Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Destinasi ‘healing’ di Marina South dijangka merancak ekonomi

Nov 9, 2025 | 5:30 AM
Marina, healing, destinasi
Lakaran artis tentang tarikan kesejahteraan bernilai $1 bilion yang bakal dibuka menjelang 2030. Dengan keluasan empat hektar, ia terletak bersebelahan Bendungan Marina dan Gardens by the Bay, yang menampilkan kolam air panas, landskap botani, seni pemasangan dan teknologi kesihatan, kata pemaju Therme Group. - Foto THERME SINGAPORE AND DP ARCHITECTS

Dalam masa lima tahun, kawasan Marina South dijangka berubah wajah.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) telah menganugerahkan tender kepada syarikat, Therme Group Singapore Pte Ltd, untuk membangun dan mengendalikan tarikan kesejahteraan di tapak Marina South Coastal.

Bukan sahaja disifatkan sebagai satu lagi permata di kawasan tersebut, ia juga merupakan daya tarikan kesejahteraan pertama di Singapura.

Dengan keluasan empat hektar, kawasan di sepanjang persisiran Marina South – bersaiz enam padang bola sepak – syarikat Therme Group Singapore, dijangka berupaya menarik sekurang-kurangnya dua juta pengunjung setahun apabila ia mula beroperasi sepenuhnya.

Hampir separuh daripada jumlah itu dijangka pengunjung luar negara.

Projek itu juga sejajar dengan visi Pelancongan 2040 STB untuk membangunkan Singapura sebagai destinasi menarik, dengan aspek kesejahteraan dikenal pasti sebagai peluang pertumbuhan utama.

Dalam tuntutan tugas yang bergerak pantas, ramai yang mencari saluran untuk beristirahat dalam suasana santai demi menyalurkan semula tenaga yang hilang.

Maka itu, usaha memulakan projek yang memberi tumpuan pada kesejahteraan amat dialu-alukan.

Jika buat masa ini ramai ke kawasan itu untuk meluangkan masa berkelah bersama keluarga di Bendungan Marina, atau mungkin berkunjung ke Gardens by the Bay, projek kesejahteraan atau ‘healing’ ini meningkatkan kepelbagaian pengalaman buat pengunjung dari dalam dan luar negara.

Di samping itu, ia juga dijangka menyerikan lagi kawasan tersebut selain bakal membuka peluang pekerjaan kepada warga.

Singapura mungkin tidak memiliki sebarang sumber alam semula jadi, namun modal insannya wajar mendapat perhatian.

Dijadual dibuka menjelang 2030, tarikan kesejahteraan itu terletak berdekatan destinasi pelancongan lain seperti Pusat Kapal Peranginan Marina Bay Singapura yang dipertingkat serta Taman Tugu Pengasas yang juga sedang diusahakan.

Ia akan mengetengahkan kolam air panas, sauna, mandi wap dan gelongsor air, direka khusus buat seisi keluarga yang mempunyai anak-anak dan warga emas.

Reka bentuk yang mengambil kira keperluan sebegitu akan menarik anggota keluarga pelbagai generasi sekali gus membantu mengeratkan tali kekeluargaan.

Persekitaran santai itu diharap dapat turut membantu meredakan minda bukan sahaja oleh pengunjung luar negara, malah bagi warga dan penduduk setempat juga.

Dengan penduduk Singapura yang kian menua, tempat untuk meredakan tekanan amat dialu-alukan.

Buat masa ini, ramai yang mungkin ke seberang untuk mencari kelegaan atau mahu dekat dengan unsur kehijauhan yang mendamaikan.

Syarikat tersebut juga akan menerapkan taman awam seluas hampir empat hektar, yang menghubungkan Bendungan Marina dengan tarikan kesejahteraan tersebut.

Pemilihan dibuat berdasarkan kekuatan dan konsep kesejahteraan dan bagaimana reka bentuknya dapat melengkapi tapak di tepian pantai.

Ia turut dijangka menangani aspek berbeza tentang kesejahteraan seperti melalui penglibatan aktif, pemulihan dan persekitaran yang santai.

Dijadual dibuka menjelang 2030, projek itu akan menandakan satu peristiwa penting sebagai daya tarikan kesihatan khusus pertama Singapura, meningkatkan mutu pengalaman pengunjung.

Ia sekali gus menyokong matlamat pelancongan Singapura untuk mencapai pendapatan pelancongan sebanyak $47 bilion hingga $50 bilion menjelang 2040.

Visi STB adalah untuk menjadikan Singapura sebagai syurga kesejahteraan bandar yang terkemuka melalui kemudahan bertaraf dunia yang menawarkan pengalaman kesejahteraan transformatif untuk pengunjung dan penduduk tempatan.

Semoga impian itu bakal menjadi nyata tidak hanya pada negara, malah buat warga dan penduduk Singapura khususnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg