Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PILIHAN RAYA PRESIDEN AMERIKA

Saingan sengit di peringkat negeri

Menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 3 November, dua warga Amerika yang mewakili kumpulan parti Demokrat dan Republikan di Singapura berkongsi pandangan mereka tentang pilihan raya itu dan cabaran mengundi dari luar negara.
Nov 01, 2020 | 05:30 AM



Demokrat SG: Biden mahukan yang terbaik bagi rakyat Amerika



GANDINGAN calon presiden dan naib presiden parti Demokrat - Encik Joe Biden dan Cik Kamala Harris - memberi harapan Amerika Syarikat boleh dipimpin oleh pentadbiran bermoral yang benar-benar mahukan yang terbaik bagi rakyatnya, kata pengerusi Democrats Overseas (Singapura), Cik Patricia Reed.



"Hujah Encik Biden semasa kempen ini menyakinkan saya bahawa beliau mahukan Amerika yang serupa dengan apa yang saya alami semasa saya mendewasa dan ia ialah Amerika yang mahukan yang terbaik bagi setiap rakyat Amerika," kata Cik Reed.



"Beliau juga menunjukkan bahawa beliau berpandukan kompas moral tinggi dan melaksana tugasnya secara sopan."



Bercakap mengenai keputusan Encik Biden menamakan Cik Harris sebagai rakan tandingnya, Cik Reed berkata penamaan seorang wanita kulit hitam sebagai calon naib presiden adalah detik mercu tanda dalam sejarah Amerika dan ia memberi isyarat kehendak parti Demokrat membina negara inklusif bagi semua.



Cik Harris calon naib presiden Amerika kulit hitam dan keturunan India pertama.



Menurut Cik Reed, yang berada di Singapura sejak 2006, antara peranannya sebagai pengerusi pertubuhan yang mewakili Demokrat di sini ialah membantu warga Amerika mengundi.



Sistem undi bagi pilihan raya presiden berbeza-beza mengikut negeri di Amerika, kata Cik Reed.



Oleh itu, beliau meluangkan banyak masa memberi panduan kepada berbilang pertanyaan khusus.



Menurut Cik Reed, yang menganggarkan ada sekitar 20,000 warga Amerika di sini, undi rakyat di luar negara penting kerana persaingan di beberapa negeri sengit, oleh itu setiap undi penting.



Sebab itu, ujar Cik Reed, beliau berasa begitu stres selepas lebih sebulan tidak mendapat pengesahan mengenai undinya sendiri yang telah dihantar ke Texas. Beliau hanya mendapat pengesahan undinya itu telah tiba di sana sekitar dua bulan selepas menghantarnya.



"Prosesnya rumit... jadi antara peranan saya ialah memastikan proses ini tidak mengadang sesiapa yang ingin mengundi berbuat demikian," kata Cik Reed, yang berkata krisis yang disebabkan perubahan dasar di perkhidmatan pos Amerika turut menyumbang kepada kesukaran itu.



Ogos lalu, Ketua Perkhidmatan Pos Louis DeJoy - yang diketahui sebagai penyokong kuat Encik Trump - melaksana beberapa langkah penjimatan yang menyebabkan penghantaran surat dan bungkusan tergendala di Amerika.



Menurut Encik DeJoy, langkah penjimatan itu wajar, tetapi selepas diberi tekanan undang-undang dan politik, Encik Dejoy mengumumkan beliau akan menundakan sebarang perubahan dasar hingga pilihan raya presiden berakhir.



Cik Reed berkata beliau ghairah menanti pilihan raya tahun ini, tetapi hampa kerana tidak dapat berhimpun dengan rakyat Amerika yang lain, seperti semasa pilihan raya lalu atau acara yang biasanya dianjurkan oleh Persatuan Rakyat Amerika di Singapura.



Namun, menurut Cik Reed, ada 'pesta' menonton bersama yang bakal diadakan di alam maya dan acara itu mungkin memadai sebagai wadah bagi warga Amerika di luar negara menunjukkan sokongan.




Republikan SG: Usah terkejut kalau Trump dapat penggal kedua



PERSAINGAN menjadi presiden Amerika Syarikat lebih sengit daripada yang dilaporkan media, oleh itu usah terkejut jika Presiden Donald Trump menang bagi penggal kedua, kata Cik Tina Datta, pengerusi pertubuhan Republicans Overseas (Singapura).



"Memang benar, Encik Joe Biden mendahului Encik Trump berdasarkan tinjauan di peringkat nasional... tetapi itu bukan gambaran lengkap.



"Sebaliknya, kita perlu melihat juga kelakonan kededua calon di peringkat negeri untuk mendapatkan gambaran lebih lengkap," ujarnya.



Menurut Cik Datta, persaingan sengit bermakna keputusan boleh berpihak pada mana-mana calon, terutama selepas mengambil kira peruntukan kuasa undi di bawah sistem electoral college, atau badan perwakilan pemilih di Amerika.



Pada 2016, calon Demokrat Hillary Clinton mendahului tinjauan nasional dan memenangi lebih tiga juta undi berbanding Encik Trump, tetapi tetap tewas kerana sistem pilihan raya di Amerika memberatkan undi yang diperuntuk bagi badan perwakilan pemilih.



Cik Clinton meraih 227 undi badan perwakilan pemilih dan 65.9 juta undi popular, manakala Encik Trump mendapat 304 undi badan itu dan 62.9 undi popular.



Di bawah sistem badan perwakilan pemilih, setiap negeri diperuntuk sebilangan undi berdasarkan bilangan anggota yang dihantarnya ke Kongres, iaitu yang mewakilinya di Dewan dan Senat.



Terdapat 538 undi badan perwakilan pemilih, bermakna seorang calon perlu memenangi 270 undi itu untuk menang.



Ini bermakna bilangan undi yang dimenangi tidak sepenting tempat undi dimenangi.



Dalam laporannya mengenai pilihan raya presiden Amerika, BBC berkata tinjauan nasional panduan baik untuk mencongak sokongan bagi sebarang calon, tetapi ia tidak semestinya cara baik meramalkan keputusan pilihan raya.



Menjawab soalan apakah cara pentadbiran Encik Trump menangani pandemik Covid-19 di Amerika menjejas peluangnya dipilih semula, Cik Datta berkata berdasarkan pengalaman lalu tentu sekali memberi gambaran lebih jelas mengenai tindakan yang sepatutnya dilakukan.



Namun, Encik Trump telah bertindak awal untuk melindungi rakyat Amerika seawal Februari lalu, misalnya tidak membenarkan orang asing yang telah pergi ke China memasuki Amerika, kata Cik Datta.



Covid-19 mula dikesan di sebuah pasar haiwan hidup di bandar Wuhan di China.



Hanya satu perkara yang membuat Encik Trump terbuka kepada kritikan, iaitu beliau tidak memakai pelitup lebih awal, kata Cik Datta.



Dalam pada itu, Cik Datta, yang tinggal di Singapura sejak 2009, berkata beliau sibuk bagi pilihan raya ini kerana, antaranya, membantu warga Amerika di sini mengundi dan memenuhi undangan wawancara media dan bercakap di sesi perbincangan tentang pilihan raya itu.



Beliau telah menerima undangan menjadi pengulas di televisyen pada Hari Mengundi, 3 November.



Hari Mengundi kali ini lain daripada lain, kata Cik Datta, kerana rakyat Amerika di sini tidak dapat berhimpun untuk mengikuti perkembangan pilihan raya itu.



Menurut beliau, biasanya dewan perdagangan Amerika di sini menganjurkan perhimpunan itu di tempat awam seperti hotel, tetapi acara tersebut tidak dapat diadakan tahun in kerana sekatan pergerakan yang dilaksana bagi Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >