Keberanian, ketabahan dan keterbukaan.
Itulah antara nilai individu yang akan ditampilkan dalam siri vodcast khas, NoTapis Personaliti.
Diterbitkan podcast Berita Harian, NoTapis, siri istimewa itu akan mengetengahkan tokoh Melayu tempatan yang telah meninggalkan kesan bukan saja bagi masyarakat Melayu bahkan Singapura secara keseluruhan.
Siri empat episod itu memberi tumpuan kepada individu daripada pelbagai industri.
Ini termasuk mereka daripada bidang seni, warisan, perniagaan serta kedermawanan.
Vodcast ini diterbitkan khas sempena SG60 bagi menyemarakkan lagi semangat warga Singapura dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.
Selain pengarah dan pelakon, Rafaat Hamzah, daripada dunia seni, tokoh dunia kewangan; Encik Bahren Shaari, turut menjadi salah seorang ikon Melayu dalam siri tersebut.
Dalam episod itu, Encik Bahren berkongsi tentang kehidupannya yang sederhana membesar di Kampung Tanjung Irau di Sembawang dan berbasikal sekitar empat kilometer ke sekolah setiap hari.
Selain itu, beliau turut berkongsi perjalanannya membangun kerjaya dalam dunia kewangan sehinggalah mengetuai salah sebuah institusi terkemuka negara, Bank of Singapore.
Beliau turut menyentuh cabaran yang dialami dalam dunia korporat serta keperluan untuk membuktikan keupayaan diri.
Seorang lagi tokoh Melayu yang ditampilkan dalam siri ini ialah mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
Dalam episod tersebut, beliau akan berkongsi perkembangan kehidupannya setelah bersara sebagai ketua negara.
Pada masa yang sama, beliau, yang kini Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), turut memberi pandangannya tentang hal-hal yang dekat di hati.
Ikuti vodcast NoTapis Personaliti dengan episod pertama yang menyingkap perjalanan Rafaat dari sekolah ke kaca televisyen.
Untuk mendengar podcast itu, layari laman web kami di www.beritaharian.sg/podcasts.
Anda juga boleh ke Spotify Berita Harian Singapura atau ke YouTube Berita Harian Singapura untuk mendengar dan menonton vodcast ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg