Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SAJIAN KHAS HARI INI: IKON MASYARAKAT

Dari Muzika ke studio era maya

Usahawan susun strategi sesuai dengan tuntutan ekonomi
Sep 16, 2021 | 05:30 AM



Mengubah dan menyusun semula strategi perniagaan menjadi cabaran ramai usahawan terutama dalam menghadapi gelombang ekonomi gara-gara Covid-19. Namun bagi usahawan setempat, Encik Salleh Abdul Samad, beliau telah menongkah arus dunia perniagaan sejak era 1980-an lagi - termasuk menghadapi tiga zaman kemelesetan ekonomi (1986, 1991 dan 2009), gangguan teknologi sehingga memaksanya menutup salah satu perniagaannya yang cukup dikenali di kalangan masyarakat Melayu dan terkini menyusun semula perkhidmatan perniagaannya demi memenuhi keperluan sesuai era sekarang. Ikuti perbualan BERITA HARIAN dengan Encik Salleh tentang kembara niaganya dari era Muzika Rekod ke syarikat berbilang media.




MUZIKA Rekod pernah menjadi ikon masyarakat Melayu selama 30 tahun dari 1986 hingga 2016, bertapak megah di tingkat pertama Joo Chiat Complex berhadapan pasar Geylang Serai.



Di situlah tempat orang mencari bukan sahaja aneka bahan muzik serantau dan antarabangsa, bahkan bahan-bahan pengajian Islam yang dihasilkan dalam bentuk kaset dan kemudian cakera padat (CD).



Di situ jugalah tempat personaliti tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Singapura - termasuk artis dan golongan pendakwah sering mengadakan pelancaran album atau sesi bertemu peminat sehingga sebahagian industri negara jiran berpendapat tidak sah datang ke Singapura tanpa singgah ke Muzika Rekod.



Namun kerana perubahan pesat teknologi termasuk muzik - apabila orang tidak lagi membeli album fizikal kerana beralih ke wadah digital, baik yang berbayar mahu pun percuma seperti Spotify, Apple Music, YouTube dan sebagainya - Muzika Rekod akhirnya terpaksa ditutup pada 2016 selepas 30 tahun beroperasi.



Premis kedai itu masih wujud tetapi telah diubah perniagaannya kepada bekalan pakaian dan kedai itu dinamakan Glamour Muzika.



Namun pemiliknya, Encik Salleh Abdul Samad, tidak berhenti di situ.



Beliau meluaskan pula studio penerbitan Protrack Productions yang telah diusahakannya sejak 1998 - syarikat yang menyediakan peralatan audio visual dan lampu untuk acara-acara besar dan di studio.



DARI ANALOG KE DIGITAL



Daripada menggunakan sistem analog, beliau meningkatkan keupayaan kepada sistem digital sehingga kini menjadi antara syarikat perkhidmatan audio visual dan studio yang banyak bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah.



Mengimbas kembali jatuh-naik beliau mengusahakan perniagaannya, usahawan peramah dan bersikap low profile ini berkata beliau pertama kali melangkah ke dunia perniagaan apabila diajak teman sekampungnya sejak kecil yang dikenali Encik Abdullah Jaffa, pemilik asal Muzika Rekod cawangan pertama di Queensway pada 1986. Seorang lagi rakan kongsi mereka ialah Encik Rahmat Pari.



Walhal Encik Salleh, yang terlatih dalam bidang perkapalan di Keppel Shipyard, sedang menunggu dipanggil untuk berlayar bekerja sambil belajar.



"Abdullah pujuk saya bantu dia uruskan Muzika di Queensway. Jadi saya lupakan hasrat jadi perantis belayar kapal. Kemudian, apabila ada tawaran sewa kedai di Joo Chiat, saya ambil tempat itu dan buka cawangan Muzika. Mula-mula kedai di Joo Chiat merupakan francais tetapi kemudian saya ambil alih sepenuhnya."



Bapa Encik Salleh, pemilik Abdul Samad Renovations Contractor yang baru bersara, memberi modal $25,000 kepadanya untuk memulakan perniagaan kedai muzik itu.



"Bapa saya beri saya syarat sebelum kasi modal itu... dia kata jangan judi, minum arak dan berzina kalau nak perniagaan berkah," kongsi Encik Salleh.



Kedai di Queensway ditutup beberapa tahun kemudian dan Encik Salleh meneruskan perniagaan di Joo Chiat sendiri, dibantu adiknya, Encik Rosman Abdul Samad, dan pekerja lain.



Muzika Rekod di Joo Chiat Complex mencipta banyak sejarah manis.



Penjualan album Melayu di situ mengatasi penjualan di toko-toko muzik besar lain di Singapura atau 80 peratus daripada pasaran keseluruhannya.



"Sebagai pemilik saya ambil tahu semua perkembangan muzik daripada semua genre. Saya tak tunggu orang cari album apa yang mereka nak, tetapi saya yang kenalkan mereka album-album baru, muzik atau album dakwah berkualiti yang patut mereka dengar. Sebab itu saya ambil tahu semua genre muzik daripada jaz, jaipong, dangdut, pop, rok hinggalah ke instrumental yang hebat-hebat daripada artis antarabangsa.



"Sebab itu ada pelanggan kata, masuk Muzika Rekod macam berhantu... datang dengan niat nak beli satu kaset atau CD, tetapi bila keluar angkut sampai lima hingga 10 keping!" selorohnya.



Beliau juga bersungguh-sungguh membantu mempromosikan album yang dianggap wajar diketengahkan, antaranya seperti album nasyid kumpulan Raihan di bawah label WEA.



"Bila pertama kali dengar lagu-lagu Raihan dari album Puji-Pujian, saya begitu terpesona dan terus hubungi mantan penyiar, Kak Aminah Siregar, yang ketika itu bertugas di waktu subuh. Saya minta Kak Aminah agar memainkan lagu-lagu Raihan. Ternyata, kesannya cukup hebat. Raihan meletup di Singapura dengan penjualan puluhan ribu hanya di sini.



"Saya pernah kasi invois dengan bayaran $70,000 kepada syarikat WEA (kemudian dikenali sebagai Warner Music) di Malaysia hasil penjualan album artis label itu dari kedai Muzika. Bos WEA sampai hubungi saya untuk ucapkan terima kasih dan berkata hanya mahu berurusan dengan Muzika bagi pemasaran artisnya di Singapura," kongsi beliau.



ANTARA PERTAMA KENALKAN DJ MAJLIS KAHWIN



Ketika mengendalikan Muzika, Encik Salleh manfaatkan katalog muzik yang cukup luas dari Indonesia, Malaysia dan Singapura itu dengan mengenalkan khidmat deejay bagi majlis perkahwinan orang Melayu.



"Seingat saya, Muzika dan syarikat yang dikendalikan AB Shaik dan abangnya merupakan antara yang pertama mengenalkan khidmat deejay majlis kahwin. Kami mulakan khidmat itu sebab sudah lengkap semua peralatan, terutama katalog muzik yang luas. Beberapa bulan kemudian, khidmat deejay tumbuh macam cendawan selepas hujan. Terlalu banyak...



"Bila dah terlalu banyak khidmat deejay orang kahwin, persaingan terlalu sengit sehingga ada yang sanggup caj $300 atau $400 saja. Bagi saya, kalau nak rebut job dengan bayaran serendah itu, tak payahlah... tak berbaloi sebab duit pengangkutan dan tenaga pun tak lepas.



"Jadi selepas 12 tahun, pada 1998, saya hentikan saja khidmat deejay dan tumpukan perkhidmatan kepada acara-acara korporat dan penganjuran acara seperti eskpo," ujar beliau.



GANGGUAN TEKNOLOGI



Selain itu, beliau juga membuka studio rakaman, antara lain menghasilkan album baru untuk kumpulan Rythm Boys.



Ancaman gangguan teknologi yang mula menyusup ke industri secara perlahan-lahan melemahkan Muzika Rekod apabila orang tidak lagi membeli album secara fizikal kerana beralih ke wadah digital.



"Itulah era yang sangat sedih buat saya. Semasa era kegemilangan, saya boleh jual 600 sehingga 1,000 CD dalam sehari, tetapi bila dah hujung-hujung zaman, cuma dapat $25 satu hari. Itupun kami bertahan... syarikat besar seperti HMV dan Tower Records semua berhenti operasi... lima tahun kemudian pada 2016, baru Muzika Rekod tutup kedai. Hari terakhir kedai merupakan hari yang paling sedih buat saya,"ujarnya.



Mujur stok CD dan kaset di kedai itu tidak banyak, kata Encik Salleh dan bakinya hampir kesemuanya telah dimusnahkan.



Premis Muzika di Joo Chiat Complex kini dikenali sebagai Glamour Muzika yang menjual aneka pakaian Melayu dan jubah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >