Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SIRI LAPORAN DEMENSIA

Sumbang pengalaman bertahun bantu pesakit demensia

Minggu lalu, akhbar ini melancarkan siri laporan baru untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit demensia dan isu-isu penuaan. Dalam laporan kedua siri mingguan ini, BERITA MINGGU menemubual dua karyawan yang giat membimbing dan membantu pesakit dalam menjalani pemulihan dan membantu anggota keluarga dan pengasuh dalam mengharungi cabaran menjaga pesakit demensia.
May 16, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang yang berpengalaman selama bertahun-tahun di sektor kesihatan mental di Singapura, Cik Yang Chek Salikin telah melihat bagaimana ramai individu dalam masyarakat Melayu/Islam terjejas akibat kesihatan mental.



Ramai antara mereka masuk dan keluar hospital kerana kekurangan sokongan yang tersedia untuk mereka, katanya.



Melihat jurang perkhidmatan untuk masyarakat pada ketika itu, Cik Yang Chek menyatakan bahawa beliau berharap seseorang dapat mewujudkan ruang yang selamat di mana ramai orang dapat meminta pertolongan dan sokongan apabila menghadapi kesulitan.



Dengan pengalamannya, Cik Yang Chek, Pengarah Eksekutif (Klinikal), Kelab Heal, berkongsi bahawa beliau seperti menyahut panggilan untuk membantu dan melakukan yang terbaik untuk masyarakat.



Dilatih sebagai seorang jururawat umum pada tahun 1970-an, beliau sering berminat serta ingin tahu mengapa pesakitnya mempunyai atau mempamerkan tingkah laku yang tertentu.



"Ketika saya bekerja bersama orang lain dan pesakit, saya sering memperhatikan tingkah laku mereka dan memikirkan mengapa mereka berkelakuan sedemikian.



"Contohnya, mengapa mereka tidak boleh tidur atau mengapa mereka merasakan kesakitan. Meskipun terdapat kes pesakit yang menghadapi sakit mental, ketika itu tidak ramai jururawat yang mempunyai kemahiran atau pengetahuan untuk menangani tingkah laku mereka.



"Ini adalah antara perkara yang menggerakkan saya untuk menceburi bidang ini," kata Cik Yang Chek, 68 tahun, yang pernah bekerja di Hospital Besar Singapura (SGH) selama dua tahun dalam wad pembedahan, sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan jururawat psikiatri.



Mengejar minatnya untuk mendalami bidang kejururawatan psikiatri, beliau kemudian berpeluang bekerja di pelbagai hospital dalam industri ini.



Antara hospital yang beliau pernah bertugas ialah Hospital Woodbridge (kini dikenali sebagai Institut Kesihatan Mental atau ringkasnya IMH), Hospital Tan Tock Seng, Hospital Besar Changi (CGH) dan Komplex Penjara Changi.



Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam bidang tersebut, Cik Yang Chek, pemilik ijazah Sarjana Kejururawatan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), berkongsi antara cabaran yang besar adalah menawarkan wadah yang sesuai untuk masyarakat Melayu/Islam kita mendapatkan bantuan bagi kesihatan mental.



Bagi mereka yang telah menerima bantuan daripada hospital, beliau menjelaskan mereka tidak dapat menerima sokongan khas berterusan untuk menanganinya setelah keluar dari hospital.



"Memang terdapat kemudahan penjagaan 'step-down' tetapi ia dikendali oleh bukan Islam.



"Ramai keluarga dalam masyarakat kita ini tidak begitu terbuka dengan idea untuk memasukkan keluarga mereka ke dalam kemudahan tersebut.



"Akibatnya, ramai yang menderita dan tidak dapat sokongan yang diperlukan," ujarnya yang pernah diberi Anugerah Presiden bagi Jururawat 2008 - pengiktirafan tertinggi negara bagi kerjaya kejururawatan.



Bertujuan untuk menjangkau dan memberi akses kepada sokongan di Kelab Heal, peranan Cik Yang Chek adalah untuk mengesan kes-kes yang mereka terima dan melihat bagaimana mereka dapat membantu klien itu serta keluarga mereka.



Katanya, bukan semua klien yang mereka terima mengalami kesihatan mental.



"Apabila kami terima kes-kes ini, kami bukan hanya melihat isu kesihatan mental yang klien itu alami. Kami juga memerhatikan keadaan perubatan yang lain yang mungkin memerlukan rawatan yang lain.



"Kami tidak boleh hanya berkata seseorang itu mengalami kesihatan mental, pemalas atau tidak boleh diharap. Kadang-kala, isu-isu kesihatan lain boleh mengakibatkan kesihatan mental seperti demensia," katanya sambil menambah bahawa orang ramai perlu melihat gambaran yang lebih besar.



Meskipun sudah melepasi usia persaraan, atas khidmat cemerlang serta pengetahuan dan kemahiran luas yang dimiliki, khidmat Cik Yang Chek disambung.



Usianya ternyata bukan penghalang baginya untuk terus menawarkan khidmat dalam bidang ini.



Malah, ibu dua orang anak itu berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai demensia dalam kalangan generasi muda.



"Orang ramai kini lebih menerima isu kesihatan mental dan ramai kini yang bertanya-tanya apa yang mereka boleh lakukan untuk membantu.



"Sebelum ini, 30 atau 40 tahun yang lalu, orang tidak berani untuk bercakap mengenai isu ini atau menampil kehadapan untuk menerima bantuan kerana takut dilabel.



"Namun, sekarang saya boleh nampak terdapat perubahan dalam pemikiran orang ramai. Saya berharap mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental dapat mencari bantuan sebelum keadaan semakin teruk," ujarnya.




Orang ramai kini lebih menerima isu kesihatan mental dan ramai kini yang bertanya-tanya apa yang mereka boleh lakukan untuk membantu.

“Sebelum ini, 30 atau 40 tahun yang lalu, orang tidak berani untuk bercakap mengenai isu ini atau menampil ke hadapan untuk menerima bantuan kerana takut dilabel.

– Cik Yang Chek Salikin, Pengarah Eksekutif (Klinikal), Kelab Heal




Tanya jawab



SOALAN:



Apakah tanda dan simptom penyakit demensia?



JAWAPAN:



Demensia mempengaruhi setiap orang dengan cara yang berbeza, bergantung kepada kesan penyakit dan keperibadian seseorang sebelum jatuh sakit.



Tanda dan simptom yang dikaitkan dengan demensia dapat difahami dalam tiga peringkat.



Tahap ringan



Tahap awal demensia sering diabaikan kerana permulaannya berlaku secara beransur-ansur.



Gejala biasa termasuk:



Pelupa;



Kehilangan jejak masa;



Menjadi lebih keliru atau bingung dalam persekitaran yang kurang dikenali;



Kesukaran dalam menangani tugas-tugas yang rumit, atau penurunan kesedaran mengenai peristiwa terkini dan baru berlalu.



Tahap sederhana



Ketika demensia meningkat ke tahap sederhana, tanda dan simtom menjadi lebih jelas dan lebih menyekat. Ini termasuk:



Menjadi pelupa tentang peristiwa yang baru dan nama orang;



Mudah tersesat di tempat yang biasa;



Mengalami peningkatan kesukaran dalam komunikasi;



Memerlukan pertolongan dalam penjagaan diri;



Mengalami perubahan tingkah laku yang mungkin meningkat dan merangkumi tingkah laku agresif, suka merayau-rayau dan menanyakan soalan yang berulang.



Tahap teruk



Tahap ini melibatkan kebergantungan dan ketidakaktifan total. Gangguan ingatan adalah serius, dan tanda dan simtom fizikal menjadi lebih jelas, seperti:



Tidak menyedari masa dan tempat;



Mengalami kesukaran untuk mengenali saudara dan rakan;



Memiliki keperluan untuk rawatan diri yang semakin meningkat;



Mengalami kesukaran berjalan;



Sifat pelupa yang meningkat dengan peredaran masa, atau yang mula memberi kesan negatif terhadap fungsi seseorang;



Kemerosotan fizikal - ketidakupayaan mengawal pundi kencing dan usus, mengalami kesukaran untuk berjalan



Berkurangnya kemampuan untuk bercakap.



Sumber: Lelaman Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA) di www.alz.org.sg




ADA SOALAN TENTANG DEMENSIA?



ANDA mempunyai soalan tentang demensia atau isu berkaitan penuaan? Atau anda sekadar ingin berkongsi kisah atau pengalaman mengenai isu ini? Sila hantar soalan dan maklumat kepada Natasha Mustafa di emel nmustafa@sph.com.sg. Soalan akan dirujuk kepada pakar bagi jawapannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >