Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Didicazli terus aktif jadi muazin sukarela di masjid

Sudah beri khidmat demikian di Masjid Alkaff Kampung Melayu selama lebih 10 tahun, kini galak orang ramai agar menderma bagi projek peningkatan masjid itu
Sep 17, 2021 | 05:30 AM



SUDAH lebih 10 tahun Didicazli Ismail menjadi muazin sukarela di Masjid Alkaff Kampung Melayu (MAKM).



Suaranya melaungkan azan boleh kedengaran pada setiap minggu kedua hari Jumaat sebelum bermula solat Jumaat.



Menurut Didicazli, yang dikenali ramai sebagai penyanyi, hatinya terbuka hendak mencuba melaungkan azan di masjid setempat tatkala beliau mendengar laungan azan yang merdu di Masjidilharam dan Masjid Nabawi semasa beliau menunaikan ibadah umrah pada 2009.



Lantaran itu, tatkala kembali ke tanah air, beliau mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus imam muazin anjuran Masjid Alkaff Kampung Melayu yang dibimbing oleh Ustaz Bahrul Ulum.



"Saya diberi peluang pertama saya untuk melaungkan azan untuk solat fardu asar pada hari biasa. Walaupun tidak ramai jemaah ketika itu, perasaan gemuruh saya sangat luar biasa sehingga saya menggigil satu badan," kata Didicazli, mengimbas pengalaman pertama beliau melaungkan azan di masjid tersebut.



Namun, pengalaman pertama itu menguatkan lagi semangat Didicazli untuk menjadi muazin sukarela.



Lalu, beliau berjumpa mantan muazin tetap masjid tersebut, Allahyarham Haji Masbah, yang banyak memberinya bimbingan dan dorongan supaya beliau mampu meneruskan tanggungjawabnya sebagai muazin sukarela.



"Setiap kali saya menjadi muazin sukarela, Allahyarham Haji Masbah akan memberi saya kad nota kecil yang memaparkan doa-doa yang harus dibaca selepas saya melaungkan azan.



"Sehingga hari ini saya menggunakan kad nota kecil itu tatkala giliran saya melaungkan azan di masjid," kata Didicazli.



Daripada berpeluang melaungkan azan untuk solat fardu asar, Didicazli kemudian diberi kepercayaan oleh pihak Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk melaungkan azan untuk solat Jumaat, solat tarawih, solat Hari Raya Aidilfitri dan solat Hari Raya Aidiladha.



Selain Masjid Alkaff Kampung Melayu, Didicazli turut menjadi muazin sukarela di tiga masjid lain apabila berpeluang.



Menjelaskan mengapa beliau terdorong menjadi seorang muazin sukarela, Didicazli berkata:



"Saya harap dengan suara yang dikurniakan Allah swt ini, saya menggunakannya bukan sahaja untuk menyanyi, malah, melaungkan azan, membaca Al-Quran dan membacakan doa-doa di masjid.



"Sejujurnya, dengan menjadi muazin sukarela ia memberi saya detik untuk bermuhasabah diri, mengingatkan saya bahawa saya hamba yang lemah yang melakukan banyak kesilapan."



"Pada tahun lalu ketika tempoh pemutus litar, peranan muazin digalas oleh kakitangan Masjid Alkaff Kampung Melayu yang masih melaungkan azan pada setiap masuk waktu solat fardu tanpa kehadiran jemaah.



Namun, muazzin itu akan menambahkan lafaz, yang bermaksud "Solatlah kamu di rumah rumah kamu", pada setiap azan.



Didicazli kembali menjadi muazin sukarela pada Ogos tahun ini selepas menerima dos kedua suntikan vaksin bagi mencegah penyakit Covid-19.



Menyingkap pelbagai kenangan indah di Masjid Alkaff Kampung Melayu di mana beliau pernah tinggal berdekatan, Didicazli tahu bahawa masjid itu sedang dalam proses mengumpul dana untuk kerja-kerja peningkatan.



Masjid Alkaff Kampung Melayu sedang berusaha untuk membina lif bagi memudahkan jemaah menuju ke tingkat dua dan tiga masjid itu.



Ia juga merancang menyediakan binaan yang akan memberi kemudahan kepada jemaah yang datang dengan berkerusi roda atau alat bantuan mobiliti peribadi seperti membina tanjakan atau laluan yang rata.



"Sebelum Covid-19, suasana Masjid Alkaff Kampung Melayu seperti suasana kampung di mana jemaah selalu bergotong royong. Jemaah juga saling kenal, tidak kira di kalangan yang sudah berumur atau yang muda.



"Maka, masjid ini bertujuan untuk melakukan kerja-kerja peningkatan demi keselesaan jemaah, dengan antaranya, membina lif bagi memudahkan jemaah ke tingkat dua dan tiga.



"Justeru, saya memohon kepada anggota masyarakat Islam Singapura agar menghulurkan derma dengan ikhlas untuk membantu melancarkan kerja naik taraf masjid ini kerana ganjaran daripada derma akan berterusan selagi sumbangan itu memberi manfaat kepada jemaah masjid," kata Didicazli.



Dalam pada itu, pihak Masjid Alkaff Kampung Melayu juga sangat menghargai tenaga muazin tetap dan sambilan yang telah melaungkan azan di masjid itu demi menghidupkan rumah Allah.




"Saya harap dengan suara yang dikurniakan Allah swt ini, saya menggunakannya bukan sahaja untuk menyanyi, malah, melaungkan azan, membaca Al-Quran dan membacakan doa-doa di masjid."
- Penyanyi, Didicazli.




CARA MENDERMA



Cara-cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.



  • Pindahan bank - OCBC : 581-608668-001

Sila nyatakan "Dana Peningkatan" di bahagian "Add reference no." atau "Bill Reference No." dan e-mel tangkap skrin transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg



  • CEK - Kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU

Sila nyatakan "Dana Peningkatan", nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian cek tersebut dan kirimkan kepada: Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapore 479221.



  • Paynow UEN : S94MQ0017D atau imbas Kod QR di bawah.

Sila nyatakan "Dana Peningkatan" di bahagian "Bill Reference No."



  • Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis : 2 ptg hingga 6 ptg.

  • Sila hubungi kami di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >