Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Lulusan PCICS teroka bentuk dakwah berbeza dalam industri media

Diumumkan semasa bahas belanjawan 2019, Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bertujuan membekalkan lulusan agama dengan kemahiran relevan untuk berkhidmat dalam sektor keagamaan dan meningkatkan pemahaman mereka mengenai cara mengamalkan Islam dalam konteks Singapura. BERITA MINGGU memaparkan dua asatizah yang lulus daripada program itu pada 2022.
Mar 05, 2023 | 05:30 AM



APABILA Covid-19 melanda, tidak dapat dinafikan cabaran yang membelenggu dunia. Saya juga tidak terkecuali.



Apakan tidak, sedang saya dan rakan-rakan sibuk mengulang kaji dan membuat persiapan untuk peperiksaan semester tahun akhir di Universiti Al-Azhar di Mesir, kami secara tiba-tiba menerima e-mel dari Kementerian Ehwal Luar (MFA).



Dengan virus Covid-19 semakin berleluasa pada akhir 2019, kami diberi pilihan untuk pulang ke tanah air ataupun kekal di Mesir. Keputusan pula harus dibuat dalam masa seminggu.



"Nak balik ke tak? Tinggal satu semester sahaja."



"Kalau tak balik sekarang, ada lagi ke penerbangan yang akan masuk untuk bawa kita pulang?



"Dah lima tahun dekat sini, rugi kalau nak balik. Takut-takut tak dapat habiskan ijazah."



Itulah perbincangan saya dan rakan serumah selama seminggu. Ia bukanlah suatu keputusan yang mudah dibuat. Pelbagai perkara perlu dipertimbangkan.



Mujur orang tua saya menggalakkan saya untuk pulang. Ijazah boleh dicari, nyawa hanya sekali, nasihat mereka.



Dengan berat hati dan penuh kerisauan, saya meninggalkan negara yang digelar tanah para Nabi.



Lega rasanya kembali ke pangkuan keluarga dengan keadaan dunia yang tidak menentu terutamanya di kemuncak Covid-19. Namun di balik minda, ijazah yang belum sempat dicapai sering difikirkan.



"Kehidupan perlu diteruskan, walau apa jua cabaran," detik hati. Pengumuman peperiksaan Universiti Al-Azhar dinanti hari demi hari. Ada desas-desus yang menyatakan bahawa peperiksaan akan tetap diteruskan secara fizikal. Ada pula yang menyatakan ia akan diadakan secara dalam talian buat pertama kali.



Sambil menantikan pengumuman tersebut disahkan, saya pun mula mencari pekerjaan sementara. Mujur ada teman yang merujuk saya kerja di sebuah kafe sebagai seorang barista. Walau bukan dalam sektor Islamik, hati berasa gembira dan seronok dapat ceburi industri yang saya minati.



Enam bulan kemudian, Universiti Al-Azhar membuat pengumuman mengejutkan.



Ia memutuskan untuk mengadakan peperiksaan secara dalam talian dalam masa seminggu. Huru-hara saya dan rakan-rakan dibuatnya.



Saya terpaksa berhenti kerja serta-merta. Belasan subjek harus dipelajari dan dihafal, termasuk empat juz Al-Quran. Alhamdulillah, walau bersengkang mata hingga larut malam, ijazah yang diimpikan akhirnya dapat diraih.



"Dengan ijazah dalam bidang Tafsir, sewajarnya saya selami bidang ini untuk memanfaatkan masyarakat Melayu/Islam tempatan."



Begitulah pendirian saya ketika mengambil jawatan sebagai eksekutif kurikulum dan ustazah di sebuah pusat pendidikan Al-Quran pada 2021.



Pada masa yang sama, Muis juga mendekati graduan lulusan institusi pengajian tinggi Islam luar negara untuk menjalani kursus Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) selama setahun.



PCICS merupakan satu keperluan bagi golongan graduan ini yang memohon bagi Peringkat 1 Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



PCICS, yang diumumkan pada 2019, bertujuan untuk mengukuhkan lagi graduan kepada prinsip dan tradisi hidup Islam, sambil bersikap progresif dan berpandangan ke hadapan dalam menangani cabaran kontemporari.



Muis telah bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) serta rakan luar negara seperti Universiti Al-Azhar dan Universiti Jordan untuk mengatur dan menyampaikan modul program tersebut.



Menggalas tanggungjawab sebagai guru mengajar tajwid dan Al-Quran pada siang hari dan kemudiannya sebagai pelajar pada waktu malam, ia bukan suatu yang mudah.



Sejujurnya, itulah permulaan tahun yang sangat mencabar, dengan pelbagai pengorbanan perlu dilakukan.



Pengorbanan terbesar adalah ketika saya diberi pilihan untuk menjalani latihan amali di bawah PCICS ataupun untuk menyelesaikan projek berasaskan kerja.



Seharusnya saya memilih pilihan kedua berdasarkan status saya sebagai ustazah sepenuh masa. Namun, apabila diberitahu adanya peluang menjalani latihan amali di Berita Harian (BH), ini meletakkan saya dalam keadaan dilema.



Patutkah saya mengorbankan pekerjaan sepenuh masa untuk menjalani latihan amali? Faktor seperti pemotongan gaji dan bagaimana ia tidak menjanjikan jawatan sepenuh masa juga dipertimbangkan.



"Peluang hanya datang sekali," nasihat keluarga. Akhirnya saya memutuskan untuk menyahut cabaran sebagai wartawan berbilang media di bilik berita BH, dengan harapan dapat meraih pengalaman baru walau bukan dalam sektor Islamik.



Pengalaman selama tiga bulan di BH mencipta kandungan menerusi tulisan dan media sosial merupakan suatu yang sukar dilupakan.



Adanya penyelia dan rakan kerja yang ikhlas membantu dan menyediakan maklum balas membina mendorong saya mempertingkatkan diri dengan pelbagai kemahiran.



Beberapa minggu sebelum berakhirnya latihan amali, saya ditawar peluang bekerja sepenuh masa bersama BH sebagai penyunting kandungan.



Menggalas tanggungjawab yang berlainan, kini skop pekerjaan termasuk menyunting, susun atur akhbar serta menulis tajuk berita yang menarik.



Dalam pada itu, saya juga ditugaskan menyumbang penulisan setiap bulan kepada kolum agama BH, Hidayah.



Hanya ketika bekerja sepenuh masa di BH, saya mula lahir penghargaan yang lebih mendalam atas ilmu yang diraih ketika berada di PCICS.



Sebenarnya, jika dibandingkan, apa yang dipelajari di PCICS banyak persamaannya dengan cara kerja di bilik berita.



Dalam menangani pelbagai isu agama, PCICS menekankan penggunaan konsep Maqasid Syariah. Secara umum, Maqasid Syariah - seperti yang diterangkan oleh ulama Usul Fiqh - merupakan makna dan tujuan yang dikehendaki syarak dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan manusia.



Program ini juga menekankan pentingnya menyesuaikan diri demi memenuhi keperluan masyarakat yang serba baru tanpa menjejaskan prinsip Islam.



Sebagai asatizah, di antara matlamat terpenting adalah untuk mengetengahkan isu kontemporari dan menanganinya dengan belas ihsan.



Isu kompleks seperti radikalisasi, hubungan silang agama dan masalah LGBTQ+ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer) juga dibincangkan antara pelajar PCICS.



Selain itu, pendekatan yang betul juga memainkan peranan dalam melakukan dakwah.



Begitu juga di bilik berita. Apa yang diterbitkan haruslah disemak dan tentunya tepat.



Isu-isu sensitif perlu didekati secara objektif dan berhati-hati. Ini memastikan kualiti kerja yang dilakukan tanpa menyinggung sebarang pihak.



Justeru, pendekatan sebegini sangat penting untuk menggapai kepercayaan pembaca.



Imbas kembali, sudah setahun saya berada di BH. Memutuskan untuk menukar kerjaya dalam industri media membuatkan saya sangat bersyukur sehingga hari ini.



Walau peranan utama bukan ditumpukan pada bidang agama, namun sedikit sebanyak dapat juga saya sumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam menerusi penulisan berasaskan agama.



Walau pelbagai pengorbanan telah dilakukan, ia membuahkan hasil ketika saya dinobat valedictorian bagi kohort ketiga PCICS baru-baru ini.



"Kita harus bersyukur atas peluang yang diberikan PCICS. Kini, marilah bersama kita tunaikan kewajipan sebagai asatizah, menjangkau dan mendalami pemahaman masyarakat untuk membawa perubahan berkesan dalam diri kita dan orang sekeliling dengan penuh keyakinan."



Begitulah nasihat saya semasa upacara penyampaian sijil PCICS yang berlangsung di Dewan Flower Field, Gardens by The Bay, Ahad lalu.



Dengan transformasi digital BH kini dipergiat, peranan saya juga bakal beralih sebagai penyunting digital.



Walau pelbagai perubahan dinanti, saya percaya transformasi ini akan menarik lebih ramai pembaca yang semakin selesa mendapatkan bahan berita secara dalam talian.



Usaha dan semangat menyesuaikan diri dengan tabiat pembaca ini juga boleh diterapkan kepada golongan asatizah.



Perlunya meningkatkan pemahaman dan kemahiran digital seperti trend dan data bagi mendekati masyarakat yang semakin moden.



Dalam peranan saya sebagai penyunting kandungan di BH, saya juga berharap dapat menjadi "suara" bagi golongan asatizah setempat.



Memberi pencerahan kepada pelbagai cabaran yang kami hadapi, seperti kekurangan gaji dan prospek pekerjaan, saya percaya banyak lagi usaha boleh dipertingkat dan diperhalusi untuk memanfaatkan golongan ini.



  • Penulis bertugas sebagai penyunting kandungan di Berita Harian/Berita Minggu. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda bidang tafsir dan usuluddin. Beliau juga merupakan ustazah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >