Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Singapura menyaksikan sesuatu yang seharusnya membimbangkan semua pihak yang menghargai fabrik masyarakat berbilang budaya negara ini.

Susulan banjir di Nepal pada 26 Ogos dan laporan mengenai pelaburan Singapore Airlines dalam Air India, komen berbaur perkauman dan xenofobia yang menyasarkan warga Singapura berketurunan India, serta masyarakat India secara lebih luas, tersebar dalam talian dengan menggunakan stereotaip kasar dan penghinaan yang merendahkan martabat manusia.

Ini bukan kejadian terpencil. Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mendokumentasikan 20 contoh.

Ia menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian sosial dalam masyarakat majmuk, serta betapa pentingnya usaha berterusan untuk memeliharanya.

Keputusan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, mengenal pasti dan mengecam secara terbuka komen berbaur perkauman seperti ungkapan “snakes”, “curry” dan “CECA faces” sebagai memalukan serta tidak boleh diterima, mencerminkan ketegasan kepimpinan yang amat diperlukan.

Namun, analisis beliau tentang implikasi dan penularan komen-komen ini wajar diberi perhatian yang lebih besar.

Beliau menegaskan bahawa walaupun unsur perkauman terpendam sentiasa wujud dalam mana-mana masyarakat, serangan terhadap masyarakat India dalam talian sejak kebelakangan ini telah memberanikan sesetengah pihak.

Beliau memberi amaran tentang satu bahaya khusus: “selepas suatu tempoh, jika orang ramai mula mengatakan perkara yang sama di khalayak umum, dan apabila ahli politik melihat keuntungan politik daripadanya, ia akan menjadi sebahagian daripada wacana politik, awam dan kemasyarakatan”.

Inilah proses normalisasi perkauman yang mula meretakkan keharmonian masyarakat majmuk

Perangkap Normalisasi

Singapura telah mencapai sesuatu yang masih sukar diwujudkan oleh banyak masyarakat lain: sebuah negara yang benar-benar majmuk, merangkumi pelbagai komuniti agama dan etnik hidup bersama berasaskan identiti kebangsaan yang dikongsi serta sikap saling menghormati.

Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

Ia terhasil daripada reka bentuk institusi yang disengajakan, kepimpinan politik dan masyarakat yang konsisten, serta kontrak sosial yang telah dihayati dan dipertahankan oleh generasi demi generasi rakyat Singapura.

Namun, pencapaian ini bukan sesuatu yang kekal dengan sendirinya. Ia memerlukan pemeliharaan yang aktif.

Apa yang menjadikan keadaan semasa begitu signifikan ialah keperluan untuk memahami bagaimana perkauman boleh meningkat dalam masyarakat era digital.

Penjelasan Encik Shanmugam mengenai perkara ini amat tepat: “Hari ini masyarakat India, esok mungkin masyarakat Melayu, pada hari yang lain mungkin masyarakat Cina.”

Ini bukan sekadar teori abstrak.Proses normalisasi berlaku secara bertahap.

Pertama, identiti yang disembunyikan dalam talian memberikan perlindungan kepada ungkapan yang tidak dapat diterima secara sosial di luar talian.

Kedua, jika dibiarkan tanpa dicabar, ujaran sedemikian mula berpindah ke ruang awam.

Ketiga, jika pelaku politik melihat keuntungan daripada memperbesarkannya, ia akan memasuki arus perdana.

Keempat, apa yang dahulunya dianggap melampaui batas akhirnya menjadi wacana yang dinormalisasikan.

Singapura belum lagi mencapai titik genting tersebut. Justeru, saat ini begitu penting.

MHA telah mendokumentasikan komen-komen berbaur perkauman tersebut dan mendedahkannya kepada umum.

Encik Shanmugam yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, telah berbicara secara langsung kepada media.

Pihak polis pula sedang menjalankan siasatan. Inilah usaha mempertahankan batas sosial secara aktif. Namun, tindakan-tindakan ini juga menunjukkan bahawa batas tersebut sedang berada di bawah tekanan.

Apa yang amat penting dalam renungan Encik Shanmugam ialah pengakuan beliau bahawa “pemimpin politik dan masyarakat turut memikul sebahagian tanggungjawab terhadap nada sesuatu wacana”, serta pemerhatian beliau bahawa “saya terpaksa bercakap mengenai perkara ini lebih kerap daripada yang saya inginkan, dan ini merupakan akibat daripada tingkah laku sedemikian yang semakin sering berlaku dalam talian.”

Ini menggambarkan satu beban kepimpinan dalam masyarakat majmuk yang sering dipandang ringan: sekadar mengelakkan kenyataan yang mengapi-apikan keadaan tidak mencukupi.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut menegaskan bahawa “para pemimpin mesti bersuara dengan tegas dan penuh keyakinan untuk menegur apa yang sedang berlaku dan mengecam manipulasi emosi (tahap) rendah manusia”.

Para pemimpin mesti secara aktif memperkukuh norma sosial yang menolak perkauman.

Sikap berdiam diri juga membawa makna, dan tanpa kecaman yang jelas, ia boleh ditafsirkan sebagai persetujuan secara diam.

Naluri terbaik Singapura

Namun, pada minggu yang sama ketika komen berbaur perkauman terhadap warga Singapura berketurunan India tersebar dalam talian, Palang Merah Singapura berjaya mengumpulkan lebih $3 juta bagi usaha bantuan susulan banjir Nepal pada 26 Ogos yang mengorbankan lebih 1,200 nyawa.

Sumbangan tersebut berlaku secara spontan, merentasi semua komuniti agama dan etnik, dan jumlahnya amat besar.

Inilah gambaran sebenar watak asas masyarakat Singapura.

Komen-komen berbaur perkauman itu merupakan penyimpangan daripada norma tersebut.

Majoriti rakyat Singapura kekal komited terhadap nilai-nilai kemajmukan yang menjadi asas pembentukan negara ini.

Persoalannya adalah sama ada kita akan membiarkan satu kelompok kecil yang lantang, yang diperkuat oleh platform digital dan anonimiti, mengubah norma sosial tersebut.

Pertahankan batas sosial kita

Encik Shanmugam menegaskan: “Adalah penting bagi Singapura tidak membenarkan segelintir pihak meracuni seluruh hubungan antara masyarakat.”

Ini bukan sekadar retorik. Ia merupakan suatu kenyataan mengenai bagaimana masyarakat majmuk dapat terus bertahan dan berkembang.

Memelihara batas-batas ini memerlukan usaha pada pelbagai peringkat.

Para pemimpin institusi mesti secara tekal menegaskan bahawa perkauman tidak boleh diterima; pemimpin masyarakat dan agama mempunyai tanggungjawab khusus untuk menolak stereotaip dan penghinaan yang menyasarkan komuniti lain; platform digital mesti menguatkuasakan piawaian komuniti mereka; dan masyarakat sivil mesti mencabar ujaran berbaur perkauman, bukannya membiarkannya menjadi kebiasaan.

Tiada satu pun tindakan ini boleh dianggap sebagai pilihan.

Apabila semuanya bergerak seiringan, ia memperkukuh norma sosial yang menjadikan perkauman sesuatu yang mempunyai kos sosial, bukannya perbuatan tanpa akibat.

Apabila batas mula terhakis

Penyelidikan mengenai bagaimana komuniti agama dan etnik yang pelbagai dapat hidup bersama dengan saling menghormati menunjukkan satu pola yang jelas: masyarakat majmuk tidak gagal semata-mata kerana adanya perkauman kerana unsur perkauman terpendam wujud di mana-mana.

Masyarakat sedemikian mula gagal apabila institusi dan komuniti berhenti mempertahankan secara aktif batas yang memisahkan wacana yang boleh diterima daripada yang tidak boleh diterima.

Apabila batas-batas tersebut mula terhakis, keretakan yang berlaku sukar dipulihkan.

Terdapat masyarakat yang telah hidup bersama secara aman selama berdekad-dekad tetapi akhirnya saling bermusuhan apabila mekanisme yang menegakkan norma sosial menjadi lemah.

Ini bukanlah takdir yang tidak dapat dielakkan, tetapi akibat daripada pilihan yang dibuat atau kegagalan untuk memilih mempertahankan kemajmukan secara aktif.

Sejak penubuhannya, Singapura secara sedar telah membuat pilihan yang berbeza. Pilihan itu telah terbukti menjadi salah satu kekuatan terbesar kita.

Namun, sesuatu pilihan perlu diperbaharui dan ditegaskan semula secara aktif oleh setiap generasi pemimpin dan rakyat.

Lindungi aset terbesar kita

Model keharmonian antara agama dan antara masyarakat di Singapura merupakan pencapaian yang dibina melalui usaha yang disengajakan iaitu hasil reka bentuk institusi yang teliti, kepimpinan yang konsisten, serta penyertaan bersungguh-sungguh rakyat Singapura yang memilih keterangkuman berbanding perpecahan, dan saling menghormati berbanding kecurigaan antara komuniti.

Kata-kata Encik Shanmugam merumuskan tanggungjawab ini dengan baik: “Tanggungjawab kita adalah mengakui bahawa (perkauman memang wujud) dan berusaha memastikan ia tidak muncul ke permukaan, bukannya melemparkan bom tangan yang menyebabkan perkauman itu meletus.”

Inilah tanggungjawab yang dipikul oleh kita semua, pemimpin agama, pemimpin politik, pemimpin masyarakat dan rakyat.

Usaha memelihara masyarakat majmuk bukanlah sesuatu yang dilakukan sekali-sekala tetapi suatu proses berterusan yang memerlukan kewaspadaan secara tekal.

Kekuatan Singapura sejak dahulu terletak pada komitmen bersama kita untuk melihat satu sama lain terlebih dahulu sebagai sesama rakyat Singapura.

Itulah aset kita dan melindunginya kekal menjadi tanggungjawab terbesar kita.

Penulis Pengerusi SimplyIslam Education Group. Pada waktu artikel ini ditulis, beliau juga Ketua Pengajian di Program Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).