atau unsur-unsur genetik.



BARAH PANGKAL RAHIM



Seperti semua penyakit barah yang lain, terdapat empat peringkat yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim iaitu tahap pertama adalah yang terawal dan peringkat ke-empat adalah yang paling lanjut.



Pengesanan awal barah pangkal rahim boleh dirawat dengan matlamat menyelamatkan nyawa.



Manakala, seperi semua penyakit barah, tahap lanjut boleh menyebabkan kematian.



Simptom-simptom barah pangkal rahim adalah seperti berikut:



1. Pendarahan antara haid



2. Pendarahan selepas bersatu



3. Pendarahan setelah putus haid



4. Cecair dari ruang faraj yang tidak normal



5. Kesakitan di bahagian faraj atau pinggul



Rawatan bagi tahap awal barah pangkal rahim biasanya dilakukan melalui pembedahan atau rawatan radioterapi.



Manakala bagi tahap lanjut, rawatannya melibatkan radioterapi dan kemoterapi.



Penderita barah pangkal rahim kian berkurangan dengan kesedaran yang meningkat mengenai penyakit berbahaya ini.



Kaedah vaksin HPV, ujian Pap smear dan HPV DNA serta pengesanan dan rawatan awal bagi penyakit prabarah semuanya membantu mengurangkan bilangan wanita yang menghidapi penyakit ini.



Usah ketinggalan dalam usaha melindungi diri anda dan ahli keluarga anda daripada barah pangkal rahim.



Penulis Pakar Obstetrik & Gynekologi Hospital Raffles




Soal jawab kesihatan



Kemukakan sebarang pertanyaan tentang kesihatan anda kepada kami. Doktor-doktor Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) yang bertauliah dan berpengalaman sedia menjawab segala persoalan. Kemukakan soalan anda kepada nizam@sph.com.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >