Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Layari dunia berbeza bersama 'Peter Pan'

Penulis yakin pupuk sikap ihsan dalam diri anak-anak, bagi terima perbezaan, mampu 'merubah dunia'
Oct 18, 2021 | 05:30 AM



PASTI ramai masih ingat dengan watak Peter Pan.



Watak ciptaan penulis novel warga Scotland, J.M. Barrie, yang kemudian dipopularkan menerusi siri kartun dan filem terbitan Walt Disney itu menggambarkan seorang budak lelaki yang bukan hanya mempunyai kebolehan untuk terbang, bahkan kekal sebagai seorang kanak-kanak buat selama-lamanya.



Peter Pan, yang diberi gelaran, 'the boy who never grows up', tinggal di sebuah pulau mistikal, Neverland, dan menghabiskan hari-harinya dengan pelbagai pengembaraan yang membawanya bertemu watak-watak dongeng, lanun, ikan duyung dan kadang-kala kanak-kanak dari luar dunianya.



Itu di Neverland.



Di rumah saya di Sembawang, ada juga seorang kanak-kanak yang saya dan isteri gelarkan Our Peter Pan, atau Peter Pan kami.



Dia berusia 10 tahun, setinggi lebih 1.5 meter dan beratnya pula sekitar 32 kilogram.



Meskipun berusia 10 tahun, dia masih lagi menuntut di darjah tiga, dan hanya akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada usia 14 tahun - dua tahun lebih lewat daripada kanak-kanak kohortnya.



Ini adalah kelonggaran yang diberikan Sekolah Pathlight, sebuah sekolah pendidikan khas, bagi memberinya masa lebih panjang untuk bersiap bagi peperiksaan penting itu.



Peter Pan yang saya maksudkan ini ialah anak sulung saya, Aydan Ziqry, yang mempunyai autisme.



Baru minggu lepas, adiknya, yang berusia tujuh tahun dan seorang kanak-kanak neuro-tipikal, bertanya mengapa abangnya masih begitu ghairah dan seronok menonton video kanak-kanak seperti Special Agent Oso dan Peppa Pig, serta masih ketawa terbahak-bahak menyaksikan gelagat Mickey Mouse, Goofy dan lain-lain watak kartun Walt Disney.



Beliau juga masih lagi terpekik ketakutan dan menutup matanya semasa adegan 'menyeramkan' seperti Shrek memasuki gua yang gelap dan dihuni 'makhluk halus' atau begitu teruja melihat watak tikus, Jerry, berkali-kali memperdayakan si kucing, Tom, untuk melarikan diri.



Bukan itu sahaja, dia juga tidak segan silu menunjukkan perasaannya.



Bila gembira, dia akan memeluk dan mencium saya dan isteri, tidak kiralah di mana sahaja kami berada. Bila gembira juga diaakan menyanyi lagu-lagu seperti Wheels on the Bus dan Old MacDonald Had A Farm.



Begitu juga bila sedih atau rasa sakit, dia akan menangis, merintih, kadang-kala melalak.



Sudah tidak terkira berapa kali kami menerima tenungan orang ramai yang bingung dan hairan.



Kami menerima Peter Pan kami ini dengan hati yang terbuka luas.



Meskipun amat mencabar, namun saya dan isteri melihatnya sebagai satu keistimewaan, dikurniakan seorang anak yang mulus, tanpa ciri-ciri yang sering melemahkan kita sebagai manusia yang 'sempurna'.



Sedang Peter Pan merupakan watak yang disayangi ramai, namun di dunia nyata, di luar pulau Neverland, umumnya individu seperti Peter Pan sukar diterima.



Sebagai bapa kepada anak berkeperluan khas, hakikat ini sesuatu yang tidak pernah luput dari fikiran saya, malah kadang-kala ia membuat saya terjaga dari tidur apabila minda ini tiba-tiba memikirkan apa akan berlaku apabila saya sudah 'tidak ada lagi' satu hari nanti.



Pelbagai usaha telah diadakan - di setiap peringkat - untuk bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah mencipta peluang pendidikan, pekerjaan dan umumnya masa depan lebih cerah bagi golongan berkeperluan khas.



Presiden Halimah Yacob sendiri merupakan antara mereka yang paling kuat menyokong inisiatif-inisiatif ini, memberikan isu seperti penerimaan, inklusiviti dan pekerjaan pendedahan di peringkat nasional yang amat diperlukan.



Baru-baru ini, beliau menjadi tuan rumah penyampaian anugerah Enabling Mark di Istana, yang disampaikan buat julung-julung kali kepada majikan, pekerja, rakan setugas dan mereka yang berinovasi untuk membantu golongan berkeperluan khas mendapatkan pekerjaan.



Enabling Mark adalah sebuah inisiatif SG Enable. 



Anugerah ini mencerminkan pentingnya sumbangan setiap pihak dalam membangunkan masyarakat lebih inklusif dan ihsan.



Dengan pelbagai usaha yang dilakukan, umumnya masa depan bagi golongan berkeperluan khas tampak lebih cerah. Keluarga dan penjaga mereka boleh meyakini bahawa setiap usaha sedang dilakukan untuk mencapai visi sebuah masyarakat yang benar-benar inklusif.



Usaha dan visi itu memerlukan sokongan orang ramai, dan membangun sebuah masyarakat inklusif sebenarnya bermula dengan satu nilai penting, tapi mudah dipupuk - nilai keihsanan.



Dengan abang yang mempunyai autisme, lebih penting bagi saya dan isteri memupuk sifat keihsanan ini dalam diri anak-anak kami. Kami mempunyai seorang lagi anak berusia 20 bulan.



Bukan sesuatu yang mudah. Fitrah kanak-kanak ialah untuk hanya memikirkan dirinya sendiri. Meskipun dengan abang yang autistik, kadang-kala sukar untuk anak-anak saya bersikap ihsan terhadap karenah beliau yang tidak menentu.



Namun, saya positif.



Saya yakin, sikap ihsan ini bukan hanya penting untuk mereka menyokong abang mereka dalam tahun-tahun akan datang, malah sikap ihsan ini, bagi saya, berupaya merubah dunia.



Dengan dunia yang semakin mencabar, tekanan kehidupan pasti semakin membelenggu ramai daripada kita.



Keadaan ini berupaya melahirkan sebuah dunia yang huru-hara, dengan setiap orang hanya mementingkan keperluan diri mereka sahaja.



Penawar bagi menangani senario sedemikian ialah jelas. Hanya sikap ihsan dapat memulihkan dan menyemarakkan semangat kemanusiaan.



Sementara saya berusaha memupuk sikap ihsan dalam diri anak-anak, saya harus juga terus cekal menikmati dunia saya yang berbeza dek Peter Pan dalam hidup saya ini.




"Dengan abang yang mempunyai autisme, lebih penting bagi saya dan isteri memupuk sifat keihsanan ini dalam diri anak-anak kami. Kami mempunyai seorang lagi anak berusia 20 bulan.



Bukan sesuatu yang mudah. Fitrah kanak-kanak ialah untuk hanya memikirkan dirinya sendiri. Meskipun dengan abang yang autistik, kadang kala sukar untuk anak-anak saya bersikap ihsan terhadap karenah beliau yang tidak menentu.



Namun, saya positif. Saya yakin, sikap ihsan ini bukan hanya penting untuk mereka menyokong abang mereka dalam tahun-tahun akan datang, malah sikap ihsan ini, bagi saya, berupaya merubah dunia."
- Penulis. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >