Banjir kilat, cuaca terlalu panas... Kesan perubahan iklim sudah mula terasa, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana0

PANDANGAN

Banjir kilat, cuaca terlalu panas... Kesan perubahan iklim sudah mula terasa

Kita semua perlu main peranan memulihara alam sekitar dengan menjejak dan mengurangkan kadar pengeluaran karbon
Aug 29, 2021 | 05:30 AM

LEBIH 10,000 kilogram!

Itulah jumlah karbon dioksida yang dikeluarkan dalam setahun menerusi tabiat penggunaan saya.

Jejak karbon itu dikira dengan menggunakan kalkulator My Carbon Footprint oleh SP Group.

Angka tersebut agak mengejutkan saya kerana ia jauh lebih tinggi daripada angka purata bagi warga Singapura iaitu sekitar 8,280 kilogram karbon dioksida setahun, menurut aplikasi tersebut.

Saya turut kecewa apabila mengenangkan bahawa lebih 500 batang pokok diperlukan untuk menyerap gas yang dikeluarkan gara-gara penggunaan barangan dan perkhidmatan oleh saya dalam setahun.

Halal Home Based Business
Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Sebenarnya, seperti ramai warga lain, saya memang mengamalkan aktiviti mesra alam seperti mengitar barangan, mengurangkan penggunaan plastik dan menjimat tenaga.

Contohnya, alat hawa dingin di rumah jarang dihidupkan dan digunakan kebanyakannya apabila tetamu datang bertandang.

Walaupun amalan ini mampu mengurangkan jejak karbon saya, ia tidaklah meninggalkan kesan besar seperti yang diharapkan.

Ini kerana jumlah paling besar (lebih separuh) daripada angka tersebut disumbang oleh penggunaan kereta.

Walaupun saya jarang menggunakan kereta kerana mengikuti arahan bekerja dari rumah gara-gara Covid-19, amalan memandu sekitar purata sejam sehari itu tetap menyumbang sebahagian besar kepada jejak karbon saya.

Pastinya, saya kenalah tingkatkan usaha untuk mengurangkan jejak karbon dan sekali gus menyumbang kepada usaha memulihara alam sekitar.

Apa yang jelas, kesedaran tentang kesan perubahan iklim kian ketara dalam kalangan warga Singapura.

Pada 20 Ogos lalu, hujan lebat menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Singapura.

Dalam satu kejadian, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dikerahkan untuk memindahkan pemandu dan penumpang dari sekitar 13 kenderaan yang tersangkut dalam banjir kilat di simpang Tampines Avenue 10 dan Pasir Ris Drive 12.

Simpang itu tidak dikenali sebagai kawasan yang mudah dibanjiri sebelum ini.

Antara mereka yang terperangkap ialah sepasang suami isteri yang menyifatkan kejadian itu sebagai menggerunkan.

Mujurlah, mereka berjaya mengeluarkan diri daripada kereta yang tenggelam dalam air di paras pinggang itu.

Selasa lalu, hujan lebat turut menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di barat Singapura.

Jumlah air hujan yang turun dalam masa tiga jam itu mengatasi purata yang dicatatkan bagi seluruh bulan Ogos sebelum ini.

Apa yang jelas, kejadian-kejadian ini membayangkan bahawa perubahan iklim bukan lagi satu gejala yang bakal diharungi pada masa depan tetapi sudah mula memberi kesan ke atas kehidupan warga setempat.

Singapura sudah pun mengalami suhu cuaca dan paras air laut yang kian meningkat tetapi republik ini belum lagi menerima tamparan hebat daripada perubahan iklim yang melanda banyak kawasan di dunia.

Satu laporan setempat baru-baru ini menyatakan bahawa Singapura harus membuat persediaan bagi mengharungi keadaan lebih buruk pada masa depan, sedang tempat-tempat lain sudah mula mengalami kesan paling teruk perubahan iklim pada masa ini.

Laporan Panel Silang Pemerintah bagi Perubahan Iklim (IPCC) itu berkata, jika pengeluaran asap yang menyebabkan penghangatan bumi tidak dikurangkan kepada paras sifar - selepas mengambil kira faktor lain - menjelang 2050, lebih banyak kejadian gelombang haba atau heatwave, banjir di kawasan pantai dan hujan lebat boleh berlaku di sini.

Buat masa ini, Singapura telah pun mengalami cuaca lebih panas yang melebihi purata dunia kerana kesan haba di bandar - fenomena di mana bangunan di bandar menjerat haba pada siang hari dan melepaskannya pada waktu malam.

Suhu di sini adalah 1.8 darjah Celsius lebih tinggi berbanding pada 1948. Secara perbandingan, suhu sedunia telah bertambah sekitar 1.1 darjah Celsius dari era praperusahaan yang berakhir sekitar 1850.

Justeru, Singapura perlu lebih berwaspada kerana suhu lebih tinggi boleh dirasakan di sini dalam dekad akan datang.

Untuk menangani fenomena ini, pemerintah sudah pun melakar pelbagai langkah pencegahan dan pengawalan.

Antara lain satu Pelan Hijau 2030 telah dibentangkan Februari lalu untuk menjadikan Singapura lebih mesra alam menerusi pembangunan mampan, pengurangan pengeluaran karbon, serta pembangunan ekonomi hijau.

Di samping itu, menurut satu tinjauan baru-baru ini, warga Singapura mempunyai kesedaran tinggi tentang isu sekitaran dan membantu menyebarkannya dalam kalangan keluarga dan kawan-kawan.

Namun demikian, laporan indeks iklim oleh bank OCBC itu mendapati masih ada ruang bagi warga setempat untuk meningkatkan amalan mesra alam.

Para pengamat juga menarik perhatian bahawa purata kadar pengeluaran karbon dioksida warga setempat adalah lebih seganda purata di peringkat antarabangsa.

Pucuk pangkalnya, perubahan iklim adalah ancaman existential atau mengancam jiwa yang bakal menentukan kewujudan insan di muka bumi.

Justeru, kita tidak mampu memeluk tubuh kerana usaha menangani perubahan iklim memerlukan pengorbanan besar dari segi perubahan gaya hidup.

Kunci utama ialah menghapuskan tanggapan bahawa sumbangan kerdil kita sebagai seorang insan tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan dengan sendirian.

Justeru, apa kata kalau kita mulakan langkah pertama dalam pemuliharaan alam sekitar dengan menjejak dan mengurangkan kadar pengeluaran karbon dioksida masing-masing?

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map