Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Masagos: Asatizah benteng banteras ajaran agama songsang, fahaman ekstrem

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Masagos: Asatizah benteng banteras ajaran agama songsang, fahaman ekstrem

Dec 03, 2020 | 05:30 AM

PERANAN para asatizah kian penting dalam membenteng dan membanteras fahaman agama yang menyeleweng dan ekstrem.

Ini ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam dialog asatizah yang dianjurkan oleh Berita Harian kelmarin.

Asatizah, jelasnya, bertauliah bagi membimbing masyarakat berfikir secara rasional dan kritikal apabila berhadapan dengan ajaran-ajaran menyeleweng dan melampau.

Asatizah juga yang mampu memberi panduan dan memimpin masyarakat dalam ehwal keagamaan dalam konteks Singapura, ujar Encik Masagos.

Dalam konteks ini, beliau mengusulkan supaya ada di kalangan asatizah yang mengkaji semula apa yang ditinggalkan Allahyarham Ustaz Haji Embek Ali dalam membanteras ajaran sesat dahulu.

"Ini agar asatizah lebih tahu dan berani dan dapat menjawab secara tuntas sehingga mereka yang mungkin terpesong, mahu mendengar nasihat kita kerana bernas dan tahu cara-cara mengatasinya," ujar Encik Masagos.

Allahyarham Ustaz Embek, yang pernah menerajui Persatuan Pelajar Agama Islam Dewasa Singapura (Perdaus), semasa hayatnya, terkenal dengan usaha membanteras ajaran sesat.

Seramai 12 asatizah menyertai dialog tersebut membincangkan pelbagai isu, cabaran dan keprihatinan dalam masyarakat.

Antara yang hadir dalam sesi dialog itu ialah Ketua Jabatan Pembelajaran Islam, Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan.

Ketika diminta mengulas selepas dialog mengenai peranan asatizah mengekang ajaran sesat dan ekstrem, Ustaz Muhammad Syafiee berkata:

"Dalam menangani ajaran sesat dan kesannya, pentadbiran undang-undang sahaja tidak mencukupi. Bahkan kita perlu menggembleng tenaga daripada setiap lapisan masyarakat, bermula daripada institusi keluarga, karyawan, usahawan sehingga institusi asatizah bagi mengatasi sesuatu cabaran. Kepakaran, kepercayaan dan ketelusan. Inilah tiga ciri utama yang diperlukan dalam pembelajaran agama."

Dalam hal yang berkaitan dengan pembelajaran agama khususnya, beliau menekankan perlunya masyarakat Islam mendapatkan panduan dan pendidikan agama daripada asatizah tempatan yang bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Semasa merumuskan perbincangan itu, Encik Masagos juga menekankan perlunya para asatizah membuat pengesahan pendapatan kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) bagi pendapatan yang mereka raih meski bekerja secara sambilan atau bebas.

Ini bagi membolehkan bentuk bantuan yang boleh ditimbangkan kepada mereka jika berlaku krisis yang menjejas mereka, seperti yang kesan yang daripada Covid-19.

"Kita tidak tahu apakah akan datang krisis lagi dan bagaimana bantuan pemerintah dapat didatangkan secara automatik jika tidak ada rekod.

"Mereka yang tidak mempunyai rekod akan mendapati sukar dalam mendapatkan bantuan tersebut.

"Jadi kita selaraskan dengan keperluan pemerintah, sediakan data, ia akan memudahkan memudahkan proses memberi bantuan yang diperlukan kepada asatizah berdasarkan data yang disediakan oleh asatizah kepada pihak berkuasa," jelas beliau.

Dalam rumusan itu, Encik Masagos turut menyentuh tentang usaha lain yang dapat dilakukan, iaitu menghidupkan budaya wakaf, sebagai sumber kewangan dalam masyarakat, termasuk dalam rangka keperluan dana bagi pembangunan, peningkatan pembelajaran, dan penggajian asatizah.

Beliau memberi gambaran dana yang boleh dihasilkan berdasarkan congakan sekitar 100,000 keluarga Islam di sini yang mempunyai hartanah Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) dengan nilai aset purata sekitar $400,000 setiap keluarga.

Secara keseluruhan, ia bermakna masyarakat islam mempunyai nilai aset mencecah sekitar $40 bilion. Jika sebahagian daripada aset itu diwakafkan, misalnya 10-20 peratus, hasil daripada pelaburan wakaf kelak boleh menjana $10 juta setahun, kata Encik Masagos.

"Wakaf sebegini cukup untuk mempersiapkan anak-anak kita dengan satu pendanaan kukuh dan berdaya tahan.

"Ia perlu diwujudkan agar para asatizah dapat menyara hidup dan program agama pula dapat berjalan lancar dan kebajikan jemaah terus terpelihara,'' kata Encik Masagos.

Bagi Ustaz Muhammad Syafiee, dengan adanya Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), peluang dana termasuk bagi melahirkan para ilmuan dan asatizah yang pakar dalam pelbagai bidang semakin bertambah dan jelas.

Ustaz Dr Qusairy Thaha daripada Darul Quran Singapura, yang turut hadir dalam dialog asatizah, selepas dialog itu berkata beliau setuju dan sokong pandangan Encik Masagos dalam hal ini.

Menurutnya, ia ada kesamaan dengan rancangan Pergas mengusahakan Dana PERLU yang dilancarkan lebih awal.

"Ia ada kesamaan dengan model dana endowmen yang telah menjadi tulang belakang kepada Institusi unggul seperti Universiti Al-Azhar, Oxford dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Dana endownmen bertujuan bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan penting ini terpelihara dan berdaya tahan mengharungi cabaran zaman yang sentiasa berubah,'' kata Ustaz Dr Qusairy.

Naib Presiden 1 Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat, berkata dialog asatizah merupakan wadah yang sangat baik bagi asatizah untuk mengongsikan secara langsung kepada Encik Masagos mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi asatizah semasa melaksanakan tugas di lapangan.

"Topik-topik yang dibincangkan sangat releven seperti cabaran asatizah semasa Covid-19, ajaran sesat dan pengganasan.

"Antara perkara-perkara menarik yang disentuh adalah penghargaan yang diberikan oleh Encik Masagos kepada asatizah di atas kerjasama dan usaha-usaha yang dijalankan bagi mendidik serta memimpin masyarakat Islam untuk mengharungi ujian Covid-19 ini.

"Beliau juga mengongsikan kepada asatizah yang hadir tentang perancangan untuk terus membangunkan serta memperkasakan asatizah agar mampu menjalankan tugas dan tanggngjawab dengan lebih berkesan.

"Keperihatinan yang ditunjukkan olehnya amat dihargai.

"Perancangan yang dilakarkan itu diharap dapat dilaksanakan dengan jayanya agar asatizah akan lebih berketerampilan dalam mendidik masyarakat dan memberi sumbangan yang ketara kepada negara,'' ujar Ustaz Muhammad Ishlaahuddin.

Ustaz Muhammad Syafiee pula menyimpulkan dialog tersebut sebagai satu perbincangan yang bermanfaat dan membina minda.

"Bahkan jika boleh saya kata, ia satu 'mentorship' yang diperlukan," kata beliau sambil melampir harapan agar perbincangan dan usaha itu dapat diteruskan pada waktu mendatang.


"Kedudukan asaztizah ini penting kerana mereka yang bertauliah akan membimbing masyarakat berfikir secara rasional dan kritis apabila berhadapan dengan ajaran-ajaran berunsur sesat dan melampau. Malah asatizah jugalah yang mampu memberi panduan dan memimpin masyarakat dalam hal ehwal keagamaan dalam konteks Singapura."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3