VOKALIS kumpulan Slam, Zamani Ibrahim telah ditahan dikediamannya di Keramat, Kuala Lumpur dipercayai positif dadah jenis morphine.
Zamani, 43, telah ditahan bersama seorang wanita berusia 33 tahun yang turut positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira pukul 12.30 pagi semalam.
Penyanyi popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu ditahan dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 & Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 Malaysia.
Menurut laporan Astro Gempak, kediaman penyanyi tersebut telah diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya sebelum ditahan.
Hasil pemeriksaan, satu paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram telah ditemui di dalam salah sebuah bilik dikediaman penyanyi itu.
Soal siasat awal mendapati suspek (Zamani) mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah jenis syabu dan heroin selama 10 tahun.
Siasatan masih dijalankan.
Zamani mula mencipta nama menerusi kumpulan pop terkenal 1990an, Slam yang dianggotainya sejak 1994.
Beliau yang kemudiannya melancarkan karier muzik secara solo pada tahun 2002 dan berjaya menjadi antara penyanyi pop lelaki yang malar segar yang cukup popular kerana kemampuannya membawa lagu-lagu bernada tinggi. Antara lagu popularnya termasuklah Syair Pari Pari, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Maria Mariana.
Kali terakhir beliau mengadakan konsert di Singapura ialah pada 2012 di Dewan Konvensyen Suntec City.