Sebagai seorang anak kecil, Cik Guy Ghazali, sering tidak selesa setiap kali gurunya mengajukan soalan klise, “Bila besar nanti, awak ingin jadi apa?”
Sementara rakan-rakannya yakin melontarkan cita-cita yang terbuku di hati untuk menjadi karyawan seperti guru atau peguam, mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Cik Guy, kini 43 tahun, tidak pernah ada jawapan.
“Saya tidak pernah mempunyai kerjaya impian atau idaman.
“Cita-cita yang saya ada lebih khusus dan umum supaya saya mempunyai kuasa untuk memilih jalan kehidupan saya.
“Tapi bila ditanya, saya selalu cakap saja saya ingin jadi doktor,” jelasnya seraya tertawa, dalam satu lagi episod siri podcast khas Berita Harian (BH), NoTapis Personaliti.
Episod pertama menampilkan penggiat seni, Rafaat Hamzah; manakala episod kedua pula mengetengahkan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari.
Episod ketiga pula mengetengahkan wawancara bersama mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
Siri empat episod itu mengetengahkan tokoh Melayu tempatan yang telah meninggalkan kesan bukan sahaja bagi masyarakat Melayu, bahkan Singapura secara keseluruhan.
Cik Guy, yang kini menggalas amanah sebagai Timbalan Pengarah Kanan (Dasar Sivil dan Perundangan) di Kementerian Undang-Undang, akur keraguan tentang masa depannya sendiri sangat berbeza dengan apa yang cuba diusahakannya kini.
Walaupun beliau dibesarkan tanpa tahu jalan yang bakal dilalui dalam hidup, beliau kini berpeluang memberi suara kepada kanak-kanak di mahkamah ketika mereka melalui kes kekeluargaan yang sulit dibicarakan.
Ditanya bagaimana timbulnya cita-cita menyertai bidang guaman, Cik Guy berkata idea menceburi bidang undang-undang tercetus disebabkan arwah bapanya, Allahyarham Ghazali Ismail, seorang usahawan.
“Mungkin kerana beliau melihat jurusan undang-undang adalah sesuatu yang sesuai kerana pembabitan saya dalam bahas dan sebagainya.
“Jadi saya pun mengambil keputusan untuk ceburi bidang tersebut dan ke rumah terbuka Sekolah Undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk mendalami lebih lanjut tentang bidang itu.
“Alhamdulillah saya mendapati bidang itu serasi dengan saya,” kata Cik Guy yang menganggap dirinya sendiri sebagai seseorang yang lebih suka menganalisis isu.
Baginya, cadangan tersebut adalah hanya permulaan.
Pada 2015, beliau ditugaskan ke Perkhidmatan Guaman Singapura sebagai Hakim Daerah dan Penolong Pendaftar Mahkamah Keadilan Keluarga.
Ketika dilantik sebagai Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura pada 2020, ia merupakan detik bersejarah kerana beliau adalah wanita pertama dipilih menerajui Mahkamah Syariah di Singapura.
Namun, Cik Guy menganggapnya sebagai satu perkara biasa kerana kepimpinan wanita di Mahkamah Syariah dalam jawatan lain sudah wujud sebelum ini.
Justeru, sepanjang perkhidmatannya, beliau berusaha membawa nilai berbeza dan diharap dapat menambah nilai pada fungsi dan peranan Mahkamah Syariah.
Antara perkara yang diterajuinya termasuk pembaharuan yang memberi tumpuan kepada suara kanak-kanak.
Bagi melakukan demikian, beliau dan pasukannya telah menubuhkan unit kaunseling dalaman atau ‘in-house’, wawancara bersama hakim dan kaunselor serta skim perwakilan anak.
“Bila kita bincang tentang peleraian masalah atau kes-kes kekeluargaan, terutamanya kalau ia melibatkan anak-anak, salah satu perkara yang penting diambil kira adalah suara anak-anak itu.
“Ia harus dilakukan dengan cara yang amat halus dan dengan cara yang betul kerana ia melibatkan kehidupan harian mereka serta hubungan mereka dengan kedua ibu bapa.
“Jadi ia harus dilakukan dengan cara yang betul supaya proses itu tidak melahirkan lebih banyak masalah untuk anak-anak itu,” jelasnya.
Menurut Cik Guy, usaha itu hanya berjaya dengan menggembleng tenaga daripada pelbagai pihak termasuk asatizah, pakar sosial dan kaunselor di mahkamah.
Sementara itu, walaupun mempunyai imej yang tegas sebagai mantan Hakim Daerah, Cik Guy sebenarnya seorang individu yang sederhana dan ‘chill’ (santai sahaja).
Sebagai ibu seorang anak perempuan remaja berusia 15 tahun, beliau bukan seperti yang disangka ramai.
“Ramai fikir saya tiger mum (ibu yang tegas) tapi saya bukan seperti itu.
“Saya seorang ibu yang ‘chill’ dan memberi ruang untuk anak saya meneroka kehidupan tanpa bertolak ansur terhadap nilai peribadi yang penting,” katanya.
Setelah menamatkan khidmat sebagai Presiden Kanan Mahkamah Syariah pada awal 2025, Cik Guy kini membentuk dasar dalam tugas barunya.
“Peranan saya sekarang adalah melihat sama ada undang-undang harus diperbaharui atau ditambah baik supaya sesuai dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah,” jelasnya.
Daripada seorang kanak-kanak yang pendiam tanpa cita-cita jelas kepada seorang hakim yang memastikan suara anak-anak diberi perhatian di mahkamah, perjalanan Cik Guy menjadi bukti bahawa empati dan keazaman mampu mengubah takrifan keadilan di Singapura.
“Saya harap sumbangan saya walaupun sekecil mana pun, telah menyumbang kepada penghasilan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat.
“Saya mahu dikenang sebagai seseorang yang sentiasa melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya dan melakukannya dengan empati,” tambah beliau.
“
“Bila kita bincang tentang peleraian masalah atau kes-kes kekeluargaan, terutamanya kalau ia melibatkan anak-anak, salah satu perkara yang penting diambil kira adalah suara anak-anak itu Ia harus dilakukan dengan cara yang amat halus dan dengan cara yang betul kerana ia melibatkan kehidupan harian mereka serta hubungan mereka dengan kedua ibu bapa.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg