Di Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF), kami kerap bertemu anggota CPF yang berdepan dengan dilema. 

“Bagaimanakah saya dapat menyokong insan tersayang tanpa menjejas masa depan saya sendiri?”

Cabaran ini sering kali dihadapi oleh ‘Generasi Terapit’, juga dikenali sebagai Sandwich Generation.

Mereka ini perlu mengimbangi keperluan ibu bapa yang semakin lanjut usia, perbelanjaan anak-anak, perumahan, di samping perancangan persaraan peribadi.

Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, tanggungjawab sebegini dijangka terus meningkat.

Namun, keluarga sebenarnya tidak perlu mengurus keperluan ini secara bersendirian.

Satu kebimbangan lazim yang sering kami dengar ialah: “Sekiranya saya jatuh sakit secara tiba-tiba, bolehkah CPF membantu keluarga saya menampung kos perubatan?”

Rangka kerja pembiayaan penjagaan kesihatan di Singapura membantu rakyat menguruskan kos perubatan menerusi subsidi pemerintah, MediSave, dan MediShield Hayat.

MediSave menyokong perbelanjaan perubatan anggota CPF dan insan tersayang, serta boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat yang melindungi mereka daripada bil hospital yang besar dan rawatan pesakit luar bil hospital yang besar dan rawatan pesakit luar terpilih yang memakan kos tinggi.

Meluangkan masa untuk memahami skim-skim ini dengan lebih mendalam dapat membantu anggota CPF mengetahui sokongan yang tersedia bagi diri mereka dan keluarga.

Satu lagi kebimbangan yang kerap timbul adalah sama ada anggota CPF dan insan tersayang mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan. 

CPF LIFE menyediakan pendapatan sepanjang hayat buat warga emas apabila mereka mencapai umur 65 tahun, sekali gus memberi ketenangan fikiran menerusi sumber kewangan yang terjamin bagi keperluan harian.

Anggota CPF yang ingin meningkatkan simpanan persaraan boleh membuat tokokan tunai secara sukarela ke Akaun Khas atau Akaun Persaraan sendiri serta insan tersayang bagi menikmati bayaran bulanan CPF LIFE yang lebih tinggi.

Ini boleh dilakukan dalam jumlah kecil tetapi tekal, dan akan berkembang dalam jangka panjang.

Dengan membuat tokokan $100 setiap bulan selama 20 tahun, simpanan insan tersayang boleh meningkat kepada $36,300 melalui faedah kompaun, termasuk lebih $12,300 dalam faedah bebas risiko, berdasarkan kadar faedah minimum semasa sebanyak 4 peratus setahun.

Untuk makluman, Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah memutuskan bahawa faedah yang dibayar oleh Lembaga CPF ke dalam akaun anggota CPF tidak dianggap sebagai riba, memandangkan ia bukan keuntungan hasil daripada pinjaman, hutang atau pajak gadai.

Sebaliknya, ia dianggap sebagai satu bentuk hibah (hadiah) tanpa sebarang syarat.

Anggota CPF juga boleh menikmati pelepasan cukai sehingga $16,000 bagi tokokan tunai yang dibuat untuk diri sendiri dan insan tersayang.

Warga emas yang layak serta individu kurang upaya juga boleh menerima geran pemadanan daripada pemerintah sehingga $2,000 setahun, dengan had maksimum seumur hidup sebanyak $20,000 di bawah Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan.

Satu lagi pilihan adalah dengan memindahkan simpanan CPF ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan ibu bapa mereka.

Meskipun begitu, anggota CPF dinasihatkan agar mempertimbangkan rancangan perumahan dan persaraan mereka dengan teliti sebelum menentukan jumlah yang mereka mampu ketepikan.

Keperluan untuk mengimbangi antara komitmen semasa dengan jaminan masa depan ini turut merangkumi keputusan berkaitan perumahan.

Bagi mempermudahkan urusan penjagaan, anggota CPF boleh menggunakan simpanan CPF untuk membeli rumah berdekatan dengan ibu bapa yang semakin lanjut usia, atau membeli rumah yang lebih besar untuk tinggal bersama. 

Ini boleh dilakukan dengan memanfaatkan geran Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) seperti Geran Perumahan Berhampiran.

Namun begitu, mereka tetap perlu mempertimbangkan kemampuan kewangan serta keperluan pembiayaan perumahan secara teliti.

Ini kerana penggunaan simpanan CPF yang lebih tinggi untuk perumahan akan mengurangkan jumlah simpanan yang boleh berkembang bagi tujuan persaraan.

Perancangan untuk insan tersayang turut merangkumi langkah membuat penamaan CPF.

Langkah ini membolehkan anggota CPF menentukan bagaimana simpanan mereka akan diagihkan selepas mereka meninggal dunia.

Bagi anggota CPF Muslim, penamaan CPF diiktiraf di bawah Fatwa MUIS sebagai satu bentuk hibah. Ini membolehkan simpanan CPF diberikan sama ada kepada waris faraid mahupun bukan waris faraid.

Menjaga keluarga dan melindungi masa depan sendiri tidak sepatutnya menjadi dua matlamat yang bertentangan. 

Menerusi perancangan yang teliti, kita mampu melaksanakan kedua-duanya.

Anggota CPF boleh memanfaatkan pelbagai alat perancangan dan sumber di platform panduan kewangan sehenti ‘PLAN with CPF’ untuk membuat keputusan termaklum mengenai keperluan persaraan, perumahan, serta penjagaan kesihatan mereka.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web https://www.cpf.gov.sg/member/plan-with-cpf

Penulis merupakan Pengarah Kumpulan (Hubungan Pelanggan) di Lembaga CPF.

“

“Menjaga keluarga dan melindungi masa depan sendiri tidak sepatutnya menjadi dua matlamat yang bertentangan. Menerusi perancangan yang teliti, kita mampu melaksanakan kedua-duanya. Anggota CPF boleh memanfaatkan pelbagai alat perancangan dan sumber di platform panduan kewangan sehenti ‘PLAN with CPF’ untuk membuat keputusan termaklum mengenai keperluan persaraan, perumahan, serta penjagaan kesihatan mereka.”
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan