Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIA hentikan pekerja: Sudah diduga, hanya tunggu masa, kata beberapa kakitangan

Sep 12, 2020 | 05:30 AM



SUDAH menduga tetapi tetap terkejut mendengar berita buruk yang datang begitu pantas.



Demikian reaksi beberapa kakitangan Singapore Airlines (SIA) Group dan juga dari syarikat penerbangan lain menyusuli pengumuman SIA Group untuk memberhentikan sekitar 2,400 kakitangan sedang ia berdepan dengan kesan buruk daripada krisis Covid-19.



Seorang kru kabin Cik Nur Umairah Mohamed Masyiadi, 31 tahun, berkata "semua tahu bahawa ia akan berlaku, dan ia hanya menunggu masa".



Tambahnya, beliau bimbang terdapat kemungkinan lebih banyak pemberhentian kerja boleh berlaku pada masa depan selagi Covid-19 masih wujud.



"Pandemik ini telah menjejas mata pencarian dan kami semua ada tanggungjawab, termasuk keluarga, rumah, kereta dan ibu bapa. Ia telah menjejas pendapatan kami dan saya rasa bimbang.



"Buat masa ini, saya masih lagi ada pekerjaan tetapi saya tak tahu... apa sahaja boleh berlaku," kata Cik Nur Umairah, yang bertugas untuk hanya dua penerbangan sejak Mac lalu.



Dalam kenyataannya kelmarin, SIA berkata ia telah membuat "keputusan sukar untuk mengurangkan sebanyak 4,300 jawatan di kesemua syarikat penerbangannya" yang merangkumi Singapore Airlines, SilkAir dan Scoot.



Setelah mengambil kira pembekuan perekrutan, susutan biasa iaitu bilangan pekerja yang bersara atau melepaskan jawatan, dan skim letak jawatan sukarela, jumlah kakitangan yang terjejas berkurangan kepada sekitar 2,400 di Singapura dan di luar negara.



Seorang kru kabin SIA yang enggan namanya didedahkan berkata meskipun berita itu sudah diduga, beliau tidak menjangkakan ia akan berlaku begitu pantas.



"Meskipun kami pernah diberitahu syarikat bahawa pemberhentian kerja akan menjadi langkah terakhir yang akan diambil, saya rasa kami semua tahu bahawa hari itu akan tiba.



"Cuma kami tak sangka langkah terakhir ini akan berlaku begitu cepat," kata beliau yang tidak terjejas dengan langkah tersebut.



Presiden Kesatuan Kakitangan Singapore Airlines, Encik Alan Tan, berkata terdapat kebimbangan meluas di kalangan pekerja sejak perjalanan udara terpaksa berhenti beroperasi.



"Kami faham ini adalah waktu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak dapat dielakkan bahawa syarikat penerbangan perlu mengurangkan jumlah kakitangan akibatnya. Kami tahu keputusan sedemikian tidak diambil secara ringan.



"Kesatuan bersedia membantu kakitangan yang terjejas dalam apa jua cara yang kami boleh, dan bekerjasama dengan pihak pengurusan untuk menyokong baki kakitangan untuk menggunakan (tempoh) kelembapan ini bagi mendapatkan latihan atau peluang pekerjaan kedua," kata beliau.



Presiden Kesatuan Kakitangan Scoot, Encik Vivek Motiram Hiranandani, pula berkata pihaknya dapat bertindak dengan pantas untuk menawarkan bantuan kepada anggotanya apabila krisis itu melanda dan telah bekerja rapat dengan pihak pengurusan untuk mengurangkan kehilangan pekerjaan dan melindungi mata pencarian kakitangan.



Malangnya, disebabkan kesan serius dan berpanjangan pandemik ini, pihaknya memahami bahawa syarikat tiada banyak pilihan selain mengurangkan saiz tenaga kerja.



"Kesatuan telah bekerjasama dengan pihak pengurusan untuk memastikan proses pemberhentian kerja yang adil dan kebajikan kakitangan yang terjejas dijaga," kata beliau.



Menteri Pengangkutan, Encik Ong Ye Kung, kelmarin berkata pemerintah akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan rakan industri untuk menempatkan pekerja yang terjejas dalam pekerjaan lain, membantu mereka beralih ke industri lain atau mendaftarkan mereka dalam program latihan industri dan pelatih yang sesuai.



"Saya pasti kemahiran mereka sangat diperlukan di tempat lain juga. Lebih penting lagi, kami akan terus berusaha memulihkan perjalanan udara dalam cara yang selamat, untuk pesawat SIA terbang di angkasa sekali lagi, dan menghidupkan kembali hab udara kita," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >