Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Beri khidmat kepada masyarakat tanpa harapkan balasan

May 26, 2019 | 05:30 AM



Persatuan Muhammadiyah, pertubuhan kebajikan yang telah wujud sejak zaman sebelum merdeka, menjalani peralihan kepimpinan baru-baru ini dan kini dipimpin seorang presiden baru. Dalan bahagian kedua rencana khas dua bahagian ini, NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) bertemu dengan mantan presiden persatuan itu, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob, yang telah menerajui Muhammadiyah sejak awal tahun 1980-an.



APABILA beliau mula-mula bergiat dengan Persatuan Muhammadiyah pada tahun 1970-an, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob, dan anggota yang lain, ada kalanya terpaksa merahsiakan penglibatan mereka dengan pertubuhan dakwah itu.



Masyarakat Melayu/Islam di Singapura, pada ketika itu, kurang terbuka dan sukar menerima mereka. Malah, ada sesetengah pihak yang melontar batu dan kata-kata kesat ke arah anggota Muhammadiyah, cerita Ustaz Shaik Hussain.



"Dulu, anggota kami takut-takut nak mengaku dirinya sebagai anggota Muhammadiyah... kini tidak lagi," tambah Ustaz Shaik Hussain.



Secara peribadi, keadaan itu juga menjejasnya.



Menurut Ustaz Shaik Hussain, beliau putus tunang kerana keluarga tunangnya tidak dapat menerima seorang anggota Muhammadiyah sebagai keluarga.



Menceritakan lebih lanjut, Ustaz Shaik Hussain berkata sebahagian masyarakat Melayu/Islam pada ketika itu tidak menerima dakwah Muhammadiyah kerana fahaman berbeza tentang pengamalan agama.



Ada juga yang mengamalkan beberapa perkara yang kini dianggap bercanggah dengan Islam, seperti menggunakan tangkal, percaya pada keramat dan perbuatan lain yang 'mencampur aduk adat dan ibadah.



"Tapi kini keadaan dah banyak berubah… saya rasa jumlah orang yang berpegang kepada kepercayaan itu sudah kurang," kata Ustaz Shaik Hussain, kini berusia 75 tahun.



Sikap masyarakat Melayu/Islam di Singapura yang telah berubah dan kini menerima Muhammadiyah sebagai antara pertubuhan Melayu/Islam mapan merupakan sesuatu yang menyentuh perasaan Ustaz Shaik Hussain.



Beliau juga akur berasa senang melihat masyarakat lebih menghayati agama, mengamalkan ilmu dan bersikap murah hati, dalam wawancaranya dengan Berita Minggu (BM) baru-baru ini.



Bulan lalu, Ustaz Shaik Hussain, yang telah berkhidmat sebagai presiden Muhammadiyah sejak 38 tahun lalu, mengundur diri daripada jawatankuasa pusat persatuan itu, selepas anggotanya melantik kepimpinan baru bagi dua tahun akan datang.



Walau hanya dilantik rasmi sebagai presiden pada 1983, Ustaz Shaik Hussain telah berkhidmat sebagai pemangku presiden sekitar dua tahun sebelum itu, mengambil alih tugas presiden pada ketika itu, Allahyarham Ustaz Abdul Rahman Harun yang diserang angin ahmar.



Menurut Ustaz Shaik Hussain, beliau tidak berasa terlalu sedih meninggalkan jawatan itu, kerana "masih boleh datang ke bangunan untuk bertemu sahabat pada bila-bila masa".



Secara kebetulan, bangunan yang dimaksudkannya itu - struktur tiga tingkat berhampiran stesen MRT Kembangan - antara projek yang dimulakan Ustaz Shaik Hussain sejurus selepas beliau menjadi presiden.



Menelan belanja $1 juta, bangunan itu dibina dengan sokongan masyarakat yang menampung sebahagian kosnya, kata Ustaz Shaik Hussain, yang sepanjang wawancara menekankan peri penting sokongan masyarakat bagi menentukan Muhammadiyah terus dapat berkhidmat.



"Allahyarham Ustaz Abdul Rahmanmentor saya... dan menasihatkan saya supaya mendapatkan sokongan anggota dan masyarakat bagi setiap projek yang saya tampilkan. Kami juga berkhidmat tanpa mengharap sebarang balasan. Prinsip itu saya pegang sehingga hari ini," ujar Ustaz Shaik Hussain, yang mengimbangi tugas memandu teksi dengan khidmat sukarela sebagai presiden selama 17 tahun sehingga 1997 - apabila beliau menjadi kakitangan tetap persatuan itu.



Bersikap rendah hati, Ustaz Shaik Hussain enggan bercakap terlalu panjang tentang pencapaiannya di Muhammadiyah.



Namun selain menjadi antara pemimpin pertubuhan Melayu/Islam yang disegani di Singapura, Ustaz Shaik Hussain juga dianggap sebagai berperanan penting mendekatkan Muhammadiyah dengan masyarakat Melayu/Islam di sini dan memperluas operasi pertubuhan kebajikan itu.



Di bawah kepimpinannya, Muhammadiyah membangunkan program dan institusi pendidikan di pelbagai peringkat seperti Tadika Muhammadiyah, Kelas Asas Bimbingan Agama dan Kolej Islam Muhammadiyah. Pada 1991, Muhammadiyah juga mengambil alih pentadbiran Madrasah Al Arabiah Al Islamiah, yang mengalami masalah piawaian dan kewangan. Kini, madrasah itu antara tumpuan utama ibu bapa dan tahun depan, bakal berpindah ke bangunan baru lima tingkat di Toa Payoh.



Muhammadiyah juga mengendalikan dua pusat jagaan - Rumah Kebajikan Muhammadiyah; dan Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Hari Muhammadiyah.



Satu ukur tara perkembangan yang dialami Muhammadiyah sejak awal tahun 1980-an ialah perbelanjaan keseluruhannya. Menurut Ustaz Shaik Hussain, ia telah meningkat kepada sekitar $7 juta setahun sekarang, berbanding $20,000 setahun ketika beliau baru-baru menjadi presiden.



Akur, Presiden Muhammadiyah yang baru, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata pucuk kepemimpinan yang terdahulu, seperti Ustaz Shaik Hussain, telah banyak berjasa kepada persatuan itu dari segi ini.



"Mereka berwawasan, usaha mereka membuka peluang bagi kami memberi khidmat lebih luas kepada masyarakat," kata Ustaz Azri.



Dalam pada itu, Ustaz Shaik Hussain turut berkongsi tentang beberapa cabaran yang dihadapinya semasa memimpin Muhammadiyah selama 38 tahun. Menurut beliau, krisis kewangan yang mencapai kemuncaknya antara 2007 dengan 2008 juga menjejas Muhammadiyah, yang bergantung pada derma masyarakat untuk menjalankan operasi harian - sehingga 70 peratus perbelanjaannya ditampung menerusi derma masyarakat.



Malah, selama enam bulan pada 2006, ia tidak berupaya membayar penuh gaji bulanan kakitangannya. Namun, tiada seorang pun yang meninggalkan persatuan itu, kata Ustaz Shaik Hussain, dengan rasa tersentuh terpancar di wajahnya.



"Saat itu menunjukkan saya bahawa kakitangan kami istimewa, dan mereka benar-benar yakin dengan peranan Muhammadiyah dalam masyarakat," ujar beliau.



Satu titik hitam dalam sejarah Muhammadiyah di Singapura adalah kes ahli kumpulan pengganas Jemaah Islamiah yang ditangkap kerana merancang mahu menyerang beberapa tempat di Singapura pada 2002.



Beberapa anggota JI, termasuk Mas Selamat Kastari - yang melarikan diri dari tahanan selama setahun sebelum ditangkap semula - pernah menganggotai Muhammadiyah.



Walau Mas Selamat dan kuncu-kuncunya itu tidak lagi menganggotai Muhammadiyah semasa ditangkap, insiden itu secara tidak langsung menambah perhatian terhadap persatuan itu, termasuk daripada pihak berkuasa, kongsi Ustaz Shaik Hussain.



Namun, insiden itu mendorong persatuan itu mempergiat usaha mendekati anggotanya, antara lain supaya mereka memahami konteks kehidupan beragama di negara berbilang agama di Singapura, tambah beliau.



Beralih kepada hal peribadi, Ustaz Shaik Hussain, yang mempunyai sembilan anak, 19 cucu dan dua cicit, berkata beliau belum mempunyai sebarang rancangan konkrit selepas 'bersara'.



Beliau berminat memulakan perniagaan kecil, tetapi beliau dan isterinya juga sedang menimbangkan pilihan tinggal bersama seorang anak yang sedang menjalani pengajian di Indonesia.



Bagi Ustaz Shaik Hussain, satu perkara adalah pasti - beliau ingin terus menyumbang kepada masyarakat, selagi mampu.



"Saya telah banyak berkorban untuk berjasa kepada masyarakat hampir seluruh hidup saya… saya tidak akan berhenti begitu sahaja," ujarnya.




"Saya mengambil alih jawatan presiden daripada Allahyarham Ustaz Abdul Rahman Harun, yang diserang angin ahmar... beliau mentor saya... dan menasihatkan saya supaya mendapatkan sokongan anggota dan masyarakat bagi setiap projek yang saya tampilkan. Kami juga berkhidmat tanpa mengharap sebarang balasan. Prinsip itu saya pegang sehingga hari ini."
- Mantan Presiden Muhammadiyah, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob.




BIODATA



Shaik Hussain, 75 tahun, mula bergiat dengan Persatuan Muhammadiyah pada tahun 1970-an, apabila beliau berusia 20-an tahun.



Beliau dianggap sebagai antara pemimpin pertubuhan Melayu/Islam yang paling berpengalaman di Singapura.



Di bawah kepimpinannya, tumpuan Muhammadiyah yang sebelum itu adalah terhadap kegiatan dakwah semata-mata, kini diperluas untuk merangkumi pendidikan dan kebajikan.



Ia membangunkan Tadika Muhammadiyah, Kelas Asas Bimbingan Agama dan Kolej Islam Muhammadiyah. Pada 1991, Muhammadiyah juga mengambil alih pentadbiran Madrasah Al Arabiah Al Islamiah, yang mengalami masalah piawaian dan kewangan.



Muhammadiyah juga mengendalikan dua pusat jagaan - Rumah Kebajikan Muhammadiyah; dan Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >