Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Sinar bakat SG Nifail Adib di medan vokal Indonesia

Impian setiap penyanyi pastinya adalah memiliki lagu sendiri. Baik si muda atau yang mencapai pertengahan umur akan dambakan peluang berada di studio rakaman bagi usaha mengetengahkan karya mereka menerusi wadah digital. Namun, perjalanan seni yang diidamkan tidak semudah mana. Dua bakat Singapura berkongsi bersama BERITA HARIAN jerih payah yang dilalui dan perasaan luar biasa apabila karya mereka mendapat sambutan.
Sep 20, 2021 | 05:30 AM



TITIK tolak Nifail Adib Mahadi memasuki arena muzik Singapura adalah ketika beliau berjaya ke peringkat akhir peraduan sempena Pesta Raya Esplanade, Pesta uNyanyi, dua tahun lalu.



Sebelum ini, beliau mula berlakon peranan kecil-kecilan bagi membiaya sendiri pengajian di Politeknik Ngee Ann.



Setapak demi setapak Nifail, 20 tahun, melangkah dalam perjalanan membuka mata menyertai pelbagai pertandingan adu bakat daripada StereoFest (CelebFest), Suara (Wisma Geylang Serai) hingga Anugerah 2020.



Baru-baru ini pula, beliau mencatat sejarah peribadi apabila terpilih sebagai antara 46 peserta terbaik peraduan maya bakat antarabangsa, Starvoices anjuran pihak di Indonesia.



Apakah jerih payah yang dilalui Nifail bagi mengecapi cita-cita bergelar penggubah, penulis lirik dan penyanyi berjaya?



Ikuti wawancara Berita Harian bersamanya.



Soalan (S): Bagaimana segalanya bermula buat Nifail?



Nifail: Ketika itu, saya berada di tahun terakhir pengajian di Politeknik Ngee Ann dan diamanahkan mengatur program bagi pelbagai acara Persatuan Pelajar Muslim Ngee Ann sewaktu musim Lebaran.



Seorang teman saya mengirim pautan bagi saya menyertai peraduan Pesta uNyanyi.



Saya berjaya sampai ke peringkat akhir peraduan ini. Alhamdulillah, itulah kali pertama saya menyanyi di khalayak ramai. Gementarnya tak terkata.



Saya boleh bermain gitar dan menyanyi suka-suka sahaja sejak 2016. Tak pernah terfikir nak menyanyi secara profesional.



Saya adalah seseorang yang agak pendiam dan tidak sukakan perhatian. Ia adalah perjalanan perlahan tetapi mantap.



Dengan setiap peraduan yang saya sertai, saya mula menyelongkar kelemahan dan kekuatan saya dalam perihal seni, baik dalam penampilan pentas, membangun keyakinan diri dan menghafal lirik.



S: Apakah antara cabaran yang dihadapi bakat baru?



Nifail: Ada banyak batu penghalang yang perlu diatasi pendatang baru dalam bidang seni, khususnya jika anda bukan lahir dalam industri ini dan bertatih membina nama sendiri.



Sebabnya, nama anda tidak atau belum dikenali. Saya dapati perkara paling sukar buat bakat baru adalah membangun pengikut dan peminat yang akan menyokong anda, datang ke persembahan anda atau mendengar lagu anda.



Saya juga dapati sukar menguruskan semua akaun media sosial saya dengan memastikan ada yang berminat mengikuti perkembangan saya.



Memastikan saya dapat memenuhi cita rasa peminat dan berkongsi hampir setiap aspek kehidupan saya dengan mereka juga merupakan satu lagi kesulitan. Maklumlah, saya kadangkala rasa canggung dan tidak begitu arif tentang teknologi.



Satu lagi cabaran adalah kesukaran mengetengahkan muzik yang saya suka berbanding muzik umum yang kebanyakan orang senangi.



Ada bezanya antara kerja seni yang anda banggakan dengan lagu yang akan dapat menakluki carta radio.



Saya pula tidak suka sangat mengikut trend seperti penggunaan TikTok atau bikin 'cover' lagu sebanyaknya.



Namun, saya perlu juga ikut trend semasa sebagai pendedahan.



S: Ceritakan pengalaman membina memasuki 'Starvoices'.



Nifail: Ia adalah pengalaman yang sangat saya hargai sebab saya menerima kritikan dan ulasan daripada artis Indonesia seperti Olivia Pardede, Samuel Glenn, Ronald Misael dan Barsena Bestandhi.



Perspektif pemikiran mereka menyegarkan.



Pastinya kenangan paling manis adalah berada di tangga '40 Bakat Terbaik' peraduan tersebut. Ada ribuan orang dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura yang menyertai peraduan ini.



Sayangnya, saya tersingkir apabila diberi lagu Ungu, Cinta Dalam Hati, yang saya anggap sukar dinyanyikan.



Sepatutnya saya lebih relaks. Pengadil mengatakan saya kurang daya menghibur dan persembahan kerana segalanya nampak terlalu biasa dan mudah sahaja. Mereka juga tidak sukakan susunan baru lagu itu.



Saya menghormati keputusan pengadil kerana setiap orang ada pandangan mereka sendiri.



S: Apa pengajaran yang anda raih daripada pengalaman bertanding?



Nifail: Saya belajar untuk jadi diri sendiri, jujur tetapi terbuka pada kritikan orang. Saya juga belajar bahawa kita boleh memperbaiki diri sebagai artis tanpa mengetepikan daya kreativiti dan harga diri kita.



Buat masa ini, saya adalah '50 Peserta Terbaik' peraduan Music Millenia, juga anjuran Indonesia. Doakan saya, ya.



S: Sudah ada perancangan merakam lagu buat gedung digital?



Nifail: Saya masih agak baru dalam bidang ciptaan lagu. Saya bermula setahun yang lalu. Menemui bunyian saya sendiri agak sukar. Saya perlukan masa dan tidak ingin memaksa proses kreativiti saya.



Lagu-lagu ciptaan saya bersifat kerohanian. Moga ia dapat diterima ramai. Bagi saya, seorang pencipta harus cuba menghasilkan sesuatu yang akan memberi manfaat buat pendengar.



Pegangan agama amat penting buat saya. Jangan anggap lagu bertema kerohanian seperti nasyid atau yang didendangkan Maher Zain hanya sesuai buat bulan mulia Ramadan sahaja.



Saya banyak terinspirasi oleh band Indonesia seperti Peterpan, ST12 dan Letto yang menggabungkan unsur moden dan pop Indonesia yang nostalgik.



Mudah-mudahan 'single' pertama saya akan dapat diterbitkan hujung tahun ini atau awal tahun depan. Buat masa ini, lagu saya di Spotify dan YouTube adalah hasil kerjasama dengan dua pemuzik muda lain, Ahmadul Amin dan Wafiq Hadee.



Ia adalah hasil pengalaman kami menghadiri bengkel penulisan lirik dan gubahan lagu Merdu kendalian Universiti Nasional Singapura (NUS).



S: Sebagai bakat baru, apa harapan anda?



Nifail: Semua bakat baru harus meluahkan perasaan mereka dengan cara mereka sendiri menerusi lagu, tak kisahlah jika genrenya kedengaran pelik atau berada di aliran utama.



Saya ingin mendengar muzik Melayu yang segar di Singapura. Pemuzik kita banyak dipengaruhi muzik Malaysia dan Indonesia hingga kita hilang identiti kita sebagai pemuzik Singapura kadangkala.



Saya juga terjerat dengan masalah ini kerana dewasa dengan lagu Indonesia berbanding yang disajikan bakat tempatan.



Kita perlu yakin berkat usaha, lagu kita akan sampai ke pendengaran lebih ramai orang. Seteruk mana pun, kita ada ruang untuk perbaiki diri dan kerja seni kita.



Saya berterima kasih kepada ibu bapa saya yang menyokong saya termasuk di kala saya tidak meyakini diri saya sendiri. Juga buat sahabat saya, Insyirah kerana berada di sisi di setiap peraduan yang saya sertai.



Ribuan terima kasih buat Imran Ajmain yang membimbing saya bagi lagu pertama saya dengan memberi pengamatannya tentang tuntutan industri muzik dan proses mengeluarkan lagu.




"Ia adalah pengalaman yang sangat saya hargai sebab saya menerima kritikan dan ulasan daripada artis Indonesia seperti Olivia Pardede, Samuel Glenn, Ronald Misael dan Barsena Bestandhi.

Perspektif pemikiran mereka menyegarkan.

Pastinya kenangan paling manis adalah berada di tangga '40 Bakat Terbaik' peraduan tersebut. Ada ribuan orang dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura yang menyertai peraduan ini."

- Nifail Adib Mahadi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >