Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Huda Ali masuk dapur

Kembali ke sekolah ikuti pengajian diploma bidang Seni Kulinari di SHATEC
Dec 20, 2020 | 05:30 AM



USAH terperanjat jika anda ternampak Huda Ali mengenakan pakaian seragam putih ala cef.



Ini bukan untuk satu drama baru atau menjadi hos rancangan memasak.



Tetapi sebaliknya, ibu muda berusia 34 tahun ini kini telah kembali ke sekolah untuk mengikuti pengajian diploma sepenuh masa dalam Seni Kulinari di Pusat Pendidikan Hotel dan Pelancongan Singapura (Shatec).



Yang menariknya, ini bukan diploma pertama tetapi sebaliknya diploma ketiganya!



"Ramai orang kata, kenapa nak susah payah balik ke sekolah? Bukankah lebih baik ambil kursus pendek? Bagi saya, mengikuti pengajian di sekolah ini merupakan impian saya sejak dulu.



"Dulu nak masuk Shatec, tapi mahal kerana ia sekolah privet. Sekarang dengan adanya subsidi, ia lebih dimampui.



"Lagipun, saya mahu mempelajari teknik memasak daripada peringkat asas - ini termasuk teknik yang betul misalnya untuk memotong ikan dan mencuci sayur.



"Walaupun saya yang paling tua dalam kelas, ia tidak membuat saya terasa janggal, tetapi sebaliknya lebih bersemangat kerana banyak yang saya korbankan demi mengejar ilmu ini," ujarnya sambil tertawa.



Diploma pertamanya adalah diploma antarabangsa dalam pengkomputeran - satu kursus selama enam bulan - daripada instituisi Informatics.



Satu lagi ialah diploma dalam perhubungan visual di Politeknik Temasek dari 2004 hingga 2007.



TINGKATKAN DIRI



Huda atau nama sebenarnya Nurhuda Mohamed Ali yang menang rancangan realiti Anugerah Skrin 2006 berkata, beliau terpanggil untuk mengikuti pengajian di Shatec selepas menjadi hos bagi satu program Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) semasa tempoh pemutus litar.



Perbincangan yang banyak menjurus ke arah mempertingkat diri membulatkan semangat beliau untuk mengikuti kursus tersebut.



"Setiap kali saya masak di dapur, saya akan selalu katakan kepada suami saya 'kalau dulu saya masuk Shatec mesti banyak yang akan saya pelajari.'



"Jadi apabila berbincang banyak tentang usaha negara menggalak warga mempertingkat diri, saya katakan kepada diri saya, mengapa tidak saya gunakan peluang keemasan ini. Saya rasa inilah masanya," kongsinya.



Beliau bagaimanapun membuat perancangan penuh teliti dengan suaminya, pelakon Den Sabari, 41 tahun, tentang kewangan keluarga dan yang paling penting, pengurusan masa keluarga.



"Ada yang bertanya agaknya saya tidak lagi menerima sebarang tawaran menjadi hos atau berlakon dan kerana itu, saya kembali ke sekolah.



"Jawapannya tidak. Alhamdulillah sebenarnya banyak tawaran yang saya terima dan kerana perlu bersekolah sekarang, saya terpaksa menolak beberapa tawaran. Ini kerana saya mahu buat perancangan bagi jangka masa panjang.



"Sebagai hos, saya juga perlu mempertingkat diri. Inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan," katanya yang telah berkecimpung dalam industri ini selama 15 tahun.



PENJAGAAN ANAK-ANAK



Selain terpaksa menolak tawaran bekerja kerana perlu bersekolah, Huda juga perlu bijak mengimbangi masa untuk dua anaknya, Leia Qaseh, tujuh tahun, dan Luke Qalish, setahun setengah.



"Memang sukar kerana anak bongsu saya masih diberi susu badan tetapi saya cekalkan azam.



"Kadang-kadang penat kerana balik sekolah perlu selesaikan tugasan sekolah, penuhi keperluan anak-anak dan tanggungjawab sebagai isteri juga... jadi memang mencabar.



"Namun arwah bapa saya pernah berpesan kalau kita sudah memberi sesuatu komitmen, teruskan komitmen itu, jangan berhenti separuh jalan. Teruskan perjalanan sehingga kecapi kejayaan," kongsinya.



Kata-kata semangat itulah yang membuatnya terus tabah dan maju ke hadapan.



Malah kerana niat ingin mendalami ilmu, urusan menjaga anak-anak dipermudahkan baginya.



Selama ini, ibu bapa Huda yang membantu menjaga anak-anaknya. Namun sejak pemergian bapanya tahun lalu dan kesukaran ibunya menjaga dua budak, Huda dan suaminya akan bergilir-gilir pergi kerja.



"Jika saya kerja, suami yang akan jaga anak-anak. Tapi bila dua-dua perlu bekerja, salah seorang perlu membawa anak ke tempat kerja," katanya.



Bagaimanapun apabila keputusan dibuat untuk Huda ke sekolah, pasangan tersebut memutuskan untuk mendapatkan pembantu rumah.



Dan ini menurut Huda, adalah satu keputusan yang besar kerana sukar untuknya mempercayai orang luar menjaga anak-anaknya.



Tetapi beliau bersyukur dipertemukan dengan seorang pembantu rumah yang dihantar pulang ke agensi kerana majikan lama tidak lagi boleh membayar gaji pembantu rumah tersebut.



Menurutnya, sukar untuk mendapatkan pembantu rumah baru ketika tempoh pemutus litar.



Pada awalnya, beliau tetap menghantar pembantu rumah dan anak-anaknya ke rumah ibunya kerana sekurang-kurangnya ada orang yang dipercayai bersama anak-anaknya.



Tetapi apabila ibunya menghidapi angin ahmar ringan dan perlu dirawat di hospital, beliau tawakal dan meletakkan kepercayaan menjaga anak sepenuhnya kepada pembantu rumahnya.



Sambil menitiskan air mata kerana teringat bagaimana semuanya dipermudahkan untuknya:



"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat. Saya mempunyai sebulan untuk melatih pembantu rumah saya dan saya bersyukur beliau bijak menguruskan segala keperluan anak-anak saya.



"Saya rasa saya perlu berterima kasih kepadanya kerana menguruskan separuh kerja rumah yang tidak mungkin dapat saya laksanakan tanpa bantuan beliau."



RANCANGAN MASA DEPAN



Ditanya apakah rancangan masa depannya selepas tamat pengajian diploma ini dalam masa setahun setengah, Huda berkata:



"Saya sebenarnya tidak pernah menjadi hos bagi rancangan masakan. Siapa tahu, insya-Allah selepas ini, ada peluang untuk saya menjadi hos rancangan sedemikian selain dapat memberi pandangan.



"Inspirasi saya ialah untuk menjadi seperti Rachel Ray, personaliti media yang mempunyai rancangan masakan sendiri."



Beliau turut menasihati ibu-ibu lain untuk sentiasa mempertingkat diri dan usah berpuas hati dalam zon keselesaan.



"Letakkan matlamat dan arah tujuan kehidupan anda. Terus mempertingkat diri agar dapat mempelbagai peluang.



"Pandemik yang kita lalui ini sekarang menunjukkan betapa pentingnya memiliki lebih daripada satu kemahiran sahaja.



"Bantuan tersedia di mana-mana. Terpulang pada kita untuk merebutnya," katanya bersemangat.



Beliau juga berharap segala cabaran yang beliau hadapi dijadikan inspirasi bagi wanita lain untuk tampil ke hadapan dan mencari ilmu serta kemahiran baru agar kekal relevan dalam dunia yang pesat berubah hari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >