Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Gerhana' satukan ilham dua pencipta lagu Gen-Z

Bakat SG Aisha Ayesha dan Rahmat Damansari bentang kisah penantian insan terpisah
Oct 18, 2021 | 05:30 AM



Peraduan mencipta lagu di saluran Suria, Projek Lagu, menjadi tapak mereka mengasah bakat dan melihat sejauh mana karya seni mereka boleh pergi. Namun, dua peserta pertandingan yang sudah mara ke peringkat suku akhir peraduan ini mempunyai projek lagu lain yang terus mereka jana dengan teman-teman seiring jalan. BERITA HARIAN melaporkan kisah mereka.



PADA usia muda tujuh tahun, penggubah lagu dan penyanyi Singapura, Huraisha Mohd Rafee, sudah pun berjinak-jinak menggubah irama lagu serta mencoret lirik dalam beberapa buku notanya.



Huraisha, 24 tahun, yang menggunakan nama pentas Aisha Ayesha masih menyimpan karya awalnya itu bahkan menjadikannya pembakar semangat setiap kali memasuki peraduan mencipta lagu seperti Projek Lagu anjuran Mediacorp Suria.



Lulusan ijazah ciptaan muzik daripada Maktab Seni Lasalle itu menganggap Projek Lagu membantunya menambah keyakinan diri agar tampil ke depan tanpa keresahan atau canggung di hadapan kamera.



Selain belajar menepati tarikh akhir yang ketat dalam peraduan ini, beliau teruja muncul di saluran televisyen nasional dan mendendangkan lagu ciptaan dirinya dan rakannya Andy Gan.



Satu lagi pencapaian peribadinya tahun ini adalah gandingan kerjasama dengan seorang lagi penggubah dan penyanyi muda, Rahmat Damansari, 20 tahun.



Lagu Gerhana yang kini berkumandang di gedung digital Spotify dan Apple Music merupakan hasil ilham mereka berdua.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Aisha dan Rahmat.



Soalan (S): Ceritakan perjalanan seni anda.



Aisha: Saya bermula dalam muzik pada usia yang sangat muda. Saya menyanyi dan mencipta lagu seawal tujuh tahun.



Lirik asli yang dicipta tertulis rapi dalam buku nota yang masih tersimpan hingga hari ini.



Pada masa lalu, saya hanya suka-suka menyanyi tetapi secara profesional, bidang seni ini saya perkembangkan pada usia 16 tahun.



Sejak itu, saya mula gigih memasuki peraduan mencipta lagu dan menyedari ada banyak perkara yang ingin saya sumbangkan dalam laluan kerjaya seni ini sejurus saya mula memenangi atau diterima dalam peraduan tempatan ini.



Saya meneruskan pengajian saya dalam bidang ciptaan muzik di Lasalle pada 2017 dan tamat pengajian pada Mei 2020.



Buat masa ini, saya adalah pencipta lagu bebas bagi artis tempatan lain dan artis antarabangsa.



S: Bagaimana 'Projek Lagu' membantu anda dan bagaimana atasi cabaran dalam peraduan ini?



Aisha: Projek Lagu memberi saya keyakinan diri. Saya dewasa dengan rasa serba resah yang mencengkam jiwa. Saya tak suka berada di depan kamera atau bertugas menepati tarikh akhir yang ketat.



Lantaran itu, apabila saya muncul buat kali pertama dalam persembahan secara langsung di televisyen, ia adalah satu pencapaian terbaik secara peribadi.



Cabaran datang dalam bentuk keyakinan diri. Saya tak pernah terfikir diri saya akan menyanyi di televisyen nasional.



Nak tepati tarikh akhir yang buat saya terkejar-kejar payah juga sebab saya bertugas sepenuh masa sebagai spesialis pemasaran dan mempunyai tugas bebas dalam bidang muzik.



S: Bagaimana tercetusnya idea kerjasama bagi lagu 'Gerhana'?



Rahmat: Kami bertemu dalam talian Instagram tahun lalu dan berbincang tentang kemungkinan kami dapat usahakan lagu bersama.



Hanya baru-baru ini, kami merealisasikan projek ini dan bertemu bagi merakam vokal kami di studio rumah seorang teman.



S: Apakah takrifan peribadi anda berdua tentang 'Gerhana'?



Rahmat: Apabila anda kali pertama mendengar Gerhana, anda akan dapati ia adalah lagu dengan rentak gembira yang pasti menghiburkan hati tetapi amati liriknya. Ada maksud lebih mendalam untuk diselami.



Ia mengisahkan tentang dua insan yang terpisah. Ia luahan hati seseorang yang akan menanti kekasih hatinya walau penantian itu makan masa lama.



Saya menghasilkan irama dan lirik lagu ini. Kemudian, saya kirimkannya kepada Aisha. Beliau pula menaiktarafkan lagu ini dengan rangkap melodi dan lirik hasil ilhamnya sendiri.



Lagu ini diterbitkan pasukan penerbitan tempatan INTHENOW, yang juga rakan kami.



Aisha: Apabila Rahmat mengirimkan saya lagu ini, saya langsung jatuh cinta dengan konsep dan keratan lagunya.



Rahmat adalah salah seorang penyanyi dan pencipta lagu Singapura yang saya gemari. Bukan kerana beliau sahabat saya tetapi saya secara ikhlas melihat potensinya.



Saya berbesar hati dapat berganding bahu dengannya. Lagu ini senang dikaitkan dengan diri maka tidak sukar bagi saya menyumbang melodi dan lirik saya bagi mencantikkan lagu ini lagi.



S: Apa lagi yang Generasi Z seperti anda mahu lihat dalam persada muzik Singapura?



Rahmat: Saya mahu lihat lebih ramai pemuzik Singapura menghasilkan karya asli mereka, mengikut stail tersendiri. Sokonglah satu sama lain. Kalau tak kita yang menyokong teman seperjuangan, siapa lagi?



Aisha: Saya merasakan kita kurang sokongan daripada masyarakat setempat. Bukannya tiada orang Singapura yang menyokong muzik Singapura tetapi nampaknya kurang inisiatif di peringkat akar umbi.



Sokongan buat artis antarabangsa pula banyak. Baguslah tetapi kadangkala orang kita tidak menyedari terdapat kelompok besar dalam kalangan bakat Singapura yang sayangnya terpinggir atau terlepas pandang kerana karya mereka tidak dipromosikan masyarakat setempat.



S: Apakah langkah selanjutnya buat anda?



Rahmat: Saya akan terus menjana lagu buat pendengaran umum, sesuatu yang mereka sukai. Saya berharap benar pandemik ini akan berakhir sebab saya tak sabar nak naik pentas lagi dan kemungkinan menebarkan sayap ke Malaysia bagi bekerjasama dengan penerbit dan penyanyi di seberang. Itulah impian besar saya. Saya akur saya perlu kerja keras.



Aisha: Saya sedang berusaha menjadi penggubah lagu dan penulis lirik profesional buat artis antarabangsa.



Saya kini bekerjasama dengan penerbit antarabangsa daripada syarikat sejagat. Impian saya adalah agar diiktiraf pada skala global sebagai seorang pencipta lagu dan bukannya seorang artis.



Bagaimanapun, saya juga dalam proses menghasilkan album EP kedua saya tidak lama lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >