Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

DUNIA HOLLYWOOD

Belajar erti perjuangan daripada wira 'Eternals' pelbagai kaum

Di pawagam minggu ini, francais filem Marvel muncul semula, membawa penonton terbang ke alam fantasi adiwira. Raja Kollywood, Rajinikanth, dan Raja Aksi Bollywood, Akshay Kumar, juga kembali ke layar perak dalam dua tayangan filem istimewa sempena sambutan Deepavali esok. Apa yang boleh dijangkakan? BERITA HARIAN melaporkan.
Nov 03, 2021 | 05:30 AM



BAGAIKAN impian menjadi nyata buat peminat francais filem Marvel Studios apabila karya adiwira selanjutnya, Eternals, ditayangkan di pawagam kini.



Selepas filem Avengers: Endgame melabuhkan tirai dua tahun lalu, timbul tanda tanya apakah akan ada filem tentang sekawan adiwira yang menggembleng tenaga bagi menyelamatkan dunia daripada musnah di tangan musuh durjana?



Eternals adalah jawapan pada soalan ini. Bertitik tolak daripada filem terdahulu Marvel, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, yang menampilkan dunia adiwira Cina serta meraikan kehebatan warga Asia yang mampu berdiri sama tinggi dengan masyarakat Barat, Eternals pula mengemukakan adiwira daripada pelbagai kaum.



Ada watak Cina, Pakistan, Korea, India dan lelaki kulit hitam yang turun ke bumi daripada keabadian cakerawala mereka.



Sejajar dengan konsep inklusif filem ini, pemenang Anugerah Pengarah Terbaik pada Anugerah Academy dan Anugerah Golden Globe, Chloe Zhao, diberi peluang mengarah Eternals.



Pendek kata, filem tentang perlumbaan makhluk asing ini bagai menguar-uarkan kerencaman dan realiti dunia dengan warga berbilang kaum, agama, latar belakang dan warna kulit.



Inilah kisah sekumpulan adiwira yang melindungi bumi sejak awal manusia dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan. Kehidupan mereka abadi.



Apabila raksasa yang dipanggil 'Deviants' yang disangka sudah lama pupus daripada bumi datang kembali, anggota Eternals terdesak agar bersatu lagi demi melindungi kemanusiaan.



'Membedah siasat' setiap watak dalam filem ini tatkala menontonnya di sesi pratonton baru-baru ini merupakan satu proses menyeronokkan buat saya kerana setiap seorang adiwira memiliki kuasa luar biasa.



Malah, ada banyak pengajaran tentang kemanusiaan yang boleh dibawa pulang daripada filem ini.



Teroka budaya datuk moyang



Pelakon keturunan Hong Kong-China, Gemma Chan, 38 tahun, yang dilahirkan di London, adalah Sersi yang penuh ihsan.



Dia mempunyai hubungan akrab dengan manusia dan bumi serta mampu menggerakkan barangan tidak bernyawa.



Sersi menyamar sebagai kurator muzium di bumi.



Dalam satu rencana majalah Variety, Zhao menjelaskan dirinya dan Chan ingin mewujudkan watak wirawati yang jarang kelihatan dalam filem Marvel sebelum ini.



"Chan membawa sesuatu kelainan pada wataknya dalam filem Eternals.



"Beliau mencorak Sersi sebagai wanita yang memiliki kelembutan, keihsanan dengan ciri kelemahan yang terdedah pada pelbagai situasi sekeliling tetap ada...macam manusia biasa di sebalik kuasa adiwira yang dimilikinya," kata Zhao.



Apa yang saya boleh katakan, Eternals membuat penonton berfikir semula tentang pengertian adiwira.



Tidak semestinya kelembutan itu satu kekurangan atau membawa tanggapan Sersi akan diperkotak-katikkan.



Kerendahan hati pada Sersi itu sendiri satu aset yang boleh menggoncang dunia, satu pengajaran buat manusia yang kerapkali alpa dengan keangkuhan.



Yang buat saya tertarik adalah ketika membaca rencana majalah Porter mengenai pengalaman membina Chan menjayakan filem ini.



Katanya, yang juga berlakon dalam filem The Crazy Rich Asians:



"Terima kasih kepada Eternals kerana membantu saya menggali lagi warisan kaum saya serta mengambil tahu lebih tentang darah Cina yang mengalir.



"Saya berada dalam situasi antara dua budaya dan tidak tahu bagaimana nak memberi respons setiap kali ada jiran yang memuji penguasaan bahasa Inggeris saya.



"Ada kalanya, saya lebih senang menjadi sebahagian warga London tanpa keturunan Asia saya menimbulkan isu dan menjadi tumpuan khususnya ketika nenek ajak saya membeli-belah di kedai dan cuba tawar menawar!"



Eternals juga mengenalkan anda pada watak Kingo yang dilakonkan Kumail Nanjiani, 43 tahun, pelawak dan pengacara podcast berketurunan Pakistan.



Glamor 'Bollywood' dalam filem Marvel



Kingo mempunyai kuasa memancar tenaga kosmik daripada tangannya. Di bumi, dia adalah bintang filem Bollywood terkenal dan tangkas.



Kumail dalam satu wawancara ingin kelihatan seperti watak John McClane (yang dijayakan Bruce Willis) dalam siri filem Die Hard. Impiannya berwajah kacak dan segak seperti Hrithik Roshan.



Kehadiran Nanjiani menjadikan Eternals tidak sepi daripada humor yang bersahaja.



"Nak buat persiapan bagi filem ini tidak semudah mana. Saya perlu menelaah filem lakonan Errol Flynn serta membaca skrip asal filem Zorro.



"Babak paling payah pastinya ketika diminta menari. Mencabar juga mengingati gerak langkah kaki dan tangan seorang pelakon Bollywood," tambahnya dalam majalah Entertainment Weekly.



Daripada watak Kingo ini, kita belajar erti kesabaran dan buat muka selamba untuk tidak terlalu tertekan dengan keadaan.



Wira Korea inspirasi generasi muda



Akhir sekali, Eternals memperkenalkan anda kepada adiwira Korea bernama Gilgamesh, lakonan Don Lee, 50 tahun.



Dia adalah anggota Eternals paling kuat yang akrab dan boleh membaca isi hati Thena (lakonan Angelina Jolie), seorang wirawati elit yang boleh membentuk senjata daripada tenaga kosmik.



Niat Lee menerima tawaran sebagai Gilgamesh adalah agar beliau dapat menjadi inspirasi buat warga Korea muda.



"Saya adalah adiwira Marvel Korea yang pertama. Ia memberi harapan buat generasi muda melakukan apa sahaja yang mereka cita-citakan.



"Saya juga dapat menggunakan kemahiran bertinju saya untuk peranan ini," kata-nya dalam rencana Entertainment Weekly.



Mungkin, wira dan wirawati Eternals masih asing lagi di fikiran penonton Marvel Studios berbanding Avengers.



Namun, dengan nama besar seperti Jolie dan Salma Hayek (selaku ketua Eternals), filem ini membuka dimensi baru pada kuasa luar biasa yang dimiliki sekumpulan kawan ini.



Teras dalam filem Eternals: Hidup itu satu perjuangan dengan si baik akhirnya berupaya menumpaskan si jahat dalam dunia penuh tipu muslihat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >