Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Cipta muzik sebagai jambatan, terapi jiwa

'Single' pertama bakat muda SG Maya Raisha 'im bored (i'll pass)' bagi suntik semangat tidak mudah menyerah
Jun 05, 2021 | 05:30 AM



SEJAK kecil, Maya Raisha Zainudin, 18 tahun, sudah dididik untuk melihat muzik lebih daripada sekadar hiburan.



Muzik boleh menjadi jambatan masyarakat.



Muzik boleh menjadi penawar emosi yang tertekan.



Justeru, apabila beliau akhirnya berpeluang merakamkan single pertamanya, im bored (i'll pass), ia juga membawa mesej menyuntik semangat "jangan mudah mengalah menerima sesuatu yang tidak wajar sedang anda seharusnya menerima yang lebih baik".



Lagu tersebut, yang ditulis dan digubahnya sendiri, baru dilancarkan pada 1 Jun. Ia boleh didengar di berapa wadah termasuk Spotify dan Youtube.



Maya, yang pada awal tahun diketengahkan di akhbar ini sebagai antara pelajar cemerlang dari Maktab Rendah Eunoia dalam keputusan GCE peringkat 'A', akan menyertai Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Ogos ini, mengikuti bidang Psikologi.



Penerima Biasiswa Elektif Bahasa Perancis Kementerian Pendidikan (MOE) dan pengasas band rok di sekolahnya ini meraih tiga gred A bagi subjek H2.



Bercakap kepada Berita Harian, anak kedua mantan Anggota Parlimen Zainudin Nordin ini berkata beliau memilih bidang tersebut kerana berharap ia dapat dilanjutkan kepada ilmu terapi muzik untuk pemulihan tekanan mental dan emosi.



"Sejak dulu lagi saya suka meneroka bagaimana muzik boleh menjadi ekspresi kreatif untuk pelbagai perkara yang baik... sebagai jambatan untuk mendekati masyarakat, sebagai satu kaedah rawatan dan hal-hal pendidikan," ujar beliau.



Bercakap mengenai lagu im bored yang diterbitkan Jason Jaydos, Maya yang telah didedahkan kepada muzik jaz sejak berusia 11 tahun dan terlatih bermain piano klasikal sejak kecil, berkata apabila semakin dewasa beliau suka bereksperimen menyerapkan elemen blues ke dalam irama jaz yang dibawakannya.



"Dari segi muzik, saya mungkin berjiwa orang lama tetapi sebagai orang muda, saya juga mahu lagu saya diterima golongan sebaya.



"Justeru saya terapkan bunyian elektronik. Seronok juga apabila saya berjaya mendapatkan gabungan irama jaz klasik lama dengan alunan elektronik yang canggih," kata beliau.



Sementara single pertama itu diusahakan mencapai lebih ramai pendengar, Maya sudah pun memulakan proses menyiapkan rakaman single kedua.



"Sebenarnya saya sudah mengumpul banyak lagu yang boleh dijadikan album penuh. Saya harap dapat lancarkan single kedua sebelum semester pertama di NTU bermula nanti," ujarnya.



Selain itu, beliau juga akan menyiapkan video muzik lagu im bored yang kemudian akan dimuat naik di media sosial.



Ditanya sama ada beliau mempunyai rancangan menjadikan kerjaya muzik sepenuh masa kelak, Maya berkata pengalaman ibunya Lazmin Ibriam yang pernah menjadi penyanyi band etnik Culture Vulture boleh dijadikan sandaran.



"Ibu adalah pengurus saya dan selalu berkongsi pengalamannya sebagai penyanyi. Kerjaya muzik ini memang sangat bagus tetapi kadang kala tidak menentu dari segi pendapatan.



"Ada kala pendapatan begitu banyak, ada kala tak ada langsung. Anda harus bekerja keras. Saya mencari keseimbangan dalam apa saja yang saya lakukan," ujar beliau yang pernah menyertai konsert amal ChildAid anjuran The Straits Times dan The Business Times.



Sementara mengembangkan muziknya di peringkat komersial, Maya bersama keluarganya meneruskan sumbangan kepada masyarakat dengan mengajar kelas menggesek biola untuk kanak-kanak daripada keluarga susah dalam projek yang dinamakan Heartstrings yang dimulakan sejak 2015.



Beliau dan kakaknya, Nur Shaheen, 21 tahun dan adiknya, Heema Izzati, 14 tahun, setiap dua minggu juga akan mengajar kelas biola di Balai Rakyat Toa Payoh South. Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat pernah hadir ke kelas itu untuk memberi sokongan, kata Maya.



Kelas itu sementara ini ditiadakan secara fizikal sejak Covid-19.



Bermula dengan hanya enam pelajar, projek itu kini telah berkembang dengan ramai relawan dari kalangan pelajar muzik bertauliah termasuk dari Institusi Raffles (RI) dan NUS High yang tampil membantu.



"Saya gembira kerana semakin ramai yang tampil membantu dan kami menerima biola terpakai daripada para pemuzik untuk didermakan kepada para pelajar," kata Maya.




" Sejak dulu lagi saya suka meneroka bagaimana muzik boleh menjadi ekspresi kreatif untuk pelbagai perkara yang baik... sebagai jambatan untuk mendekati masyarakat, sebagai satu kaedah rawatan dan hal-hal pendidikan... Dari segi muzik, saya mungkin berjiwa orang lama tetapi sebagai orang muda, saya juga mahu lagu saya diterima golongan sebaya. Justeru saya terapkan bunyian elektronik. Seronok juga apabila saya berjaya mendapatkan gabungan irama jaz klasik lama dengan alunan elektronik yang canggih.
- Maya Raisha Zainudin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >