Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Penerbit Muslim Tamil, Jawi Peranakan berperanan penting dalam kesusasteraan Melayu abad ke-19

Oct 07, 2021 | 05:30 AM



PARA penerbit Muslim Tamil dan Jawi Peranakan telah memainkan peranan yang penting dalam kemakmuran industri cetakan dan kesusasteraan Melayu di Singapura pada abad ke-19.



Bersama dengan golongan penerbit buku orang Jawa, mereka membentuk bidang kewartawanan dan sastera Melayu sehingga ke abad ke-20, khususnya di kawasan Kampong Glam.



Demikian menurut para penceramah dalam Siri Seminar Antara Budaya mengenai 'Membentuk Budaya dan Minda di Awal Singapura: Muslim Tamil dan Rumah Penerbitan Melayu' yang dianjurkan oleh Taman Warisan Melayu dengan kerjasama Pusat untuk Budaya Tamil Singapura serta syarikat pendidikan dan konsultasi, Budhi, baru-baru ini.



Sesi itu bertujuan membincangkan tentang sumbangan golongan Muslim Tamil dalam dunia penterjemahan kesusasteraan dan penerbitan Melayu di kawasan Kampong Glam, yang dikenali sebagai nadi ekonomi dan hab cendekiawan Melayu.



Jawi Peranakan merupakan masyarakat yang campuran ibu bapa berbangsa Melayu dan India, dan mengamalkan budaya dan bahasa Melayu.



Muslim Tamil pula ialah masyarakat Tamil yang beragama Islam serta mengekalkan budaya dan bahasa Tamil.



Berkongsi pandangannya, pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, berkata dunia kesusasteraan dan penerbitan Melayu pada abad ke-19 telah dibentuk oleh masyarakat dan pemain industri yang kosmopolitan.



"Bahasa Melayu sebagai lingua franca di Singapura bermakna penerbitan hasil sastera dan kewartawanan dibuka kepada mereka yang celik huruf, ada kemahiran keusahawanan dan keghairahan.



"Golongan Muslim Tamil dan Jawi Peranakan adalah penerbit buku yang utama di samping penerbit buku kaum Jawa, yang berjaya dalam perniagaan penerbitan mereka di Kampong Glam.



"Pandangan kosmopolitan dan berbagai kaum ini lama-kelamaan membentuk perkembangan kewartawanan dan kesusasteraan Melayu sehingga ke abad ke-20.



"Generasi perintis inilah yang menyediakan prasarana kepada perkembangan budaya dan sastera Melayu semasa tempoh pascapeperangan," jelas beliau.



Menyingkap sejarah dalam ceramahnya, Dr Azhar berkata umumnya pada peringkat awal, buku, akhbar dan jurnal Melayu telah diterbitkan oleh syarikat penerbitan Muslim Tamil.



Ini disusuli dengan kaum Peranakan India - atau dipanggil Jawi Peranakan - dan kemudian penerbit berketurunan Jawa.



Kemunculan penerbit Melayu dan berketurunan Arab, dan Melayu tempatan dilihat bertahap-tahap pada dekad kedua atau ketiga dalam abad ke-20.



Menurut Dr Azhar, landskap cetakan buku Melayu berkembang pesat hingga mencapai ke tahap yang begitu mengagumkan.



Menukil perangkaan oleh penulis Ian Proudfoot, beliau berkata bermula sejak 1840-an, 85 peratus buku Melayu dicetak di Singapura, khususnya kerana mahu mengelak daripada penapisan Belanda.



Pada 1890-an, jumlah itu mencapai secara purata 50,000 buku setahun.



Antara penerbitan yang menarik pada zaman itu ialah pencetakan Quran Palembang - Quran pertama yang dicetak di Asia Tenggara - pada 1848.



Menerangkan tentang peranan golongan Muslim Tamil, Dr Torsten Tschacher, dari Sekolah Siswazah Berlin bagi Budaya dan Masyarakat Muslim, berkata peranan penerbit dan editor akhbar yang mempunyai darah India dalam dunia penerbitan Melayu sudah lama dikenal pasti pakar sejarah.



Malah, sumbangan mereka diperhatikan jauh sebelum 1920-an, mungkin dalam era 1870-an dan 1880-an.



Dr Tschacher, yang kajiannya tertumpu kepada sejarah dan tradisi teks masyarakat Muslim berbahasa Tamil di Selatan India, Sri Lanka, Singapura dan Malaysia, berkata kehadiran masyarakat itu telah memanfaatkan industri cetakan Melayu.



Antara sebab ialah mereka sudah memiliki kepakaran dan kemahiran teknikal yang berguna untuk karya-karya Melayu, memandangkan industri pencetakan di India sudah berkembang maju.



Ini termasuk teknologi cetakan, kata Dr Tshcacher.



"Penerbit dan pencetak Muslim Tamil mempunyai teknologi cetakan dipanggil litografi, yang membolehkan teks tulisan tangan dan gambar dialihkan kepada cetakan... ini sebabnya antara buku terawal Melayu dicetak d Bombay, yang mempunyai pencetak Muslim yang khusus dalam buku dicetak menggunakan litografi daripada tulisan Arab.



"Jadi kemahiran teknikal pencetak ini adalah aspek paling penting dalam peringkat awal hubungan di antara pencetak India, khususnya Muslim Tamil, dengan firma penerbitan Melayu," ujarnya.




"Golongan Muslim Tamil dan Jawi Peranakan adalah penerbit buku yang utama di samping penerbit buku kaum Jawa, yang berjaya dalam perniagaan penerbitan mereka di Kampong Glam. Pandangan kosmopolitan dan berbagai kaum ini lama-kelamaan membentuk perkembangan kewartawanan dan kesusasteraan Melayu sehingga ke abad ke-20. Generasi perintis inilah yang menyediakan prasarana kepada perkembangan budaya dan sastera Melayu semasa tempoh pascapeperangan."
- Dr Azhar Ibrahim Alwee, pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >