Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Warna budaya tali keharmonian

''Tanpa menghiraukan bangsa, bahasa dan agama, kami telah menjalin persahabatan yang erat. Begitu juga dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang tinggal di kawasan estet perumahan Toa Payoh. Mereka sering berkumpul dan bermain pada petang hari, lebih-lebih lagi pada hujung minggu.''
Jun 19, 2022 | 05:30 AM



KAWASAN permainan segi empat yang sederhana besar itu terasa semakin sejuk. Dapat aku rasakan hembusan angin yang sungguh damai.



Pohon-pohon di sekeliling taman permainan naga itu turut menari-nari. Tiada seorang pun yang berada di sini mahupun di kolong Blok 28, Toa Payoh Lorong 6 itu.



Aku masih menunggu kehadiran Mei Ling, Ramu dan David. Kami telah berjanji untuk bertemu di taman permainan naga sekitar 3 petang.



Pandanganku tertumpu kepada struktur kepala naga bermozek jingga di hadapanku. Di sinilah juga tempat kami berempat bertemu buat kali pertama kira-kira sembilan tahun lalu.



Tanpa menghiraukan bangsa, bahasa dan agama, kami telah menjalin persahabatan yang erat. Begitu juga dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang tinggal di kawasan estet perumahan Toa Payoh.



Mereka sering berkumpul dan bermain pada petang hari, lebih-lebih lagi pada hujung minggu.



Tanpa aku sedari, imbasan pengalaman manis satu-persatu mula menyelinap kembali ke danau fikiranku.



Ayah telah diberi tanggungjawab menjalankan pameran silang budaya untuk kanak-kanak di taman permainan naga sempena sambutan Hari Keharmonian Kaum pada tahun ini.



Sebagai wakil blok dan penduduk asal di estet itu, dia giat menjalankan usaha merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Dia berharap usaha ini boleh menambah pemahaman tentang budaya dan kepercayaan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.



Sejak kecil lagi, ibu dan ayah sering membawa aku mengenali jiran-jiran berlainan bangsa.



"Jiran sangat penting kerana merekalah saudara terdekat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan. Bak kata pepatah, jiran sepakat membawa berkat," kata-kata ibu itu sering terngiang-ngiang di telingaku.



"Siti, sudah lama awak tunggu?" suara Ramu menerjah gegendang telingaku. Aku tersentak dari lamunan. Ramu kelihatan termengah-mengah setelah penat berlari. Dia juga membawa beberapa beg plastik yang berat.



"Tidak, saya baru sahaja tiba. Apa yang awak bawa dalam beg plastik itu, Ramu?" tanyaku pula, pura-pura tidak tahu.



"Awak tidak ingatkah, Siti? Bukankah kita telah merancang untuk membuat rangoli pada hari ini," balas Ramu dengan nada yang bersemangat.



Perbincangan kami mengenai pameran silang budaya di taman permainan naga bersempena sambutan Hari Keharmonian Kaum yang telah bermula sejak dua minggu lalu.



Pameran tersebut akan diadakan di pekarangan taman permainan naga. Aku telah memberitahu kawan-kawanku bahawa ayahku menggalakkan penyertaan kanak-kanak yang tinggal di estet perumahan kami.



Setelah berbincang, kami bercadang untuk membuat rangoli di lantai ruang masuk ke taman permainan itu. Rekaan tersebut akan melambangkan budaya kaum masing-masing.



Jika Ramu membawa barangan untuk membuat rangoli, aku pula telah membawa beberapa biji kelongsong ketupat sebagai hiasan. Kelongsong tersebut telah dianyam bersama oleh David dan Mei Ling.



Ketika itu mereka menganyam ketupat di rumahku semasa Hari Raya. Aku sangat bersyukur kerana nenek dan tok sudi mengajar mereka menganyam ketupat.



Walaupun agak sukar pada mulanya, David, Mei Ling dan Ramu kini telah boleh menganyam ketupat. Seronok juga berkongsi cara menganyam ketupat kepada kaum yang lain.



Ketika menganyam, mereka juga sempat mendengar penerangan nenek mengenai ketupat.



Ketupat merupakan suatu identiti masyarakat Melayu yang sering dihidangkan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, nenek juga mengatakan bahawa ketupat dianyam agar isinya dapat kekal untuk beberapa hari.



"Comel sungguh ketupat yang kita anyam. Walaupun aku bukan berbangsa Melayu, aku berasa puas hati dengan hasil anyaman ini," kata Ramu sambil membelek-belek beberapa biji kelongsong yang kami anyam.



Selain kelongsong ketupat, aku membawa beberapa lampu colok dan lampu kelap-kelip untuk diletakkan di sekeliling kawasan tempat permainan naga.



Tanpa berlengah lagi, kami pun mula menyusun tepung dan ketupat sambil menanti ketibaan Mei Ling dan David. Ramu pun mula menggunakan beberapa batang kapur untuk membuat lakaran rangoli.



Ketika sibuk membuat lukisan di lantai berhadapan taman permainan naga itu, tiba-tiba terdengar jeritan suara.



"Cantiknya!" jerit Mei Ling.



Dia terpegun melihat corak-corak indah yang dilukis oleh Ramu.



Ini bukan kali pertama Mei Ling melihat lukisan rangoli di depan mata. Dia pernah menceritakan bahawa dia telah melihat Ramu dan adiknya Shasti bersungguh-sungguh melukis di lantai luar pintu rumah mereka. Mereka tinggal bersebelahan.



Ketika itu, Mei Ling sedang berjalan di koridor rumahnya. Nenek Ramu telah menjemput Mei Ling untuk sama-sama menghiasi rangoli yang bercorak bunga teratai.



Menurut nenek Ramu, teratai merupakan simbol jiwa manusia yang berkembang mekar.



Dia juga berkongsi bahawa rangoli merupakan seni tradisional kaum India yang menggunakan tepung beras pelbagai warna untuk menyambut perayaan Deepavali. Itulah merupakan kali pertama Mei Ling cuba membuat rangoli.



Pengalaman yang lalu itu telah membuat Mei Ling beria-ia hendak membantu Ramu menghiasai rangoli.



Pada masa yang sama, Mei Ling juga telah membawa beberapa hiasan yang menunjukkan ciri-ciri budaya orang Cina. Mei Ling pun meletakkan beberapa tanglung di lantai. Dia sangat bangga dengan ciptaan tanglung kertas buatannya sendiri.



Oleh kerana dia sangat mahir membuat tanglung, dia telah diberi peluang oleh Encik James, guru kelas kami, untuk berkongsi kemahiran itu bersama para pelajar yang lain di kelas kami sempena sambutan Pesta Tanglung pada tahun lalu.



Perayaan Pesta Tanglung juga telah mendapat sambutan semua penduduk pelbagai bangsa di estet perumahan kami tidak kira bangsa.



Fikiranku melayang ke zaman sekolah tadika. Ketika itu, kami semua sedang memegang rekaan tanglung masing-masing yang berbentuk haiwan seperti gajah, naga, kancil dan tikus.



Menurut Mei Ling, bintang-binatang itu juga terdapat dalam Zodiak Cina. Kami dibawa mengelilingi kawasan sekolah pada waktu malam untuk menandakan tamat perayaan Tahun Baru Cina.



Ternyata acara pesta tanglung ini juga telah merapatkan hubungan rakan-rakan yang berbilang kaum di estet perumahan kami.



Semasa sesi perkongsian di sekolah, Mei Ling mengatakan bahawa tanglung bukan sahaja digunakan untuk perhiasan. Tanglung digantung di hadapan rumah untuk mengalu-alukan kehadiran para tetamu.



Tanglung merah melambangkan kemakmuran, kemeriahan dan kegembiraan bagi masyarakat Cina. Oleh sebab matlamat kumpulan kami adalah untuk menunjukkan perpaduan, Mei Ling membuat beberapa tanglung berwarna merah, hijau, biru dan ungu untuk melambangkan warna setiap kaum.



Kemudian kami menggantungkan tanglung-tanglung, ketupat dan lampu kelap-kelip itu di palang-palang besi badan naga.



Ketika kami semua sibuk menjalankan tugas masing-masing, kedengaran petikan gitar dan nyanyian lagu 'Jinkli Nona'.



Jinkli nona, jinkli nona

yo kereh kazah

kaza nunteng porta nona

klai logu pasah?



Teng kantu teng

kantu teng falah nunteng

amor, minya amor

amor minya korasang



"Hebat sungguh nyanyian awak, David," puji Ramu sambil menepuk bahu David.



Lagu yang sinonim dengan kaum Serani itu sering didendangkan oleh ayah David dalam acara keramaian para penduduk di estet Toa Payoh. Kami juga turut menyanyikan lagu tersebut.



Lagu ini sangat terkenal dan sebati dengan para penduduk di estet kami sehinggakan mampu dinyanyikan oleh sesiapa sahaja.



Setelah selesai menggantungkan ketupat dan tanglung, tanpa berlengah, kami berempat mula melukiskan beberapa corak untuk melambangkan budaya kaum Melayu, Cina, India dan Serani di Singapura.



Terdapat gabungan corak ketupat, bunga teratai dan nota muzik di rangoli itu. Setelah hampir dua jam, rangoli kami pun selesai.



Tanpa kami sedari, matahari kian terbenam di ufuk barat. Warna jingga kemerah-merahan mula mencoret dada langit samar-samar menandakan bahawa tirai malam akan berlabuh.



Masa yang dinanti-nantikan pun tiba. Masing-masing telah diberikan tugas. David harus memetik suis untuk menyalakan lampu kelap-kelip. Aku dan Ramu menyalakan lampu colok dan lilin yang diletakkan di sekeliling rangoli.



Mei Ling pula menghidupkan lampu tanglung yang telah digantung.



Hati kami melonjak kegembiraan apabila melihat sekumpulan orang meneliti perhiasan kami serta yang dilakukan oleh kumpulan kanak-kanak yang lain.



Selain menikmati dan meneliti perhiasan, ramai juga yang membaca keterangan mengenai rekaan kami. Dengan cara ini, mereka boleh memahami lambang dan ciri-ciri budaya yang dipamerkan.



Aku tersenyum gembira melihat hasil kami dinikmati ramai. Sebagaimana tercalitnya lambang budaya setiap bangsa yang bersatu dalam hiasan rangoli, begitu jugalah yang aku harapkan ke atas persahabatan kami berempat dan juga hubungan antara penduduk di estet perumahan Toa Payoh ini.



Semoga dengan memahami budaya setiap bangsa dengan lebih baik, silaturahim dan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum juga akan menjadi lebih utuh! Sempena Hari Keharmonian Kaum ini, harapanku adalah untuk Singapura terus harmoni dan maju.



Dirgahayu Singapura!



"Tanpa menghiraukan bangsa, bahasa dan agama, kami telah menjalin persahabatan yang erat. Begitu juga dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang tinggal di kawasan estet perumahan Toa Payoh.



Mereka sering berkumpul dan bermain pada petang hari, lebih-lebih lagi pada hujung minggu.''




BIODATA PENULIS



Allysha Asmadi, 10 tahun, adalah pelajar Sekolah Rendah Perempuan Raffles yang pada 2021 telah melancarkan buku pertamanya, 'The Miracle Healer'.



Buku 10 halaman itu ditulis setelah dia mengikuti program di Artistic Strategies Academy,



'The Miracle Healer' menceritakan kisah dua wanita, Crystal, yang mempunyai keupayaan menyembuhkan manusia dan haiwan dengan biola dan suaranya, dan Alena, yang cemburu dengan kelebihan Crystal sehingga dia sanggup mencuri biola itu agar dapat memiliki keupayaan tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >