Apabila Cik Siti (bukan nama sebenar) membesar, beliau jarang mendengar atau bercakap tentang bapanya.
Menurut beliau, bapanya ketika itu dipenjarakan kerana kesalahan berkaitan dadah dan perihalnya jarang dibincangkan antara ahli keluarga selama bertahun-tahun lamanya.
Di sebalik keterasingan yang dirasakan, anak sulung tiga beradik itu bergelut dengan rasa malu dan tidak pasti.
Sekiranya di sekolah rakan-rakannya bercakap tentang topik dadah atau penyalahgunaan dadah, Cik Siti pastinya akan diam membisu.
“Ramai akan berkata orang yang mengambil dadah tak boleh berubah atau mereka yang mengambil dadah akan menjual dadah.
“Ini merupakan stigma yang ramai orang dalam masyarakat kita ada, tetapi ketika itu saya tidak berani untuk mengatakan apa-apa, kerana saya takut orang akan tahu latar belakang keluarga saya,” jelas Cik Siti, yang kini berusia 21 tahun, dalam satu episod podcast terbitan Berita Harian (BH), NoTapis.
Semasa sesi tersebut, beliau menjelaskan betapa pemikirannya berubah apabila keluarganya mula menerima bantuan daripada Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada 2005, iaitu 20 tahun lalu.
HGEF merupakan pertubuhan yang dibentuk pada 2005 sebagai memperingati jasa Allahyarham Harun Ghani, mantan Setiausaha Politik (Ehwal Dalam Negeri) dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.
Kini ia turut digerakkan oleh Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun – anak Allahyarham, khusus untuk membantu anak-anak daripada keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan jenayah.
Keluarga Cik Siti menerima sokongan kewangan yang membantu beliau menampung kos perbelanjaan bagi pengajiannya, sehingga peringkat politeknik dalam bidang seni.
Adik-beradiknya yang lain pula telah tamat pengajian di universiti serta sijil kejuruan Nitec.
Menurut Cik Siti, beliau rasa bersyukur dapat menerima sokongan kewangan dan menjelaskan betapa HGEF sebenarnya bukan sekadar bantuan kewangan, bahkan sistem sokongan yang membantu golongan sepertinya meningkatkan keyakinan sebagai anak muda.
Antara perkara yang beliau masih ingat dengan jelas, ketika abangnya menerima sebuah basikal daripada HGEF selepas menunjukkan prestasi baik di sekolah.
“Ia bukan sekadar hadiah.
“Ia petanda ada orang di luar sana yang percaya pada kami dan melihat bahawa keluarga kami juga penting (dalam masyarakat).
“Saya rasa saat itu, saya tidak keseorangan lagi dalam melalui perjalanan yang mencabar ini,” katanya sambil tersenyum.
Kini, anak muda itu sedang menanti masa untuk melanjutkan pengajian ke universiti dan berhasrat untuk kembali ke HGEF sebagai mentor.
“Dulu saya yang terima bantuan, sekarang saya mahu bantu orang lain pula.
“Kalau saya berjaya suatu hari nanti, saya nak berikan balik kepada orang lain, sama ada dalam bentuk wang atau masa, supaya mereka juga boleh menyimpan harapan yang sama,” katanya dengan tekad bulat.
Bagi Cik Haslinda, kisah seperti Cik Siti itulah yang menjadi sebab dana itu terus wujud.
Selama dua dekad, pertubuhan itu telah menyalurkan bantuan pendidikan, bimbingan mentor serta sokongan menyeluruh kepada lebih 4,000 kanak-kanak yang berdepan dengan cabaran sosial dan kewangan, akibat latar belakang keluarga yang kurang bernasib baik.
Baru-baru ini, lebih $1.3 juta berjaya dikumpul HGEF sejak ia ditubuhkan, demi membantu anak-anak daripada keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan jenayah.
Secara keseluruhan, lebih $819,000 telah diagihkan kepada pelajar peringkat sekolah rendah hingga universiti buat masa ini.
Pencapaian tersebut diumumkan Pengerusi Pengumpulan Dana HGEF, Profesor Madya Dr Rashid Tahir, dalam ucapannya semasa Acara Golf Amal dan Makan Malam HGEF di Orchid Country Club pada 7 Oktober.
Mengulas pencapaian itu, Cik Haslinda berkata tujuan pertubuhan itu dibentuk bukan sekadar memberi bantuan kewangan, malah bagi memastikan anak-anak pesalah dadah mendapat peluang untuk cemerlang dalam hidup mereka.
“Kami mahu berjalan seiringan dengan keluarga pesalah dadah, membantu anak-anak mereka membina semula keyakinan, temui suara mereka dan melihat masa depan mereka tidak ditentukan oleh masa lalu,” katanya.
Menurut Cik Haslinda, nilai yang diwarisi daripada bapanya terus menjadi panduan HGEF sehingga ke hari ini.
“Legasi yang kami mahu tanam bukan hanya untuk anak-anak pesalah, bahkan juga untuk anak-anak kami sendiri supaya mereka sentiasa membantu orang lain tanpa mengharap balasan.
“Itu yang ayah saya ajarkan dan itu yang kami cuba teruskan,” ujarnya.
Kini, semakin ramai penerima bantuan HGEF menyumbang semula kepada badan itu sebagai mentor dalam membantu generasi baru.
“Selepas 20 tahun, kami lihat mereka yang dulu dibantu kini membimbing orang lain.
“Itulah harapan kami. Mereka yang pernah ditolong kini menjadi sokongan buat yang lain,” kata Cik Haslinda.
“
Dulu saya yang terima bantuan, sekarang saya mahu bantu orang lain pula. Kalau saya berjaya suatu hari nanti, saya nak berikan balik kepada orang lain, sama ada dalam bentuk wang atau masa, supaya mereka juga boleh menyimpan harapan yang sama.“
Kami mahu berjalan seiringan dengan keluarga pesalah dadah, membantu anak-anak mereka membina semula keyakinan, temui suara mereka dan melihat masa depan mereka tidak ditentukan oleh masa lalu.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg