Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

RENCANA

Projek peningkatan Masjid Bencoolen dimulakan semula

Masih perlukan dana $3.5 juta untuk biaya kerja pengubahsuaian masjid
Sep 18, 2020 | 05:30 AM



KERJA-KERJA peningkatan Masjid Bencoolen telah dimulakan semula dan kini berjalan dengan baik.



Projek tersebut sebelum ini dihentikan seketika ekoran langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19.



Mendedahkan perkembangan mengenai projek peningkatan masjid di Bencoolen Street itu, Naib Pengerusi Masjid Bencoolen, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof, berkata:



"Segalanya berjalan dengan baik. Insya-Allah apabila siap kelak, Masjid Bencoolen akan dapat menampung lebih ramai jemaah. Kemudahan yang bakal disediakan juga mesra jemaah."



Antara kemudahan tambahan yang bakal disediakan di Masjid Bencoolen termasuk sebuah ruang solat khusus bagi jemaah Muslimah.



Masjid itu juga bakal menyediakan sebuah lif yang dapat menghubungkan jemaah ke semua tingkat di masjid itu.



"Ramai jemaah warga senja yang mengadu payah untuk bergerak menaiki tangga. Kami berharap dengan adanya sebuah lif nanti, ia mampu memudahkan jemaah bergerak di serata masjid untuk melakukan ibadah mereka," jelas Encik Mohamed Rafeeq.



Meskipun ia kini antara segelintir masjid yang masih ditutup ekoran langkah keselamatan Covid-19, sebelum ini Masjid Bencoolen tidak lengang dengan pelbagai kegiatan yang dikaitkan dengan masyarakat India/Muslim.



Malah, lokasi masjid yang terletak di tengah-tengah kawasan City Hall dan Dhoby Ghaut menjadikannya masjid pilihan bagi semua lapisan masyarakat Islam - sebahagian besarnya pekerja dan pelajar universiti di situ - untuk datang menunaikan ibadah.



Ia juga menarik perhatian para pelancong Muslim yang bersiar-siar di kawasan tersebut yang berhampiran dengan Orchard Road.



"Dengan adanya stesen MRT Bencoolen yang baru di hadapan masjid, kami berharap, apabila ia dibuka semula dengan selamat kelak, masjid bersejarah ini dapat berkhidmat kepada lebih ramai jemaah dan pengunjung," ujar Encik Mohamed Rafeeq.



Sejarah Masjid Bencoolen difahamkan bermula seawal 1819 apabila sekumpulan masyarakat Melayu dan India/Muslim tiba bersama Sir Thomas Stamford Raffles dari Bencoolen - kini dikenali sebagai Bengkulu di Sumatera Selatan, Indonesia.



Para pendatang Muslim itu kemudian membina sebuah struktur masjid yang sekadar berbumbung atap berhampiran Sungai Rochor.



Pada 1845, pedagang kaya dan terkenal Arab, Syed Omar Ali Aljunied, kemudian membina semula masjid kecil itu menjadi sebuah bangunan yang lebih besar, lengkap dengan beberapa deret rumah kedai.



Beliau kemudian menjadikan seluruh kompleks masjid dan rumah kedai itu sebagai sebuah wakaf yang kini dinamakan Wakaf Bencoolen.



Selain Masjid Bencoolen, Syed Omar Ali Aljunied juga dikenali sebagai dermawan yang membina sebuah lagi masjid bersejarah Singapura, Masjid Omar Kampong Melaka.



Masjid tersebut merupakan wakaf pertama yang pernah dirakamkan di negara ini.



Kini giliran masyarakat Islam Singapura untuk menyumbang demi kemaslahatan Masjid Bencoolen.



Pihak masjid masih memerlukan dana sebanyak $3.5 juta untuk membiayai kerja-kerja pengubahsuaian masjid tersebut.



"Kami alu-alukan setiap sumbangan masyarakat, dan insya-Allah apabila siap nanti, masjid akan menjadi lebih selesa untuk kegunaan semua jemaah," tambah Encik Mohamed Rafeeq.




"Ramai jemaah warga senja yang mengadu payah untuk bergerak menaiki tangga. Kami berharap dengan adanya sebuah lif nanti, ia mampu memudahkan jemaah bergerak di serata masjid untuk melakukan ibadah mereka."
- Naib Pengerusi Masjid Bencoolen, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >