Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

KARYA

Nur Qaseh

Oct 30, 2022 | 05:03 AM



"Dari pintu belakang jugak kau nak masuk!" Mak Rosmah mengomel.



Setelah anak bujangnya berumah tangga dan berpindah, maka tinggallah Mak Rosmah dan Pak Hafiz bersama Nur Qaseh menetap di flat tiga bilik, tingkat satu di kawasan Marsiling.



Pak Hafiz yang sudah bersara sebagai jurutera di Universiti Teknologi Nanyang melayari kehidupan seharian dengan membantu Mak Rosmah berniaga kuih-muih secara sambilan dari rumah di siang hari.



Dan di kala senja menjelang, Pak Hafiz akan meluangkan masa untuk berjemaah di masjid yang berdekatan dengan rumahnya. Begitulah rutin pasangan Mak Rosmah dan Pak Hafiz menyara hidup seharian dengan wang simpanan Pak Hafiz selama ini serta hasil untung Mak Rosmah berniaga kuih-muih saban hari. Cukup harmoni dan aman damai.



Namun sikap Nur Qaseh sering membuat Mak Rosmah gelisah.



"Dari pintu belakangkan kotor, bau busuk, jijik. Masuklah dari pintu depan!" Ngomelan suara Mak Rosmah sering kedengaran saban hari khususnya di kala tengah hari sehingga jiran tetangga juga sudah tidak mahu campur tangan urusan Mak Rosmah dan Nur Qaseh.



Bagi mereka, ini adalah asam garam kehidupan masing-masing. Perubahan ke atas sesuatu boleh berlaku dek faktor semasa. Hanya yang kuat berpegang pada akal yang waras akan selamat. Yang gagal mengawal sikap dan nafsu, biasanya akan hanyut.



"Perangai binatang! Nak nasihat macam mana? Kita tegur bukan nak dengar." sindir Rosnita, jiran yang sering mengambil tahu hal ehwal seluruh blok dan jiran terdekat Mak Rosmah.



Kalau setiap cerita perihal rumah tangga, bayaran bil yang tertangguh, suami curang, isteri bersekongkol, anak luar nikah, penagihan, tercicir dari sekolah hingga ke penghuni yang tinggal sebatang kara dek diusir oleh ahli keluarga, semuanya dalam pengetahuan Rosnita.



Maka tidak hairanlah jika setiap penduduk di flat tersebut akan berhati-hati bila terserempak dengan Rosnita kerana setiap hal yang diketahui, pasti akan diheboh dan dicanang ke seluruh flat.



Tidak kiralah melalui jalan belakang atau jalan depan. Bagi Rosnita, yang penting maklumat yang diraih, perlu disebarluaskan.



Begitulah juga dengan sikap Nur Qaseh sudah diketahui oleh setiap penghuni flat di situ angkara hebahan Rosnita.



"Kau tu jual kuih dari rumah mesti jaga imej dan kebersihan. Jangan kerana Nur Qaseh, habis terlungkup bisnes." Perli Rosnita. Mak Rosmah menganggguk setuju.



"Sesuatu perlu dilakukan." Bisik hati Mak Rosmah. Adakalanya luahan hati Mak Rosmah dikongsi pada suaminya. Namun bak mencurah air di daun keladi.



"Kita dah jaga makan minun dan beri sepenuh kasih sayang padanya. Jadi apa-apa yang berlaku selepas itu, kita dah tak mampu nak ubah. Dan selera dia, biarlah." Jelas Pak Hafiz.



"Sampai bila abang nak macam gini? Kita buat jualan kat rumah. Imej dan kebersihan kena jaga." Luah Mak Rosmah bersungguh - sungguh.



"Ibarat bermain layang-layang. Adakalanya ditarik talinya, adakala dilepaskan? Begitu juga dengan kehidupan. Jangan mengongkong. Dikhuatir kelak buruk padahnya." Nasihat Pak Hafiz.



"Abang, kita kena tegas dengan Nur Qaseh," rayu Mak Rosmah lagi.



"Nak tegas dengan dia? Kalau dia lari dan tak pulang macam mana? Awak jugak yang risau nanti." Sindir Pak Hafiz.



Memang tidak dinafikan, adakalanya sikap itu terbentuk dari pengaruh, pengalaman, pergaulan atau mungkin dari sekitaran yang payah untuk dibendung dengan nilai dan budaya yang betul.



Yang dapat melihat seolah-olah sengaja membutakan diri dan yang buta pula cuba mencari identiti sendiri. Akhirnya kedua-duanya bercakar dan bercelaru tanpa ada titik persefahaman atau huraian yang tuntas.



Masing-masing berpeluk tubuh dan menganggap cara dan pendekatan mereka adalah yang tepat dan betul serta perlu diiktiraf oleh semua.



Hak kebebasan juga memainkan peranan dalam menentukan kehidupan seharian. Dan ianya bukan setakat bersandarkan pada warna hitam atau putih sebaliknya boleh ibaratkan bak pelangi yang membawa pelbagai kesan dan penafsiran yang berbeza bagi yang dapat melihatnya melalui kacamata yang waras.



Ini belum termasuk yang gagal untuk memberi ruang, peluang atau mencetus minda untuk menerima perubahan tanpa mencemar imej atau budaya kehidupan seharian.



Bak pepatah, "menarik rambut di dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak."



Malangnya, yang tukang tarik tidak kelihatan kesungguhannya.



"Kalau nak diikutkan, banyak cara untuk elak benda dari berlaku. Antaranya dengan berusaha, doa dan sabar. Jangan asyik nak guna kekerasan aje. Yang penting kita kena tahu, setiap masalah ada pakarnya untuk mendapat huraiannya.



"Tapi malangnya, kita lebih selesa cari tukang 'bakar' yang bersandarkan emosi dan amarah semata-mata untuk mencari solusi ke atas sesuatu perkara.



"Akhirnya, bak kata pepatah, "menang sorak tapi kampung tergadai." Panjang lebar nasihat Hajar, seorang pembeli kuih Mak Rosmah.



"Sama ada sedar atau tidak, kita juga yang silap pada peringkat awal. Setiap jagaan, asuhan di bawah bimbingan dan tanggung-jawab kita, kita lalai atau membiarkan dengan harapan ianya dapat berubah satu hari kelak.



"Akhirnya kita yang perlu tanggung-malu. Kita sebenarnya tak hayati secara mendalam peribahasa "melentor buluh biar dari rebongnya." Sambung rakan Hajar, Sikin.



Beberapa bulan berlalu. Pelbagai cara dilakukan oleh Mak Rosmah namun Nur Qaseh masih dengan sikapnya. Nak dihalang, Mak Rosmah tak sampai hati kerana sejak kecil Nur Qaseh dijaga dengan penuh kasih sayang dan sering menemani Mak Rosmah dikala kesunyian di flat tiga bilik itu.



Pada pagi Ahad sambil bersarapan, Pak Hafiz memanggil isterinya dari ruang tamu. Tangannya masih memegang surat khabar dan Nur Qaseh sedang berehat di sisinya.



"Rosmah, sini lekas." Pinta Pak Hafiz.



Rosmah datang dan duduk disisinya dengan segera.



"Seksyen 377A dah dimansuhkan." Kesal Pak Hafiz.



Rosmah tersentak lalu membaca laporan seterusnya yang terpapar di muka depan akhbar itu.



Nur Qaseh masih berehat di ruang tamu dan tidak mengendahkan apa yang sedang diperbualkan oleh Mak Rosmah dan Pak Hafiz.



Tiba-tiba Pak Hafiz menoleh ke arah isterinya sambil menuding jari ke arah Nur Qaseh.



Nur Qaseh terkejut.



"Nur Qaseh awak ini walaupun tak ada akal, tapi tahu bezakan yang mana jantan dan yang mana betina. Kita yang diberi akal ini tapi gagal mengawal nafsu dan naluri songsang!" tegas suara Pak Hafiz.



Mak Rosmah mengangkat Nur Qaseh perlahan ke ribanya dan membelainya.



"Gunalah pintu belakang sepuas hati kau Nur Qaseh asal kau bahagia sebab manusia dah mula bingung membezakan pintu depan dengan pintu belakang," usik Mak Rosmah ke atas kucing kesayangannya itu.




"Kau tu jual kuih dari rumah mesti jaga imej dan kebersihan. Jangan kerana Nur Qaseh, habis terlungkup bisnes.

... Sesuatu perlu dilakukan. ...Kita dah jaga makan minun dan beri sepenuh kasih sayang padanya. Jadi apa-apa yang berlaku selepas itu, kita dah tak mampu nak ubah. Dan selera dia, biarlah."




BIODATA PENULIS 



MOHD IKHLASH ABDULLAH lulusan Diploma Lanjutan di Politeknik Singapura dalam jurusan komputer bertugas sepenuh masa sebagai jurutera IT dengan sebuah syarikat setempat.

Pada masa lapang, selain menjadi anggota Asas'50, beliau sering menyumbang tulisannya di Berita Harian. Antara cerpen-cerpennya ialah seperti 'Nur Medina', 'Nur Lakshimi', 'Nur Organza', 'Nur Umairah Rezqi', 'Nur Maisarah', 'Nur Irfan, Nur Azizah, Nur Samudera, Nur Melor' dan 'Nur Nilam'.

Beliau menyertai Peraduan Anugerah Sayembara Novel dan manuskripnya berjaya terpilih sehingga terhasilnya sebuah novel berjudul 'KESAL' terbitan Pustaka Nasional.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >