Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BAHASA & BUDAYA

Novelis rakam sendiri perjalanan hidup dalam autobiografi

Hafiza Talib turut kongsi kenangan, ilmu dalam 'Rahsia Penulis'
Feb 01, 2021 | 05:30 AM



RAMAI orang boleh menulis tetapi untuk menulis karya yang bermutu memang susah, kata penulis autobiografi Rahsia Penulis Hafiza Talib.



"Secara jujur, saya berpendapat bahawa seorang penulis perlu ada penyokong sendiri atau pengikut setia yang sentiasa mengikuti perkembangannya.



"Ini sangat penting kerana sastera di Singapura sering diasak masalah. Tak ramai pembaca Melayu suka membeli buku-buku Melayu.



"Dengan kehadiran pengikut setia, seorang penulis akan berasa dihargai dan ingin terus menerbitkan sebeberapa banyak karya yang dimampui, walaupun terdapat banyak cabaran di luar yang boleh mematahkan semangat penulis," kata Cik Hafiza.



Memang jarang sekali orang dapat menghasilkan biografi atau kisah hidup dengan tangan dan pemikiran sendiri - kerana biasanya penulis lain yang akan merakamkan perjalanan hidup insan yang disorot, sama ada ketika dia masih hidup atau selepas meninggal dunia.



Namun Cik Hafiza, yang sebelum ini pernah menghasilkan beberapa buku, termasuk Nostalgia Kampung Padang Terbakar dan buku catatan Sekolahku Tinggal Kenangan (buku yang meraih Anugerah Kepujian Hadiah Sastera Singapura 2016), memilih untuk merakamkan sendiri perjalanan hidup, pengalaman, perhubungan sesama insan, kenangan dan berkongsi ilmu di dalam autobiografi yang beliau lancarkan baru-baru ini.



Selain kisah kehidupan sejak kecil hingga ke 2018, termasuk merakamkan keindahan dibesarkan di Kampung Padang Terbakar, menjadi pelajar di Sekolah Menengah Telok Kurau dan Sang Nila Utama serta penglibatan dalam persatuan Sriwana, beliau juga berkongsi pengalaman bergaul dengan masyarakat seni ketika menjadi penulis skrip drama televisyen dan radio.



"Menulis sendiri jatuh bangun perjalanan perjuangan saya itu penting. Melalui pengalaman, saya belajar menulis tentang warisan, seni dan budaya dan merangkumi adat, amalan harian, persuratan dan seni persembahan dan lain-lain," kata Cik Hafiza, yang memulakan projek autobiografi itu pada 2015. Semua kos penerbitan ditanggung beliau sendiri.



Suami beliau, Allahyarham Mohd Sani Bangi, yang pernah bertugas sebagai jurukamera Mediacorp, meninggal dunia pada 2018 setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, merupakan tulang belakang yang menyokong penceburannya dalam dunia penulisan.



"Saya seperti seekor burung yang patah sayap dan sangat terluka," luah Hafiza dalam bukunya.



Penghormatan khusus untuk suami tercinta dirakamkan dengan menyertakan ucapan-ucapan takziah pelbagai personaliti popular yang dikumpulkan menerusi media sosial.



Apa yang menarik perhatian, walaupun buku itu diklasifikasi sebagai autobiografi, banyak kisah sejarah yang disertai gambar-gambar menarik menghiasai buku setebal 214 muka surat itu.



Ini termasuk catatan kehidupan di Kampung Padang Terbakar, sebuah kampung nelayan di tanah besar Singapura. Kampung termasuk kawasan di Kebun Baharu atau Kampung Baharu.



Gambar-gambar kampung lama, bagaimana orang menggunakan sampan sebagai pengangkutan dan wajah-wajah penduduk yang berpengaruh turut dirakamkan.



Sriwana, persatuan yang banyak mendedahkan Cik Hafiza dalam dunia drama dan penulisan teater dan bangsawan, turut mendapat sorotan yang banyak menerusi gambar-gambar milik peribadi beliau dan suami serta sumbangan rakan-rakan rapat.



"Semoga buku ini bermanfaat, mampu mengimbau memori silam sejak berzaman-zaman, memberi motivasi dan juga inspirasi kepada semua pembaca," kata Cik Hafiza.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >