Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Seniman batik Sarkasi Said raih Pingat Budaya

Ingin usahakan 'ensiklopedia batik' kupas sejarah, teknik, lambang sosial seni tradisi ini demi rujukan masyarakat
Dec 10, 2020 | 05:30 AM



Enam penggiat seni Singapura yang menyumbang kepada pembangunan landskap seni dan budaya negara ini diberi pengiktirafan menerusi Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda. Pelukis batik mapan, Encik Sarkasi Said, dinobatkan sebagai salah seorang daripada dua pemenang Pingat Budaya. Penggiat teater Inggeris dan Melayu, Encik Irfan Kasban, pula antara empat penerima Anugerah Seniman Muda. BERITA HARIAN melaporkan mengenai mereka yang gigih berkarya sebagai pencetus inspirasi dan penawar di persimpangan kemelut kesihatan Covid-19.



MESKIPUN tenaga fizikal dan pergerakan tubuhnya dimamah usia senja, minda seniman batik, Encik Sarkasi Said, sentiasa bergerak memikirkan idea baru memasyarakatkan lukisan batik.



Beliau yang lebih dikenali dengan nama Tzee Sarkasi yang membawanya menjelajah ke peringkat antarabangsa malah gigih ingin mengusahakan buku yang boleh disifatkan sebagai ensiklopedia batik.



Dengan membacanya, anda akan ketahui lembaran sejarah batik di samping mengenal pasti seni lukisan batik yang sebenar berbanding setakat cetakan atau rekaan corak mirip batik sahaja.



Lantaran itu, apabila diberitahu Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bahawa beliau adalah antara dua pemenang Pingat Budaya tahun ini, berita itu ibarat pucuk dicita, ulam mendatang buat Encik Sarkasi, 80 tahun.



Sebagaimana katanya ketika dihubungi kelmarin:



"Alhamdulillah, Pingat Budaya ini berkat doa teman-teman. Anugerah ini datang tepat pada masanya tatkala saya sedang memikirkan kesinambungan usaha memperkenal dan memperkasa ilmu tentang batik buat pengetahuan masyarakat.



"Walaupun secara fizikal, pergerakan saya agak terbatas bagi menghasilkan kerja seni baru, tiada noktah pada pergerakan minda saya dalam keinginan menghasilkan buku tentang batik.



"Tidak banyak sumber rujukan mengenai batik yang lengkap dan terperinci boleh diperolehi di mana-mana.



"Dengan peruntukan yang diberi NAC, saya berharap dapat mengupas takrifan kraf batik yang sebenar yang sering disalahanggap masyarakat.



"Antara contoh yang akan saya bincangkan adalah persoalan sama ada pakaian seragam pramugari Singapore Airlines (SIA) itu betul-betul cetakan seni batik atau hanya rekaan corak mirip batik."



Dalam buku itu kelak, beliau juga ingin menjelaskan lebih lanjut mengenai teknik lukisan batik yang menggunakan lilin pemisah, batik tulis tangan, lukisan titik dan cetakan blok.



Kedudukan batik sebagai lambang status fabrik persalinan Diraja yang mahal suatu ketika dahulu serta bagaimana rakyat jelata kemudian mampu menggunakannya juga ingin diselongkar.



Selain Encik Sarkasi, seniman visual berbilang media, Dr Vincent Leow, 59 tahun, yang mengasaskan secara bersama kolektif seni Plastique Kinetic Worms (PKW) adalah seorang lagi penerima Pingat Budaya.



Pingat Budaya disampaikan kepada 128 penggiat seni mapan sejak diperkenal pada 1979 oleh mendiang Presiden Ong Teng Cheong, yang ketika itu Menteri Kebudayaan.



Pemilihan penerima dibuat berdasarkan kecemerlangan seni dan kematangan profesional yang dipaparkan menerusi kerja seni bermutu serta sumbangan luar biasa dan kepimpinan mencorak pembangunan seni dan budaya di Singapura.



Usaha seniman itu sendiri dalam memperkasa dan melanjutkan kemahiran mereka di samping memasyarakatkan seni menerusi program pendidikan dan kemasyarakatan turut diambil kira.



Penerima Pingat Budaya juga mestilah pencetus inspirasi dan teladan buat seniman lain serta diiktiraf pada peringkat antarabangsa.



Geran Dana Pingat Budaya yang diberi kepada penerima dalam mengusahakan projek seni dinaikkan daripada $50,000 (diperkenal pada 2001) kepada $80,000 sejak 2006.



Encik Sarkasi, ayah empat anak dan datuk tujuh cucu ini, dikenali kerana teknik asli lilin pemisah yang jarang digunakan pelukis batik lain, penggunaan warna terang dan paparan alam dalam kerja seninya.



Selain pernah membantu neneknya menjual kain batik bagi meraih pendapatan sampingan, pengasas seni batik di Singapura ini mula tertarik pada lukisan batik pada usia 20-an tahun.



"Saya ke pameran lukisan batik seorang pelukis Italy di Singapura pada 1960-an.



"Apabila diamati teknik lukisannya yang tradisional dan asli dari rantau ini, saya tertanya-tanya dalam hati, 'Mengapa orang asing mahirkan diri dalam seni yang sepatutnya dimajukan orang Jawa seperti saya?'



"Maka saya mulalah merantau ke Indonesia dan Malaysia bagi mempelajari dan memahirkan diri dalam seni lukisan batik di samping menyelongkar identiti dan jati diri saya," katanya.



Beliau pulang ke kampung datuk neneknya di Karang Malang, Indonesia.



Seniman Akademi Senipura Nasional di Jakarta, Pak Aznam Effendy, turut menjadi gurunya.



Nama Encik Sarkasi kemudian kian dikenali sekitar 1970-an apabila Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mencari rekaan 'Busana Singapura' yang boleh mewakili negara.



Lukisan anggerik pada busana yang dihasilkan Encik Sarkasi mendapat tempat di hati ramai.



Beliau mula mengembangkan lukisan batiknya pada pakaian dengan busana bercorak batik dijual syarikatnya, Tzee Creation, yang dibangunkan dengan empat rakan niaga lain.



Kerja seninya kemudian dipaparkan sejauh Perancis dan Amerika Syarikat.



Beberapa anugerah yang pernah dimenanginya termasuk Anugerah Jauhari Berita Harian, Anugerah Lukisan Tahunan UOB dan Penyertaan Asing Terbaik, Persatuan Lukisan Sarasota, Amerika Syarikat.



Beliau juga mencipta Rekod Dunia Guinness bagi lukisan batik terpanjang pada 2003.



"Saya tidak menganggap sebarang kesulitan dalam hidup itu sebagai cabaran untuk terus berkarya.



"Kerap saya gunakan perumpamaan berjalan dalam terowong yang gelap untuk mencari cahaya di penghujung jalan.



"Bagi saya, tidak perlu tunggu penghujung jalan bagi menemui cahaya itu kerana ia ada dalam hati kita. Pancaran keikhlasan akan membantu kita mencari arah tuju.



"Tuhan membekalkan saya dengan kemahiran yang ingin saya manfaatkan buat masyarakat.



"Saya sentiasa mencari cara mengalihkan keindahan batik kepada medium selain fabrik," jelasnya yang ingin mengadakan pameran solo tahun depan.



Mengulas pencapaian penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda, Presiden Halimah Yacob, berkata:



"Seni dan budaya memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kepelbagaian masyarakat berbilang budaya kita.



"Dalam tempoh mencabar pandemik Covid-19, kesenian boleh membangkitkan semangat kita dan membangun jalinan masyarakat di Singapura.



"Tahniah kepada penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda. Mereka memberi contoh komitmen Singapura dalam menggalak kerencaman budaya dan menyediakan wadah bagi ekspresi kreatif.



"Pencapaian seniman kita akan lebih memperkaya landskap budaya, mencetus inspirasi masyarakat umum dan menyemai rasa bangga dalam diri warga Singapura."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >