Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Drama cereka sains 'Distopia' wakil S'pura ke Anugerah Kreatif Akademi Asia

Idea 'pelik' pengarah Mahfuz Mazlan bawa kejayaan peringkat nasional dalam lakon layar, kesan khas dan drama terbaik
Oct 09, 2021 | 05:30 AM



Dua drama Melayu yang keluar daripada zon selesa dan disiarkan di saluran Mediacorp Suria dan aplikasi meWATCH terpilih sebagai wakil Singapura ke acara Anugerah Kreatif Akademi Asia pada Disember ini. Baru-baru ini, 'Distopia' dan 'Karipap Haiz' dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Nasional yang akan bersaing dengan wakil dari negara lain. Apakah kelainan yang cuba ditawarkan sang pengarah? BERITA HARIAN melaporkan.



KALI pertama pengarah dan penulis naskhah drama futuristik Distopia, Muhammad Mahfuz Mazlan, mengemukakan idea menghasilkan siri ini, bermacam reaksi diterima.



Beliau dan pasukan penerbitan Konxepz Productions mendapat maklum balas kumpulan fokus siaran drama di Suria bahawa Distopia terlalu di awang-awangan, payah dicapai dek keterbatasan sumber dan ganjil.



Namun, Mahfuz, 47 tahun, dikenali sebagai karyawan filem yang tidak mudah putus asa.



Keyakinan yang diberi penerbit eksekutif Distopia, Salleh Abdul Samad, serta kerja keras penerbit Iskandar Ramli dan pereka bentuk penerbitan Yane Shaharuddin, merealisasikan impian menyajikan penonton Melayu era penstriman digital dengan kelainan.



Hasilnya, pasukan Mahfuz bersyukur kerana Distopia menang besar dengan tiga Anugerah Nasional, Anugerah Kreatif Akademi Asia 2021.



Drama yang mengupas isu kemanusiaan seperti nyanyuk, hubungan ibu dengan anak atau usaha mencari pasangan dengan unsur futuristik sebagai premis memenangi Anugerah Nasional bagi kategori Lakon Layar Asli Terbaik; Drama/ Telefilem/Episod Antologi Terbaik dan Kesan Visual dan Kesan Khas Terbaik dalam Siri Televisyen atau Filem Ceritera.



Ini bermakna Distopia mewakili Singapura dalam persaingan sengit pada 2 dan 3 Disember ini bersama kerja seni dari New Zealand, India, Jepun, Korea, Filipina, Taiwan dan Thailand.



Antara pesaing Distopia termasuk dua drama Netflix, Navillera dari Korea dan Pagglait dari India.



Navillera menceritakan tentang dua lelaki dari generasi berbeza yang menaruh impian bergelar penari balet. Pagglait pula mengenai janda muda kematian suami.



'DISTOPIA' BERSAING DENGAN DRAMA POPULAR NETFLIX



Ketika dihubungi Berita Harian, Mahfuz terharu Distopia diiktiraf dan bersaing dengan program bermutu dari rantau Asia yang disiarkan di Netflix.



"Bagaikan mimpi apabila Distopia bersaing dengan kerja seni yang saya minati seperti Alice in Borderland dan Sweet Home.



"Saya berasa rendah hati penerbitan kecil kami mewakili Singapura di pentas antarabangsa. Banyak cabaran sukar dan pengorbanan yang kami lalui. Kemenangan Anugerah Nasional ini membuktikan segala pengorbanan kami berbaloi," katanya.



Memandangkan skala projek ini besar dengan cerita setiap episod di luar kebiasaan, Konxepz Productions payah meramalkan penerimaan penonton.



"Kebanyakan babak memerlukan Imej Janaan Komputer (CGI) yang tinggi tahapnya. CGI yang ingin kami gunakan hanya wujud dalam filem dan iklan berbajet tinggi.



"Kami perlu lebih kreatif dan berhati-hati dalam berbelanja agar estetik visual drama yang kami inginkan tetap dapat direalisasikan dengan bajet terbatas.



"Nak cari lokasi sesuai bagi projek futuristik juga sukar memandangkan penggambaran dibuat sewaktu pandemik. Orang pun lebih berjaga-jaga jika ingin benarkan kami buat penggambaran di lokasi mereka," tambah Mahfuz.



ANAK MELAYU MAMPU CIPTA KELAINAN DUNIA TV



Di sebalik komen golongan yang tidak yakin Distopia mampu dihasilkan syarikat penerbitan Melayu yang kecil, Mahfuz tidak menyalahkan tanggapan sedemikian.



"Saya akur ia projek yang nampak persis bercita-cita tinggi. Tak ada orang pernah buat drama sebegini. Saya sendiri tidak yakin.



"Namun, pereka penerbitan dan penyelia kesan khas, Yane, kerap meyakinkan saya bahawa beliau dan pasukannya boleh melaksanakan amanah besar ini.



"Klip contoh kesan khas dijana bagi membuktikan kata-katanya dan demi meyakinkan saya agar masukkan lebih CGI dalam skrip.



"Saya masukkan gajet dan teknologi yang tak pernah terfikir. Saya yakin #MelayuBoleh!" ujarnya.



Ditanya mengenai gajet kegemarannya yang dipapar dalam Distopia, Mahfuz berkata:



"Yang paling saya suka ialah robot Antapermana Dynamics. Itulah contoh CGI pertama yang mencetus semangat kami menghasilkan lebih banyak kesan khas visual dan CGI lebih kompleks.



"Bapa saya sangka ia robot betul yang berfungsi sampaikan bertanya, 'Dari mana Mahfuz sewa robot untuk 'shooting'? Soalannya buat saya tahu kami di landasan yang betul."



Dengan kejayaan Distopia, Mahfuz yakin peluang menghasilkan drama di luar kebiasaan kerja seni Melayu dengan jalan cerita menarik kini terbentang luas.



Menurutnya, drama dengan jalan cerita lebih canggih seperti SR115, Raksasa, Kultus dan Distopia mempunyai tarikan bagi pasaran antarabangsa.



"Saya tahu wujud penerbitan 'akan datang' yang keluar daripada kebiasaan jalan cerita drama Melayu atau nilai penerbitan.



"Berbekal pembiayaan dana yang sewajarnya, sokongan dan ruang meneroka topik serta jalan cerita menarik, tidak mustahail bagi kita menghasilkan sesuatu buat tontonan lebih ramai orang.



"Kita perlu menceritakan kisah yang bukan sahaja dekat di hati masyarakat Melayu malah boleh diterima penonton antarabangsa.



"Dengan firma penerbitan penstriman 'raksasa' kini menyajikan kandungan serata dunia, baik Jepun, Korea, Thailand, India dan Turkey mahupun Afrika Selatan, tiada sempadan dan halangan bahasa.



"Inilah masa buat anak Melayu menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada karyawan filem seperjuangan dari dunia Melayu lain," jelas Mahfuz mengenai wawasannya.



Beliau baru sahaja tamat penggambaran kisah zombi, Apokalips, yang dijayakan Fir Rahman, Suhaillah Salam, Azhar Nor Lesta dan Lydia Asyiqin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >