Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:10
Asar
4:26
Maghrib
7:13
Isyak
8:24

Usaha bentuk pelajar Singapura jadi individu lebih dinamik

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Usaha bentuk pelajar Singapura jadi individu lebih dinamik

Aug 31, 2021 | 05:30 AM

SEDANG Singapura meniti kemajuan, aspirasi setiap generasi akan berubah dan berkembang, dengan komitmen peribadi serta tuntutan pembelajaran yang berbeza dan keinginan untuk maju bukan sahaja dalam kerjaya tetapi juga dalam kehidupan.

Bagaimanakah masyarakat dan institusi pendidikan dapat menyokong perubahan dan perkembangan ini?

Inilah harapan seramai 1,200 warga Singapura yang kami temui awal tahun ini untuk membincangkan bagaimana pendidikan di politeknik-politeknik di Singapura dan Institusi Pendidikan Teknikal (ITE) dapat dipertingkatkan.

Lebih daripada 40 sesi perbincangan telah diadakan sebagai sebahagian daripada Semakan Peluang dan Laluan dalam Pendidikan Gunaan yang saya pengerusikan.

Saya sangat teruja dengan perkongsian mereka yang begitu terbuka dan terus terang. Para peserta ini merangkumi pelbagai pihak termasuk pelajar, alumni, pendidik, ibu bapa dan para majikan.

Secara umum, mereka berpendapat bahawa laluan pendidikan gunaan telah melengkapkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran industri yang relevan untuk memenuhi tuntutan kerjaya.

Namun begitu, dengan semakin kematangannya masyarakat ekonomi dunia juga kini semakin kompleks, lantas mewujudkan peluang-peluang baru, serta matlamat kehidupan dan pelbagai keperluan yang baru. Lantas, kita perlu bersedia membuat penyesuaian yang patut.

Izinkan saya merumuskan saranan-saranan mereka dalam empat pernyataan:

1) Aspirasi

Membina laluan pendidikan yang lebih fleksibel untuk memberi sokongan kepada profil penuntut dan aspirasi berbeza-beza.

2) Versatil

Membina kurikulum yang lebih versatil agar penuntut dapat membuat penyesuaian mengikut tuntutan kerjaya dalam jangka masa yang panjang.

3) Kemahiran Hidup

Memberikan penekanan untuk membina kemahiran hidup seperti keupayaan bekerjasama dan ketahanan mental.

4) Sokongan Bersepadu dan Kerjasama Masyarakat

Menawarkan lebih banyak sokongan bersepadu kepada penuntut yang memerlukan melalui rangkaian kerjasama dengan masyarakat

Farhan Firdaus ialah seorang karyawan inovasi dan pelabur Gen Y dan pemilik firma Meet Ventures yang telah membantu syarikat-syarikat multinasional (MNC) dan pemerintah di Asia untuk berinovasi dan melabur dalam syarikat-syarikat permulaan teknologi atau tech start-ups.

Beliau merupakan salah seorang wakil industri yang kami undang untuk menyertai jawatankuasa semakan dalam penelitian strategi-strategi untuk meningkatkan lanskap pendidikan gunaan di Singapura. Saya telah mengundang Farhan untuk menyertai jawatankuasa ini kerana perjalanan pendidikannya yang unik - bermula dari ITE, ke politeknik dan kemudian ke universiti.

Adakah jangkaan-jangkaan yang diberikan realistik? Apakah yang boleh dilakukan lagi untuk memberikan sokongan kepada pelajar dalam hal ini? Mari ikuti sesi sembang saya bersama Farhan mengenai perubahan di politeknik-politeknik yang dapat kita jangkakan selepas beberapa sesi semakan tersebut.

Dr Maliki: Apa khabar Farhan? Terima kasih kerana telah bersama-sama kami dalam beberapa sesi perbincangan yang merupakan sebahagian daripada Semakan Peluang dan Laluan dalam Pendidikan Gunaan. Dapatan-dapatan tersebut pasti akan membentuk dan memandu dasar-dasar pendidikan di politeknik dan ITE pada masa hadapan. Malangnya, kita terlalu sibuk berbincang bersama para peserta sehingga kita berdua tidak dapat berbual mesra.

Farhan: Terima kasih, Dr Maliki. Saya amat berbesar hati diundang ke sini. Dengan latar belakang dan pengalaman peribadi, saya percaya bahawa belia kita mempunyai potensi untuk berjaya. Namun, mereka memerlukan dorongan, pembimbing atau mentor dan orang dewasa sebagai peran contoh yang dapat menunjukkan pelbagai kumungkinan masa depan mereka yang luas sekiranya mereka melalui pendidikan di peringkat yang lebih tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.

Saya pernah diberikan peluang menjadi mentor kepada beberapa orang penuntut. Pengalaman tersebut membuat saya rasa rendah diri kerana penuntut-penuntut ini tidak akan teragak-agak untuk berhenti sekolah disebabkan oleh desakan kehidupan. Saya simpati dan dapat memahami situasi mereka dan cuba memberikan contoh-contoh kehidupan orang lain yang telah melakukannya dengan cara yang berbeza, cara mereka menempuh liku-liku kehidupan yang sukar dan akhirnya berjaya.

Dr Maliki: Saya percaya, pandangan ini terbentuk setelah Farhan melalui pengalaman membesar dalam sistem pendidikan di sini.

Farhan: Ya, benar. Saya tidak mempunyai seorang mentor atau role model pada masa lalu tetapi saya mempunyai impian untuk memperbaik kehidupan saya.

Ketika saya remaja, ayah saya seorang pekerja pejabat dan telah diberhentikan kerja pada usia 40 tahun. Beliau mengalami angin ahmar selepas itu. Keluarga saya, seramai lima orang, terpaksa bergantung nasib pada pendapatan ibu yang bertugas sebagai seorang jururawat. Saya bertekad untuk tidak menghampakan pengorbanan ibu. Oleh yang demikian, saya bekerja keras semasa di sekolah, menjadi pelajar contoh dan diberikan peluang menjadi pemimpin pelajar dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru-guru saya dapat melihat keupayaan saya sebagai pelajar yang serba boleh dan mereka telah menggalakkan saya agar memohon beberapa biasiswa.

Begitulah caranya saya dapat melanjutkan pelajaran dari ITE ke politeknik, kemudian ke universiti dan seterusnya mendapatkan ijazah sarjana saya.

Dr Maliki: Sekarang saya faham sebab-sebabnya Farhan sesuai menjadi seorang mentor kepada remaja-remaja Melayu/Islam di ITE dan politeknik.

Farhan: Saya menjadi mentor sejak 2010 dan saya faham akan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh menti-menti (anak didik) saya. Saya bersyukur sekaligus teruja kerana kita sedang membuat semakan ke atas pelbagai aspek pendidikan ITE dan politeknik dan saya yakin bahawa para penuntut akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan yang sedang dirancangkan melalui kerja-kerja yang dilakukan oleh jawatankuasa kami.

Dr Maliki: Bolehkah Farhan kongsi penambahbaikan yang anda rasa akan membantu penuntut-penuntut kita?

Farhan: Saya mempunyai seorang menti yang mengambil kursus diploma yang sebelum itu sudah mempunyai pengalaman praktikal dan sedang menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam pengajiannya.

Namun, ibu bapanya meminta dia berhenti pengajiannya untuk membantu mereka di warung makan milik mereka. Dia membuat keputusan berhenti pengajiannya itu kerana ibu bapanya memerlukan bantuannya melakukan kerja-kerja yang bertambah. Sekiranya dia diberikan peluang untuk menangguh pengajiannya untuk satu atau dua semester, saya pasti dia akan kembali menyelesaikan pengajian politekniknya.

Dr Maliki: Kami sememangnya sedang meneroka cara-cara agar kami boleh lebih fleksibel dalam laluan politeknik kita untuk menyokong penuntut-penuntut yang memerlukan masa yang lebih lama untuk menyelesaikan pengajian mereka kerana sebab-sebab tertentu. Ini akan membantu penuntut seperti menti anda untuk mencapai potensi mereka dan dalam jangka panjang, meningkatkan mobiliti sosial mereka

Farhan: Satu lagi isu yang menjadi keprihatinan saya ialah cara para penuntut membuat keputusan.

Apabila saya menghubungkan menti saya dengan pelbagai syarikat, walaupun beliau sudah menerima tawaran daripada sebuah syarikat yang terkenal, beliau membuat keputusan untuk tidak menerimanya kerana mahu menunggu tawaran lain yang lebih baik, katanya.

Saya sedih kerana beliau tidak dapat melihat bahawa tawaran pertama tadi mungkin akan memberikan peluang yang lebih baik meskipun terdapat syarikat-syarikat yang lebih baik dari syarikat itu.

Dalam hal ini, kita boleh memberikan bantuan kepada penuntut seperti ini dengan memberikan perspektif yang berbeza dan cara-cara merancang kerjaya yang lebih berdaya tahan dan jangan mudah melepaskan peluang yang tersedia.

Dr Maliki: Saya setuju. Kami merancang untuk meningkatkan lagi usaha-usaha pendidikan dan bimbingan kerjaya yang dapat mengukuhkan lagi pemahaman penuntut tentang lanskap industri dan pekerjaan. Dengan cara ini, para penuntut dan graduan akan lebih faham tentang pilihan akademik dan kerjaya yang sesuai untuk mereka. Pada masa yang sama, mereka akan didedahkan kepada peluang yang banyak terbuka untuk mereka belajar sepanjang hayat.

Farhan: Kerja-kerja jawatankuasa kami sememangnya menyemarakkan inspirasi. Adakah terdapat rancangan-rancangan untuk memberikan sokongan tambahan kepada para penuntut kita untuk mencapai aspirasi mereka?

Dr Maliki: Ya, bahkan kita sedang menyemak kurikulum politeknik kita agar laluan ke politeknik tidak begitu lurus dan kaku atau linear seperti yang ada sekarang. Keperluan ekonomi masa depan memerlukan kita lebih versatil dan lincah. Penuntut kita mungkin memerlukan kemahiran-kemahiran dasar yang lebih luas agar berupaya membuat penyesuaian secepat mungkin mengikut perkembangan masa itu. Katalah sekiranya mereka diberikan peranan atau masuk ke sektor baru.

Institusi-institusi pengajian tinggi kita juga mahu meningkatkan fleksibiliti agar kita dapat memenuhi keperluan pelajar dan pembelajaran yang lebih luas. Apabila sistem kita lebih dinamik, kita juga akan dapat membentuk para penuntut kita menjadi individu yang dinamik.

Saya percaya bahawa pengubahsuaian ini akan membolehkan mereka merebut peluang dalam sektor-sektor dan bahagian-bahagian yang sedang berkembang dengan lebih baik lagi dan kekal relevan sepanjang kerjaya mereka.

Farhan: Arah yang sedang dituju amat menggalakkan; membantu Singapura kekal menjadi sebuah negara yang menyediakan peluang kepada semua rakyatnya.

Dr Maliki: Saya gembira awak berpendapat seperti itu, Farhan. Oh ya, saya ingin tahu juga… adakah menti anda menerima pekerjaan tersebut akhirnya?

Farhan: Ya. Dia akan memulakannya tidak lama lagi dan saya gembira kerana dia sedang menimbangkan untuk mengambil kursus diploma lagi - benar-benar menjiwai semangat pembelajaran sepanjang hayat!

Dr Maliki: Saya gembira mendengarnya dan terima kasih kerana menggalakkannya untuk merebut peluang yang ada.

Harap anda dapat berkongsi dengan saya perkembangannya apabila kita bertemu dalam mesyuarat semakan akan datang.

Dalam kita meneroka idea-idea ini, kita akur bahawa usahasama seluruh masyarakat diperlukan untuk membesarkan seorang anak.

Setiap pihak yang berkepentingan, industri, ibu bapa, institusi-institusi dan penuntut sendiri, mesti beranggapan proses ini milik mereka. Yang lebih penting lagi, sistem kita mengiktiraf kekuatan setiap penuntut dan akan mengoptimakannya ke tahap tertinggi.

  • Penulis Menteri di Pejabat Perdana Mnteri serta Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3