Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Selepas 17 tahun Noreha kembali jadi DJ sepenuh masa

May 30, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI antara penyiar radio yang bermula dengan gelaran "juruhebah" yang mempunyai 37 tahun pengalaman, deejay Warna 942 Noreha Bajuri telah melihat revolusi dunia media yang berubah pesat.



Beliau melalui zaman kena "pikul" mesin rakaman Nagra dan pita Open Reel Tape yang seberat bagasi beg baju untuk membuat rakaman suara-suara personaliti yang diinterviu di luar konti (bilik siaran) di Caldecott Hill.



Beliau juga masih ingat menggunakan telefon bimbit Motorola berharga $1,800 yang "sebesar batu bata" yang dianggap canggih ketika orang ramai masih menggunakan alat keluli (pager).



Terlalu banyak yang beliau lalui, termasuk peralihan menggunakan mesin taip elektronik ke komputer, menggantikan piring hitam dan cakera padat ke sistem digital sehinggalah akhirnya, kerana keletihan, beliau mengambil keputusan untuk perlahankan kerjayanya dengan hanya menjadi deejay berkontrak pada 2004. Sebagai pekerja kontrak beliau hanya bekerja empat jam sehari, lima hari seminggu dan kemudian sebagai deejay sambilan mulai 2007.



Siapa sangka, selepas 17 tahun "melepaskan" tugasnya sebagai penyiar radio sepenuh masa, Noreha pada 14 April lalu telah kembali ke konti, kali ini dengan mendakap teknologi pendigitilan yang begitu canggih sebagai deejay sepenuh masa.



Dalam interviu dengan Berita Minggu (BM), Noreha yang menyertai radio pada 1984 berkata beliau sebelum ini memperlahankan kerjayanya demi kesejahteraan kesihatannya.



"Waktu itu, saya pilih untuk menjadi staf kontrak kerana saya nak "slow down" sikit. Arwah bapak saya pernah berkata "Kau ni sibuk sangat, takut nanti bapak dah nazak pun kau tak dapat jumpa". Runtuh dada pada waktu tu," ujarnya sambil menjelaskan menjadi deejay sebenarnya memakan waktu yang panjang terutama dalam urusan menyiapkan rancangan yang diterbitkan - bukan setakat "bercakap-cakap sahaja."



"Mungkin itu DJ (disc jockey) tetapi kami adalah Penerbit-Pengacara. Untuk mengacara juga kami perlu perancangan untuk isi kandungan yang diketengahkan... menyiapkan skrip, buat temu janji dengan personaliti atau professional dan banyak lagi."



Noreha akui pernah dipelawa untuk menyertai stesen itu secara sepenuh masa sekitar 2007, tetapi beliau mengambil keputusan tidak menerima.



"Saya teruja jugak tetapi waktu itu saya sempat jadi "guru" di sekolah-sekolah rendah, menengah dan maktab rendah... berkongsi pengalaman dengan para pelajar dalam pelbagai bengkel di sekolah masing-masing," kongsi beliau.



Kehidupan di luar radio tetap memberi pengalaman yang berharga.



Memandangkan sifatnya yang suka berkawan, Noreha tidak kekok menolong rakan penyiar Asmah Sulaiman yang mengendalikan kedai makan Nasi Padang di Raffles Place.



"Tidaklah tolong memasak cuma melayan pelanggan dengan makanan dan minuman. Bila tukang buat air tak muncul, sayalah kena buat minuman. Mula-mula kelam kabut dan "nervous" juga, kopi pahit sangatlah…itulah, inilah. Lama-lama dah jadi pro pulak," selorohnya.



Selepas itu beliau sempat bertugas sebagai invigilator (pengawas) di Agensi Pembangunan Tenaga Kerja Singapura (WDA) dari 2010 hingga 2016.



"Tugas ini juga sangat mencabar sebab saya berdepan dengan calon-calon yang berbeza dalam ujian ini.



"Mereka yang perlu sijil untuk meningkat kemahiran, yang baru hendak mencari kerja, yang hilang pekerjaan dan macam-macam lagi.



Apabila pandemik bermula awal 2020 beliau lebih banyak membuat kerja dari rumah.



"Alhamdulilah banyak juga dapat tugas terjemahan dan penyampai dokumentari ChannelNews Asia untuk Suria," kongsi beliau.



Berkongsi mengenai peralihanmenggunakan gajet rakaman radio yang digunakan sejak zaman dulu hingga ke peralatan digital hari ini, Noreha berkata:



"Saya dah melalui zaman kami gunakan pita rakaman Nagra yang besar dan seberat begasi baju dan Open-Reel Tape untuk buat temu-ramah.



"Sekarang saya perlu gunakan ProTools untuk penerbitan dan pelbagai aplikasi lain untuk tugas penyiaran. Ditambah pula dengan Facebook Live untuk rancangan seperti "BerHari Raya di Rantauan" dan sebagainya.



"Kita sebagai personaliti radio memang harus menjadi orang yang pertama mendakap revolusi platform digital ini kerana kita yang menyampaikan.



"Jadi kita kena "Walk the Talk". Revolusi terlalu pantas berlaku, kita tidak ada masa untuk terhegeh-hegeh.



"Ini yang akan membantu kita terus mempertahankan radio sebagai wadah hiburan dan informasi untuk pendengar segenap pelosok di dunia," kata beliau.



Walaupun terpaksa cepat menyesuaikan diri dengan perubahan terkini di tempat bertugas, Noreha berkata beliau bertuah kerana "di kelilingi dengan orang-orang yang hebat. Team kami sangat hebat. Saya juga harus jadi hebat..Insya-Allah."



Sebelum ini, DJ Fiza O telah pun meninggalkan tugasnya di Ria 897 sementara penyiar veteran Suharti Ali pula telah bersara.



Ketika ini Noreha mengendalikan rancangan 'Zon Warna Petang' dari 2 hingga 5 petang Isnin hingga Jumaat. Beliau juga menerbitkan 'Diari Warna', 'Khutbah Jumaat' dan 'Rumah Cantik', sebuah rancangan tajaan.




DARI PITA RAKAMAN KE PLATFORM DIGITAL...PERLU PANTAS IKUT REVOLUSI PENYIARAN



Saya dah melalui zaman kami gunakan pita rakaman Nagra yang besar dan seberat begasi baju dan Open-Reel Tape untuk buat temu-ramah.



Sekarang saya perlu gunakan ProTools untuk penerbitan dan pelbagai aplikasi lain untuk tugas penyiaran. Di tambah pula dengan Facebook Live untuk rancangan seperti ''BerHari Raya di Rantauan'' dan sebagainya.



Kita sebagai personaliti radio memang harus menjadi orang yang pertama mendakap revolusi platform digital ini kerana kita yang menyampaikan.



Jadi kita kena ''Walk the Talk''. Revolusi terlalu pantas berlaku, kita tidak ada masa untuk terhegeh-hegeh. - Noreha Bajuri




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >