Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Al-Qaeda ambil kesempatan perang Gaza api-apikan sentimen

Cuba cetus kebencian, keganasan terhadap sasaran Yahudi, Israel dan Barat
Feb 28, 2024 | 08:57 AM



PROFESOR ROHAN GUNARATNA

Selepas kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, pada 2 Mei 2011 dan Aymen al Zawahiri pada 31 Julai 2022, Saif al Adl telah muncul sebagai ‘amir’ ketiga atau ketua kumpulan tersebut.

Saif adalah warga Mesir dan kini menetap di Iran di mana beliau mendorong umat Islam untuk menyokong Hamas.

Melalui sayap medianya, Yayasan Media as-Sahab, Saif merujuk kepada serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 sebagai “lukisan politik dan ketenteraan yang indah oleh Mujahidin”.

Diterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris oleh Kumpulan Perisikan SITE, Saif berkata “kejayaan dianugerahkan Allah menerusi niat kita murni”, sambil menambah bahawa tindakan kumpulan militan Palestin “adalah di bawah bimbingan Allah” dan mereka menjadi “gergasi peperangan”.

Saif menambah, jiwa kanak-kanak Gaza akan disemai dengan rasa dendam atas apa yang telah berlaku kepada mereka, keluarga mereka, dan rakyat mereka.

Seorang pemikir strategik, Saif menyertai Al-Qaeda pada 1988, sewaktu ia ditubuhkan di Peshawar, Pakistan.

Beliau menyertai peperangan di Afghanistan melawan Soviet Union dan kemudian menentang Amerika Syarikat sebelum ‘dinaikkan’ pangkat untuk mengetuai jawatankuasa keselamatan dan perisikan Al-Qaeda.

Beliau berkhidmat secara ringkas di Somalia untuk menubuhkan pangkalan di Afrika Timur, menyokong Abu Musab al Zarqawi dalam melahirkan Negara Islam, dan memperkukuh hubungan antara Al-Qaeda dengan Ansarullah, sebuah entiti Syiah di Yaman.

Sejak 7 Oktober 2023, Saif telah secara aktif membimbing Al-Qaeda, sekutunya, dan entiti jihad lain untuk menyerang sasaran Yahudi, Israel dan negara-negara Barat.

Dilindungi oleh Taleban, parti pemerintah Afghanistan dan dieksploitasi oleh Al Quds Iran, adakah Al Qaeda muncul semula sebagai kuasa sejagat?

Pandangan Al-Qaeda tentang Perang Israel-Hamas

Lebih daripada pemimpin Al-Qaeda atau Negara Islam yang lain, Saif memahami Gaza adalah medan perang terkini yang membentuk landskap geopolitik, operasi dan digital dunia.

Saif menyifatkan Gaza sebagai “tiada wilayah geografi” dan tidak “berpeluang menentang tentera yang disokong oleh semua kuasa penjajah dan bersenjatakan semua jenis senjata dan jet pejuang”.

Saif memuji militan Palestin kerana “kepintaran” mereka dalam menggali terowong untuk membina “wilayah geografi”, dan “memikat musuh sebelum keluar dari bumi untuk menyerang”.

Saif mengkritik negara-negara Islam kerana tidak menyerang Israel, menyifatkan mereka sebagai “bersikap bermuka-muka, dan tergolong dalam kumpulan orang-orang yang malas yang tidak melakukan jihad, selain memalukan kerajaan Islam dan Arab”.

Beliau mengutuk pemimpin Arab kerana membenarkan negara mereka menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera Amerika dan tidak membantu Gaza, sebaliknya hanya mengeluarkan kata-kata yang tidak disertai dengan tindakan.

Memandangkan Saif sendiri tidak mempunyai pentauliahan agama, beliau mengetengahkan fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa, yang kini menjadi ibu pejabat Ikhwanul Muslimin di Qatar.

Sehubungan dengan itu, beliau menjadikannya “satu kewajipan bagi rakyat Palestin dan negara jiran untuk memberikan sokongan ketenteraan kepada Gaza”.

Al-Qaeda Melangkah Ke Hadapan

Sebagai pemimpin Al-Qaeda, Saif memberi amaran kepada pengikutnya bahawa negara-negara Barat adalah “pemusnah demokrasi”, yang tidak akan menyokong keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai (orang Palestin) melainkan perkara tersebut dilakukan ke atas diri mereka” .

Beliau menambah, gerakan Zionis antarabangsa “bersatu untuk menyasari Gaza ketika pemerintah (Arab) mengecewakan penduduk Gaza, dan esok, gilirannya adalah kepada orang lain”.

Melihat ke masa depan, Saif berkata, “Kita perlu membuka satu siri serangan ke atas mereka untuk memecahbelahkan mereka, melemahkan mereka, dan mengalahkan mereka”.

Walaupun negara-negara Islam dan Al-Qaeda adalah dua pihak yang tidak menyokong satu sama lain, di samping wujud ketegangan antara kumpulan Sunni dengan Syiah, di bawah kepimpinan Iran, mereka akan bersatu memerangi sekutu Yahudi.

Artikel Saif, This is Gaza: The Days of the Armistice and Palestine, 75 Years Ago through Today, menunjukkan iltizam Al-Qaeda untuk memerangi Israel, serta sekutu dan rakan-rakannya.


Setelah mengecam Amerika Syarikat, Britain dan Perancis kerana menyokong Israel di PBB, Saif menambah walaupun Britain dan Perancis menarik balik sokongan mereka, Amerika tetap meneruskan pendiriannya itu.

Beliau menyifatkan Amerika sebagai bumi “orang-orang ganas, koboi, dan dinasti penjenayah serta pedagang darah yang mensabotaj dunia dengan bom nuklear dan senjata biologi”.

Inilah sebabnya “kami terus memerangi mereka dan cara hidup mereka”.

Kepimpinan Al Qaeda akan terus menanggapi negara-negara Barat, terutama Amerika dan Eropah, sebagai musuh mereka.

Sejak Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengawal dan menguasai Gaza, mereka dipercayai telah membunuh kira-kira 100,000 rakyat Palestin.

Selagi Hamas tidak membebaskan tebusan dan menyerah diri, IDF akan meneruskan operasinya.

Walaupun Hamas telah menerima tamparan hebat, Saif berkata kumpulan militan Gaza itu telah “memenangi perang moral”, kerana kaum Yahudi telah mengubah fikiran berkenaan dasar tiada rundingan yang menjadi pegangan mereka pada tempoh awal peperangan.

Saif menambah, pertempuran kini telah mengesahkan kebenaran, iaitu tawanan Israel tidak akan dibebaskan melainkan perang dihentikan, tawanan Palestin dibebaskan, dan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa (masjid ketiga paling suci dalam Islam) dihentikan”.

Selepas 7 Oktober 2023, Hamas menjadi ancaman bagi kewujudan Israel.

Sama seperti Arab Spring yang menjejaskan kestabilan negara-negara Arab, tindak balas Israel menghakis kemantapan kerajaan negara-negara di Timur Tengah.


Dengan usaha mempolitikkan keadaan dan ancaman radikalisasi umat Islam di seluruh dunia, negara-negara Barat yang menjadi tuan rumah kepada masyarakat pendatang dari diaspora Islam berkemungkinan bukan sahaja mengalami tunjuk perasaan dan bantahan tetapi juga keganasan dan serangan pengganas di tanah mereka.

Kesimpulan

Selepas serangan Hamas pada 7 Oktober, Al-Qaeda menunjukkan ketangkasannya dengan cepat memanfaatkan serangan Hamas, dan tindak balas keterlaluan Israel.

Al-Qaeda memulakan kempen untuk mempengaruhi dan membentuk sentimen umat Islam, menyasarkan Israel, sekutu dan rakannya.

Tidak seperti sebelum ini, tingkah laku pemimpin dan anggota Al-Qaeda hari ini dikekang oleh ‘tuan rumah’ utamanya, Iran dan juga Afghanistan, yang kini ditadbir oleh Taleban.

Hari ini, Al-Qaeda dan sekutunya terus memainkan peranan utama dalam menyebarkan propaganda, merekrut dan menyediakan latihan.

Di bawah Perjanjian Doha, Taleban berjanji untuk tidak membenarkan Al-Qaeda daripada beroperasi di kawasan di bawah kawalan Taleban.

Berdasarkan penemuan Pasukan Pemantauan Sokongan Analitikal dan Sekatan Al-Qaeda, Al-Qaeda telah menubuhkan beberapa pangkalannya, termasuk kem latihan di Afghanistan untuk tujuan merekrut anggota setempat dan asing.

Di sebalik keterbatasan yang dihadapi dan peluang yang tersedia untuk Al-Qaeda, tumpuan kepimpinannya telah beralih kepada perang Israel ke atas Gaza.

Seperti Hizbullah Lubnan, Ansarullah Yaman, Hamas, Jihad Islam Palestin, dan proksi Syiah dan Sunni Iran yang lain, kepimpinan Al-Qaeda yang berpangkalan di Iran juga akan memajukan kepentingan Iran.

Dalam beberapa bulan dan tahun akan datang, Al-Qaeda dan sekutu serta pengikutnya akan mengapi-apikan sentimen Muslim untuk mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap sasaran Yahudi, Israel dan Barat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >