‘Kad markah’ bantu famili berdikari

KELUARGA Islam di Singapura kini boleh memanfaatkan satu sistem 'kad markah' baru yang mampu mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam rumah tangga.

Seterusnya, sistem rekaan Safinah Holdings itu akan memperkenalkan modul-modul pembelajaran dan rancangan tindakan khusus buat keluarga itu.

Dinamakan I-Usrah, pakej tersebut bertujuan membantu keluarga Islam menjadi lebih berdikari dalam perihal kewangan, kekeluargaan dan kerohanian.

Safinah akan memaju serta menyesuaikan pakej I-Usrah terhadap keperluan unik setiap badan kebajikan sukarela (VWO) yang menggunakannya.

Pengasas dan pengarah Safinah Holdings, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, 30 tahun, memberitahu akhbar ini tentang perincian I-Usrah menerusi emel baru-baru ini.

"Sistem ini meningkatkan daya penghasilan VWO serta unit sosial dan pembangunan.

"Selain itu, I-Usrah pun bantu mengukur kemajuan keluarga dari peringkat pemulihan, kestabilan ke peringkat berdikari," ujar Ustaz Tarmizi, yang juga lulusan bidang syariah Universiti Al-Azhar.

Menurut Ustaz Tarmizi, I-Usrah telah dikenalkan April tahun lalu oleh Mufti Singapura, Dr Fatris Bakaram.

Namun, pelancaran penuh dijadual berlangsung Ramadan ini (sekitar pertengahan tahun) dengan kerjasama beberapa VWO dan dijangka memberi manfaat kepada 50 keluarga dalam fasa pertamanya.

Dalam tempoh 12 bulan mendatang ini, sehingga 300 keluarga dijangka memanfaatkan sistem baru itu.

Khalayak sasaran mereka ialah keluarga memerlukan, seperti keluarga dengan masalah kewangan, ibu tunggal dan belia bermasalah.

Enam modul di bawah I-Usrah ialah Keeratan dan Dinamik Keluarga); Pengurusan dan Simpanan Wang; Peluang pekerjaan; Kemajuan Kemahiran; Perancangan Pendidikan Anak-Anak; dan Kerohanian, Kelakuan, Sikap dan Cara Pemikiran.

Menurut Ustaz Tarmizi, setiap pekerja sosial atau kaunselor akan mengisi borang sewaktu sesi kaunseling.

Kemudian, satu laporan terperinci akan dihasilkan menggunakan enjin sistem bijak dalam tempoh 24 jam.

Setiap keluarga akan diberi pelan tindakan khusus menampilkan isu-isu yang harus ditangani secepatnya.

Semua tindakan keluarga akan dipantau kaunselor sekurang-kurangnya selama enam hingga 12 bulan.

Mengulas, Ketua Pendidikan dan Pembangunan Safinah, Ustaz Fizar Zainal, berkata pendidikan agama dewasa ini penting kerana ia membentuk nilai yang diperlukan untuk menghadapi cabaran kehidupan masa kini.

"Pendidikan Islam tidak seharusnya diketepikan atas sebab komitmen lain. Namun, sesebuah keluarga itu boleh mempamerkan kehidupan yang lebih bertamadun, berakhlak dan harmoni jika berpegang teguh pada ajaran dan prinsip agama.

"Pendidikan Islam pun memperluas potensi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan Islam," ujar Ustaz Fizar.

Satu bengkel buat wanita-wanita hamil bertajuk "Apa yang harus ibu-ibu hamil ketahui" akan diadakan 22 Mac ini di Singapore Polytechnic Graduates Guild, Dover Road.

September ini pula, Seminar Keibubapaan dalam Islam akan diadakan, dengan kerjasama Lembaga Pentadbir Masjid Al-Islah (Punggol).

Safinah turut memulakan satu kelas tafsir di Masjid An-Nahdhah setiap Ahad. Pendaftaran boleh dilakukan menerusi www.safinah.sg/registration.

Syarikat induk Safinah Holdings merangkumi Institut Safinah, Safinah E-Learning (pembelajaran elektronik), Safinah Technologies dan Safinah Development Centre.

Sejauh ini, seramai 12,000 peserta telah menghadiri program-program kendalian Safinah sejak ia ditubuhkan pada 2009.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.