Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANTANG BERSALIN

Sedap, menyelerakan! Sajian bagi ibu berpantang bukan lagi sekadar kuah bening...

Nov 17, 2019 | 05:30 AM



Tempoh pantang selepas bersalin mungkin dianggap sesetengah ibu moden sebagai sesuatu yang tidak perlu dipatuhi sepenuhnya. Tetapi sebenarnya ada baiknya kerana sepanjang tempoh pantang itulah, ia memberi peluang kepada ibu baru lepas bersalin, berehat dan mengembalikan tenaga dan kecerdasan selepas penat melahirkan. Kian ramai ibu muda kini juga mengambil berat tentang kesihatan selepas pantang, sehingga mendapatkan khidmat makanan sesuai dan sihat selepas bersalin. BERITA MINGGU melaporkan.



MELIHAT sajian makanan yang disiapkan, seseorang tidak akan terfikir ia merupakan makanan untuk ibu lepas bersalin.



Daripada pandangan mata, sudah seakan terasa kelazatannya.



Berbeza daripada sajian makanan ibu lepas bersalin dahulu yang hanya tertumpu kepada kuah bening atau singgang, syarikat Noor Confinement SG berusaha untuk melakukan sebaliknya.



Syarikat itu yang membekalkan makanan buat ibu-ibu yang sedang berpantang sejak 2008 antaranya menyediakan pelbagai makanan menyelerakan lagi berkhasiat terutama bagi ibu-ibu muda yang mahukan sesuatu yang berbeza.



Antara yang ditawarkan termasuk ikan bakar salmon dengan sos bijan bakar dan asparagus goreng bersama akar teratai; sup ayam kampung kukus kaedah double boil dengan akar teratai dan jagung; serta sayur kailan bersama kulat hitam dan tauhu telur.



Ia akan disajikan dengan nasi putih atau nasi perang, bergantung kepada pilihan si ibu.



"Kalau semasa mengandung atau sebelum mengandung, kita makan pelbagai jenis makanan, ada yang makanan dari kafe hipster dan sebagainya. Justeru semasa berpantang juga tidak bermaksud kita terhad dengan jenis makanan yang kita makan.



"Kita masih boleh pilih makanan menyelerakan tetapi berkhasiat dan mengandungi zat dan protein," ujar pemiliknya, Cik Siti Rohaini Mohd Yunos, 38 tahun.



Menurutnya, yang penting bahan makanan yang digunakan dapat membantu ibu lepas bersalin memperkukuh sistem imun, menggalak peredaran darah yang baik, mengeluarkan angin dalam badan, memperbaiki jahitan akibat pembedahan Caesarean dan merangsang bekalan susu badan.



Pakej makanan berpantang yang ditawarkannya juga siap dengan pencuci mulut dan minuman.



Air panas berpantang yang disediakan termasuk teh kurma merah, teh longan, teh serai, air wheatgrass organik dan aloe vera.



Sementara itu, bagi pencuci mulut pula, Cik Rohaini menyiapkan antaranya yogurt strawberi dengan oat dan biji chia; tart soya dengan flaxseed dan roti bun keladi.



Misalnya yogurt akan membantu menambah lagi berat tulang yang berkurangan semasa mengandung dan bersalin, manakala oat dan biji chia baik untuk serat selain menambah bekalan susu badan si ibu. Strawberi juga akan menambah Vitamin C dalam badan.



Bahan-bahan berkhasiat yang digunakan untuk menyediakan makanan ibu berpantang dengan cara yang menyelerakan ini menerima sambutan yang begitu memberangsangkan



Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah sajian makanan harian kini yang sarat dengan kolesterol, bahan pengawet, pewarna dan monosodium glutamat (MSG).



Secara purata, beliau menerima 40 hingga 50 tempahan setiap hari.



Mereka boleh memilih pakej minimum selama enam hari atau yang paling lama sehingga 44 hari.



Ibu-ibu berpantang yang mendapatkan khidmatnya kebanyakannya mereka yang bekerja, dan berusia di bawah 40 tahun.



"Ibu-ibu yang mempunyai anak kedua atau ketiga misalnya mahukan makanan berpantang ini siap dihantar ke rumah agar mereka tidak perlu memenatkan diri di dapur menyediakan makanan untuk diri mereka.



"Bagi ibu kali pertama, kebanyakan di antara mereka yang sudah berdikari di rumah sendiri juga tidak mahu menyusahkan ibu atau ibu mentua menyediakan makanan berpantang. Lagipun tumpuan mereka adalah kepada bayi, yang adakalanya memerlukan mereka berjaga siang dan malam untuk memenuhi keperluan bayi yang tidak menentu," tambah Cik Siti Rohaini.



Beliau sebenarnya mengambil alih kepakaran ibunya, Allahyarhamha Noor Rahimah Kassim, yang mengambil tempahan katering dan juga makanan untuk ibu berpantang dahulu sebelum meninggal dunia.



Untuk meneruskan legasi ibunya, Cik Siti Rohaini berganding dengan suaminya Encik Salleh Udin Hussin, juga 38 tahun, untuk menyediakan makanan setiap hari di kilang mereka di Tuas Bay Walk.



Satu lagi syarikat yang menyediakan makanan berpantang bagi ibu selepas bersalin ialah syarikat Sizzling Dyyana.



Menurut pemiliknya, Cik Mardyyanah Awang, 43 tahun, kaum ibu kini mengutamakan makanan berpantang kerana mereka sedar tentang pentingnya makanan bermutu yang diperlukan untuk kembali pulih.



"Badan seseorang ibu mengalami pelbagai perubahan semasa hamil dan selepas melahirkan.



"Justeru dengan mengambil makanan berkhasiat yang berkualiti, ia akan membantu tubuh kembali sihat dan bertenaga.



"Bukan itu sahaja... bagi ibu yang menyusukan, makanan berkualiti akan dapat membantu menghasilkan susu badan yang secukupnya dan berkhasiat untuk si bayi," ujarnya.



Syarikat Sizzling Dyyana, yang ditubuhkan sejak 2014, turut menyajikan pelbagai makanan menarik seperti salmon, belut panggang (unagi), bebola daging buatan sendiri, pasta serta minuman teh berkhasiat untuk merangsang penghasilan susu badan ibu



Menjelaskan, makanan seperti belut panggang yang dimasak dengan sayur asparagus kecil organik, mendapat sambutan baik daripada pelanggannya.



"Belut Jepun atau unagi ini membantu dalam penghadaman. Ia juga tinggi dalam omega-3 yang dapat membantu memperbaiki tekanan darah, kurangkan kolesterol dan juga kurangkan risiko kencing manis," ujarnya.




MANFAAT MAKANAN UNTUK IBU-IBU SELEPAS BERSALIN



SERAI



Membantu penghadaman, meredakan gangguan ketegangan, membantu dalam rawatan tekanan darah tinggi, mengeluarkan toksin untuk menjadikan tubuh sihat dan bertenaga.



LABU



Mempertingkat fungsi urat saraf dan otot, merangsang pandangan mata dan menguatkan tulang, menyokong sistem imun



FLAXSEED



Membantu dalam pembuangan air besar dan memperbaiki kesihatan penghadaman, kurangkan kolesterol dan memperbaiki kesihatan jantung



LOBAK UNGU



Membantu dalam mengurangkan berat badan, kencing manis dan penyakit kronik



BIJIRIN BERKANJI QUINOA



Kaya dengan antioksidan dan dapat membantu memerangi penuaan




"Walaupun memang ada baiknya jika ibu yang baru melahirkan ikut peraturan makanan pantang ini, memang tidak ada asas saintifik bagi beberapa tradisi di bawah pantang. Kalau ibu itu memilih makanan yang sihat dan diet yang seimbang serta minum air yang banyak, memang tak perlu makanan tradisi pantang."
– Pakar pemakanan Cik Humairah Hameed Maricar.



"Senaman harus dilakukan secara progresif... dimulakan dengan yang ringkas dan selesa, kemudian baru mula dengan yang lebih intensif dan senaman untuk meningkatkan kekuatan... Ibu-ibu yang baru melahirkan juga perlu memantau keadaan mereka, pastikan senaman tidak meningkatkan pendarahan dan tidak menyebabkan mabuk, sakit dada dan kepala."
– Pakar fisioterapi, Cik Sharifah Shwikar Syed Mahmood Aljunied.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >