Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Kenali ideologi JI menerusi 'guru agama'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

MEMPERINGATI 2 DEKAD PENANGKAPAN JI DI S’PURA

Kenali ideologi JI menerusi 'guru agama'

Pernah ke Afghanistan bertemu Osama bin Laden
Dec 04, 2021 | 05:30 AM

PENGAKUAN ALIF, BEKAS ANGGOTA JI YANG JALANI LATIHAN DI AFGHANISTAN

APABILA beliau ingin mendalami agama Islam, Encik Alif (bukan nama sebenar) juga timbul minat belajar bahasa Arab.

Oleh itu, Encik Alif yang lebih fasih berbahasa Inggeris tertarik mengikuti kelas bahasa Arab yang turut disertai seorang 'guru agama' bernama Ibrahim Maidin, juga ketua Jemaah Islamiyah (JI) Singapura ketika itu.

Kelas itu diajar guru lain namun Encik Alif mengenali Ibrahim menerusi perbincangan yang diadakan selepas kelas.

DIKENALKAN KEPADA JI

Dari saat itulah, Encik Alif mula mengenali dunia ideologi radikal JI sedikit demi sedikit.

Pengalaman awalnya itu kemudian berkembang hingga beliau mengenali ulama radikal dari Indonesia seperti Abu Bakar Bashir yang dikaitkan dengan pengeboman maut di Bali pada 2002 dan pemimpin kanan JI Riduan Isamuddin yang juga dikenali sebagai Hambali.

Beliau juga pernah ke Afghanistan, di mana beliau bertemu dengan ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Malah sebelum ditangkap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Disember 2001, beliau juga mengenali Fathur Rohman Al-Ghozi (dikenali sebagai Mike) dan menjalankan kerja pengintipan buatnya serta merancang bagaimana untuk membawa masuk dan menyimpan ammonium nitrat, bahan utama membuat bom, di sini.

Encik Alif berkata Ibrahim memberitahu beliau dan pelajar lain yang mengikuti kelas bahasa Arab itu tentang penubuhan khalifah Islam untuk mengatasi masalah dan meyakinkan mereka untuk menghadiri kelas untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya.

Semasa menghadiri kelas itu di rumah anggota JI lain, mereka perlu membawa selipar dan kasut yang dipakai masuk ke rumah untuk merahsiakan kegiatan mereka, tambahnya.

Selepas dua tahun mengikuti kelas itu, Encik Alif berkata mereka disuruh mengundi sama ada untuk mengambil baiah, atau sumpah setia, untuk menyertai kumpulan JI.

Beliau pergi ke Terengganu, Malaysia, bersama Ibrahim dan beberapa individu lain untuk mengambil baiah dengan pemimpin JI dari Indonesia, Abdullah Sungkar, pada 1998.

LATIHAN DI LUAR NEGARA

Selepas Abu Bakar Bashir mengambil alih jawatan sebagai amir, atau ketua JI, selepas Abdullah Sungkar meninggal dunia, Encik Alif berkata ketua baru JI itu mengarahkan anggota kumpulan itu menjalani latihan di luar negara, biasanya di Mindanao dan Afghanistan.

Tambahnya, Ibrahim juga mendesaknya untuk menjalani latihan di luar negara.

"Ibrahim tekan saya dan bertanya kenapa saya selalu fikirkan tentang dunia... dan tak mahu berkorban demi Islam.

"Dia bertanya macam mana saya nak tunjukkan keikhlasan saya. Katanya, saya pun belum berkahwin sedangkan orang yang sudah berkahwin dan ada anak pun pergi (jalani latihan di luar negara).

"Saya pun rasa tertekan dan terfikir betulkah saya ikhlas... jadi saya memutuskan untuk ikut arahan Ibrahim," ujar Encik Alif sambil menambah beliau mengambil masa sekitar enam bulan sebelum akhirnya membuat keputusan itu dan memberitahu keluarganya bahawa beliau mahu ke Pakistan untuk melanjutkan pengajiannya.

Di Afghanistan, beliau menjalani latihan tentera menggunakan senjata dan pernah bertemu dengan Osama bin Laden, yang tinggal di kem berdekatan, beberapa kali.

Tambahnya, mereka solat serta makan bersama dan beliau juga mendengar lelaki itu menyampaikan khutbah dalam bahasa Arab.

Menurut Encik Alif, Osama bin Laden dan sekutunya mengenali JI menerusi hubungan mereka dengan Hambali.

Selepas lapan bulan di sana, beliau mendapat arahan untuk pulang ke tanah air menerusi surat dari Ibrahim yang dikirimkan menerusi anggota JI yang baru tiba di negara itu.

Sepulangnya ke tanah air, beliau juga mengenali pembuat bom JI dari Indonesia, Mike, yang dihantar kepadanya di Singapura oleh pemimpin kanan JI i Kuala Lumpur selepas serangan 9/11 di Amerika Syarikat.

Beliau membawa Mike ke beberapa tempat sekitar Singapura yang berpotensi menjadi sasaran bagi serangan dan Mike juga mengarahkannya merancang bagaimana untuk membawa masuk dan menyimpan ammonium nitrat, bahan utama membuat bom, ke Singapura.

PEMULIHAN

Namun akhirnya, rancangan itu tidak menjadi nyata dan Encik Alif ditangkap pihak berkuasa.

Ketika itu, beliau berada di rumah bersama keluarganya.

"Saya rasa kebas.

"Kali pertama saya berjumpa dengan keluarga saya ialah sebulan atau dua bulan kemudian.

"Saya bimbang mereka akan marah saya kerana memalukan keluarga... tapi mereka berkata jangan bimbang dan mereka tetap menyokong saya," ujarnya.

Selain kaunseling agama yang ditawarkan kepadanya, Encik Alif berkata pegawai ISD yang menangani kesnya juga bersikap adil dan ikhlas, dan selepas beliau dibebaskan, mereka terus berhubungan dengannya dan memberinya sokongan.

Beliau juga berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa sebulan selepas dibebaskan dan berbakti kepada masyarakat dengan melakukan kerja sukarela di masjid.

Kini, beliau sedar pentingnya mendapatkan pengesahan bagi segala maklumat yang diperoleh dan mendapatkan nasihat daripada beberapa guru agama dan tidak bergantung pada seorang guru sahaja.

Menurut Encik Alif, kesilapan utamanya ialah bertemu dengan Ibrahim. Beliau tertarik kerana Ibrahim boleh berbahasa Inggeris dan beliau lebih fasih berbahasa Inggeris sedangkan kebanyakan kelas agama dan khutbah di Singapura ketika itu disampaikan dalam bahasa Melayu.

"Dia satu-satunya sebab saya sertai JI. Kalau bukan kerananya, saya tidak akan sertai kumpulan ini.

"Jadi saya rasa kita perlukan lebih ramai guru agama yang boleh berbahasa Inggeris," ujar beliau.


HADAPI TEKANAN HEBAT DARI KETUA JI

"Ibrahim tekan saya dan bertanya kenapa saya selalu fikirkan tentang dunia... dan tak mahu berkorban demi Islam.
Dia bertanya macam mana saya nak tunjukkan keikhlasan saya. Katanya, saya pun belum berkahwin sedangkan orang yang sudah berkahwin dan ada anak pun pergi (jalani latihan di luar negara).
Saya pun rasa tertekan dan terfikir betulkah saya ikhlas... jadi saya memutuskan untuk ikut arahan Ibrahim."
- Encik Alif (bukan nama sebenar).

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3