Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

SENI BANGKIT SEMULA

Penghibur tak sabar mahu kembali 'aksi' di pentas

Dec 19, 2020 | 05:30 AM



HATI penghibur dan juara Anugerah 2005, Hyrul Anuar, berdebar-debar menantikan peluang kembali menari ligat dan melontar suaranya di pentas Panggung Capitol pada 21 Januari ini.



Setelah sekian lama tidak menjejakkan kakinya di pentas besar bagi menghiburkan orang awam, Hyrul yang juga penyedia khidmat seni di sekolah-sekolah akur kerinduannya terubat menerusi undangan menjayakan acara AL!VE.



Acara ini anjuran syarikat penganjur persembahan langsung IMC Live Global yang berpangkalan di Singapura dan mempunyai pejabat di China, Thailand, Malaysia dan Jepun.



Ketika dihubungi, Hyrul, 35 tahun, akui bisnes seni begitu hambar dek pandemik Covid-19 dengan banyak pekerjaan dan projek penggiat seni tergendala.



Sebagaimana jelasnya:



"Saya bersyukur Fasa Ketiga akan dilancarkan tak lama lagi.



"Harapan saya ialah melihat kegiatan seni kembali rancak dengan adanya persembahan secara langsung dibuat di lokasi luar. Saya ingin lihat acara seni, kebudayaan, hiburan dan keramaian bersemarak semula.



"Mudah-mudahan, secara beransur-ansur, bilangan anak seni atau pemuzik yang diperlukan dalam sesebuah set persembahan dapat ditambah dari masa ke masa."



Lamaran menjayakan konsert AL!VE bersama rakan seperjuangan seperti Art Fazil, Rahila Rashun dan band Jive Talkin' bak pucuk dicita, ulam mendatang.



"Konsert ini diadakan bagi memberi suntikan semangat buat pemuzik dan anak seni yang dahagakan ruang menyajikan bakat mereka.



"Ia juga wadah yang meyakinkan kita bahawa keadaan akan kembali seperti biasa," kongsi Hyrul lagi.



Sungguhpun kegiatan menyanyinya terbatas di alam maya sewaktu tempoh pandemik, beliau - yang sering diundang Esplanade bagi persembahan di Teater Luar - berasa ujian Covid-19 membuat anak seni bangkit meneroka cabang seni berbeza.



"Saya bersyukur masih mampu terlibat dalam kerja belakang tabir, misalnya, menyiapkan skrip bagi konsert Rock 21 yang menggabungkan legenda rok, Yazid Lovehunters, Hanafie Warren dan pelapis irama rok, Eiss.



"Selain itu, ramai daripada anak seni seperti saya dapat menimba ilmu baru dan meneroka penggunaan kandungan digital secara kreatif.



"Sejujurnya, ia membawa pelbagai perkembangan positif sehinggakan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia sudah terbiasa menggunakan wadah digital untuk berkomunikasi, berhibur dan melakukan kegiatan harian.



"Saya yakin persembahan digital ini akan berterusan meskipun acara fizikal di luar kembali kelak. Program maya ini merangsang kreativiti dan menggalakkan ramai anak seni bereksperimen.



"Mungkin lebih banyak acara diadakan secara hibrid dengan program penstriman langsung disejajarkan dengan persembahan langsung. Konsep sebegini relevan dengan cara hidup kita yang sentiasa bergegas ke sana sini dan bergantung pada gajet seperti tablet dan telefon bimbit," jelasnya.



Hyrul dan rakan-rakannya daripada kumpulan AltoAura juga sedang berusaha menghasilkan kandungan digital yang berlandaskan muzik pop dan tradisional dengan sokongan geran digital daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



"Di sebalik kesukaran dan kerinduan membuat persembahan langsung, secara peribadi, fasa getir Covid-19 ini meyakinkan saya bahawa usahawan seni perlu mempelbagaikan bakat dan kemahiran.



"Seni itu sangat luas. Saya masih boleh meningkatkan kemahiran saya dengan meneruskan kerja penulisan skrip dan penerbitan, selain meneroka dunia digital dengan mencipta pelbagai kandungan agar idea dan kreativiti tetap dapat disalurkan ke wadah perkongsian bersama," tambahnya.



Seorang lagi anak seni, Suryana Norddin, 29 tahun, pula berpeluang melepaskan rindu terhadap pentas nyanyian ketika menjayakan Konsert Himpunan Serumpun 2020: Malam Lagu dan Irama anjuran Nadi Singapura baru-baru ini.



Acara tersebut berlangsung di Festive Arts Theatre@Our Tampines Hub dan mendapat sambutan menggalakkan.



Kata Suryana yang juga aktif berteater bersama Teater Kami:



"Alhamdulillah, keadaan semakin baik di Singapura dengan pengumuman Fasa 3 ini.



"Persembahan langsung muzik instrumental bagi majlis kahwin dan keramaian serta kehadiran penonton dalam ruang seni adalah berita menggalakkan buat bisnes seni dan penggiat seni yang menanti peluang membuat persembahan.



"Hampir setahun kita dibelenggu wabak Covid-19. Suram dan dukacita rasanya. Walaupun secara peribadi sebagai penyanyi majlis kahwin, saya belum lagi boleh ikut serta dengan teman pemuzik, saya gembira dapat membuat persembahan di acara seni lain di hadapan penonton."



Setelah 11 bulan menggantung mikrofon, Suryana seronok menyanyi di Festive Arts Theatre tempoh hari di hadapan 100 penonton.



Beliau juga terlibat dalam Pesta Gemadah di Esplanade yang tertangguh sejak Mac lalu.



"Selain itu, saya hanya muncul dalam persembahan digital yang saya kira akan berterusan seketika selepas Fasa Ketiga.



"Ia wadah alternatif berseni walaupun saya kira ia bukan cara terbaik mencari rezeki buat syarikat seni sebab payah menjual tiket bagi acara dalam talian. Kebanyakan program disokong geran yang disajikan percuma.



"Namun, sekurang-kurangnya jus kreatif anak seni mengalir agar tidak patah semangat dalam tempoh pandemik," katanya.



Beliau juga melihat perspektif pemikirannya terhadap rezeki semakin meluas kini dengan beliau melihat kesihatan dan masa sebagai rezeki yang patut disyukuri.



"Saya berseni dari rumah menerusi program dalam talian, ada masa buat kuih dan tampil dalam rancangan televisyen.



"Rezeki malah takkan putus selagi kita sendiri tidak putuskan usaha. Mungkin kita perlu buat peralihan kerjaya dengan kerja keras, keikhlasan dan ketekunan. Allah akan memudahkannya," ujarnya.




SEKILAS SENI DI FASA 3



- Semua persembahan di dalam ruang tertutup dihadkan kepada 250 penonton (terbahagi pada lima zon dengan setiap zon menampung 50 orang).



- Pemeriksaan suhu badan dan penggunaan aplikasi TraceTogether dan token SafeEntry diamalkan di lokasi persembahan.



- Kakitangan yang bertugas mengambil suhu badan dua kali sehari, menggunakan pelitup, pengadang wajah dan sarung tangan.



- Ujian swab atau ujian pantas antigen (ART) sebelum acara dikenakan buat penonton bagi acara melibatkan ramai, melebihi 500 orang. Peraturan ini diamalkan dalam konsert percubaan Marina Bay Sands (MBS), Back To Live, dan beberapa acara Esplanade pada fasa kedua.




APA KATA PIHAK ESPLANADE



“Garis panduan persembahan seni pada Fasa 3 yang menetapkan sehingga 250 penonton (dibahagi dalam lima zon sehingga 50 orang setiap satu) adalah sesuatu yang telah kami rancang dan sudah sedia melakukannya. Kami sudah kembalikan persembahan langsung dengan langkah pengurusan selamat serta menanti masa membawa lebih banyak acara seni secara langsung buat penonton kami tahun depan.”
– Cik Rachelle Tan, Pengarah Lokasi Persembahan dan Perancangan, The Esplanade.



APA KATA PENGANJUR ACARA



“Sebelum ini, kami masih memikirkan untuk mengadakan Anugerah Dasyat Giler hanya di wadah dalam talian kerana belum mendapat kata putus bilangan penonton yang boleh ditampung dalam sesebuah dewan. Justeru, kemungkinan besar kami akan adakan acara hibrid dengan menyatukan persembahan secara langsung dan juga penstriman dalam talian bagi Anugerah Dasyat Giler. Seronok kalau dapat libatkan peminat yang ingin menyokong artis kesayangan mereka daripada setakat menonton di telefon bimbit dari jauh.
– Encik Olly Ismail, penganjur acara dan pengurus bakat dari Voz Management.



APA KATA PENGANJUR KONSERT



“IMC Live Global bangga dapat berada di hadapan memperkasa kembali persada seni, budaya dan muzik Singapura yang disajikan secara langsung. Sebagai siri konsert langsung pertama di Singapura pada 2021, AL!VE bukan sahaja menandakan kembalinya persembahan langsung tetapi ia juga isyarat tersematnya harapan baru dan kebingkasan kita dalam menyambut Tahun Baru dengan nadi positif.”
– Encik Romell Song, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Asia IMC.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >