Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

S'pura bina perjanjian ekonomi digital bantu karyawan ceburi pasaran luar

Sektor perkhidmatan profesional yang bertumbuh tinggi sokong status Singapura sebagai hab perniagaan
Oct 02, 2020 | 05:30 AM



SINGAPURA perlu terus memperkukuhkan daya saingnya dalam sektor perkhidmatan karyawan agar dapat terus menawarkan pekerjaan yang baik untuk warganya di dalam dan luar negara, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing.



Salah satu inisiatif bagi mencapai itu ialah dengan menggiatkan usaha membina rangkaian perjanjian ekonomi digital bagi membantu firma perkhidmatan karyawan mengakses pasaran luar negara.



Bercakap dalam satu sidang media selepas lawatannya ke pejabat syarikat khidmat karyawan, PwC semalam, Encik Chan menarik perhatian bahawa sektor itu akan terus menjadi sektor pertumbuhan tinggi dan akan menekankan status Singapura sebagai hab perniagaan.



Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Tenaga Manusia Cik Josephine Teo dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah.



"Sejauh mana ia berjaya akan menentukan dan membentuk laluan pertumbuhan Singapura pada masa depan.



"Jika kita cemerlang, kita akan dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk warga Singapura bukan hanya di dalam negara tetapi juga di rantau dan bahagian lain di dunia.



"Ini adalah bagaimana kita dapat mengembangkan sayap dalam negara kita," ujar Encik Chan.



Menurut Encik Chan, banyak perniagaan yang mencari idea untuk menangani ketidaktentuan sekarang dan bagaimana untuk mengubah model perniagaan mereka supaya bertakat dan maju dalam dunia yang terkesan oleh Covid-19.



Justeru, banyak syarikat akan mempercepatkan proses transformasi mereka.



"Tetapi... mereka akan memerlukan analisis yang lebih baik dan tepat serta rakan kerjasama yang dipercayai untuk mengiringi mereka dalam perjalanan itu," terangnya.



Kata Encik Chan, dengan keadaan geo politik global memburukkan keadaan, banyak syarikat juga prihatin tentang keupayaan mereka beroperasi di pelbagai pasaran.



Keadaan ini akan menyajikan peluang untuk Singapura, jika kita dapat menjadi lokasi yang menempatkan operasi mereka dan membolehkan firma-firma itu memberi khidmat kepada pelbagai sistem eko global.



Maka itu, untuk memperkukuhkan kelebihan daya saing negara ini dalam perkhidmatan karyawan, pemerintah Singapura akan memastikan untuk menubuhkan keadaan makro yang tepat dalam sektor untuk berkembang.



"Kita akan terus bekerja keras mengusahakan rangkaian perjanjian dagangan bebas bagi membenarkan syarikat kita mengakses pasaran di luar Singapura.



"Lebih penting, kita akan perkukuhkan usaha membina satu rangkaian perjanjian ekonomi digital baru, yang khususnya penting untuk ... syarikat khidmat karyawan mengakses menerusi alam digital.



"Kita mahu dilihat sebagai hab yang mana pihak-pihak boleh bertukar-tukar, menganalisa dan memproseskan data dalam sekitaran yang selamat," kata Encik Chan.



Bagi bidang guaman pula, Singapura telah mewujudkan satu rangkaian konvensyen perundangan bagi menubuhkan negara ini sebagai lokasi pilihan bagi khidmat kewangan dan guaman, yang akan membantu memperkukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab kewangan rantau ini, jelas Encik Chan.



Beliau menekankan bahawa Singapura mesti terus memanfaatkan kepercayaan terhadap jenamanya.



Encik Chan juga menggesa warga Singapura dan syarikat supaya menimbangkan ke luar negara untuk menimba pendedahan serantau agar mereka dapat menyandang peranan serantau dan dapat berkhidmat kepada pasaran lebih luas.



"Apabila banyak syarikat, besar atau kecil, mencari ketua serantau, mereka perlukan orang yang mempunyai pengalaman serantau.



"Dan jika warga Singapura dapat menimba ini dalam mereka melalui kerjaya, ia akan menjadi satu kelebihan besar...apabila karyawan mencapai usia 40-an dan 50-an dan mereka mencari jawatan global dan serantau, mereka akan ketinggalan jika tidak mempunyai atau memperolehi pendedahan yang diperlukan sebelum itu," terang beliau.



Tambahnya lagi, sementara pergerakan ke luar negara disukarkan oleh pandemik ini, tetapi ia bukan sesuatu yang akan berlaku selama-lamanya.



Sebaliknya, keperluan syarikat untuk mereka yang ada pengalaman antarabangsa akan lebih rancak dalam mereka memberi khidmat kepada pasaran yang semakin global, menurut Encik Chan.



Sementara itu, turut bercakap dalam sidang tersebut, Cik Indranee berkata walaupun sektor perkhidmatan karyawan dijejas oleh sekatan global dan tempoh pemutus litar Singapura, ada tugasan mula pulih tetapi sebahagiannya bergantung kepada pergerakan global.



Cik Indranee, yang hadir dalam jawatannya sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Moden di bawah Majlis Ekonomi Hadapan (FEC), berkata sektor itu adalah bidang pertumbuhan utama bagi jangka masa sederhana dan panjang.



Menurutnya, Singapura mempunyai bakat dan keupayaan untuk perkukuhkan sektor itu.



Meskipun 70 peratus firma guaman mencatatkan kerja yang berkurangan, namun disebabkan kemelesetan, tugasan dalam bidang seperti litigasi dan huraian pertikaian bertambah, jelas beliau.



"Kerja korporat dan urus niaga telah terjejas oleh kemelesetan.



"Tetapi terdapat potensi untuk penggabungan dan pemerolehan sedang pelabur mula melihat potensi melabur dalam kalangan syarikat yang di bawah tekanan...dan apabila ekonomi pulih semula, permintaan khidmat guaman akan tumbuh juga," tambah Cik Indranee.



Dalam sidang yang sama, Cik Teo pula telah memberi perkembangan tentang peluang pekerjaan dan latihan dalam sektor perkhidmatan karyawan serta panduan gaji yang ditawarkan oleh sektor tersebut.




LINGKUNGAN GAJI KARYAWAN



Pengiklanan dan pemasaran



  • Gaji bulanan bagi karyawan pengiklanan dan pemasaran di antara $4,750 dengan $9,500

  • Gaji bagi eksekutif penjualan komersial dan pemasaran di antara $2,250 dengan $4,500

Khidmat rekaan



  • Gaji bulanan bagi pereka grafik dan media berbilang serta artis di antara $6,750 dengan $9,250

  • Gaji bulanan bagi pereka dalaman dan penghias, di antara $2,900 dengan $4,600

Perakaunan



  • Gaji bulanan di antara $3,150 dengan $7,450, bergantung kepada pengalaman

Kejuruteraan



  • Jurutera mekanikal meraih gaji di antara $4,000 dengan $6,000 sebulan

  • Jurutera sivil pula menerima gaji di antara $3,750 dengan $5,500




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >