Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Apa maksud 😭?

Jul 18, 2023 | 05:30 AM



Bayangkan anda memasuki gua kosong yang tembok batunya dipenuhi dengan simbol-simbol yang telah diukir – semuanya bertujuan menyampaikan maklumat dan cerita.

Sekarang bayangkan anda keluar dari gua itu sambil memandang tapak tangan yang padanya tertera skrin yang juga dipenuhi dengan simbol-simbol.

Bezanya, simbol tersebut tidak diukir tetapi ditaip.

Inilah realiti kehidupan manusia zaman sekarang dengan wujudnya emoji.

Manusia keluar dari zaman purba untuk kembali ke... zaman purba?

Mungkin tampaknya begitu, tetapi jika direnungkan, interaksi menggunakan gambar atau lukisan seakan-akan memang sudah menjadi lumrah manusia.

Daripada lukisan gua purba sehingga sistem kompleks hieroglif yang digunakan orang-orang Mesir dahulu, simbol dan lukisan telah menjadi bahagian penting dalam komunikasi.

LEBIH BAIK DARIPADA PERKATAAN?


Kajian telah dijalankan antaranya oleh pakar bahasa, untuk memahami dengan lebih lanjut kesan emoji terhadap perhubungan manusia.

Interaksi digital, khususnya interaksi berasaskan teks, terdiri daripada pertukaran lisan dengan sedikit atau tiada peluang untuk berkongsi isyarat bukan lisan.

Ini berlainan daripada interaksi bersemuka di mana pihak yang sedang berinteraksi dapat melihat isyarat bukan lisan seperti mimik muka dan gerak-geri teman perbualannya.

Isyarat ini memainkan fungsi perhubungan asas kerana ia menyediakan maklumat kontekstual yang memudahkan pemprosesan dan pemahaman mesej lisan serta maklumat sosial tentang keadaan emosi dan personaliti orang tersebut.

Emoji diperkenalkan untuk mengimbangi masalah ini dalam interaksi digital, kata pakar linguistik, Dr Lauren Gawne dan Cik Gretchen McCulloch dalam kajian mereka.

Bahkan, jika difikirkan, emoji dapat memperboleh interaksi antara dua orang yang tidak memahami bahasa yang sama kerana tidak seperti perkataan, emoji lebih bersifat sejagat – muka tersenyum menandakan kegembiraan di mana-mana pelosok dunia pun. 

Chope! Betul ke?


SAMA TAPI TAK SERUPA


Tidak semua emoji difahami dengan makna yang serupa. 

Malah, pemilihan emoji kita mungkin dapat mendedahkan lebih daripada emosi kita – ia boleh turut mendedahkan usia kita.

Ini kerana generasi yang berbeza menggunakan emoji berbeza untuk menyampaikan mesej yang sama, menurut pereka digital, Cik Katy Cairns.

Misalnya, golongan milenial menggunakan emoji wajah ketawa sehingga menangis (😂) sebagai respons kepada sesuatu yang dianggap lucu, namun golongan Gen Z menggunakan emoji tengkorak (💀) menunjukkan perkara itu “kelakar sampai nak mati”.

Kadangkala, emoji yang sama boleh mempunyai makna yang berbeza – tengok siapa penggunanya.

Emoji wajah melalak (😭) jika digunakan golongan Baby Boomer – iaitu mereka yang lahir di antara 1946 dengan 1964 – merupakan reaksi kepada sesuatu yang amat menyedihkan, tetapi jika digunakan golongan milenial, ia menunjukkan penggunanya amat terharu dan gembira; sementara golongan Gen Z pula menggunakannya untuk mengetawakan sesuatu yang tidak sepatutnya diketawakan, misalnya suatu kemalangan.


Seperti bahasa, emoji juga tidak terkecuali daripada perubahan.

Mungkin maksud satu-satu emoji itu boleh berubah mengikut penggunaan dan penerimaan masyarakat yang menggunakannya… ataupun tidak. 🤷




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >