Rasa ringan bahunya.
Sejak bersara dan meletakkan jawatan sebagai Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, kini hidup dengan lebih bebas, namun tetap penuh makna.
Tidak lagi terikat dengan protokol rasmi Istana, beliau kini menikmati hidupnya sebagai “rakyat biasa”.
Menurut Puan Halimah, yang baru menyambut ulang tahun ke-71 pada 23 Ogos, kehidupannya selepas persaraan memberinya sesuatu yang sekian lama tidak didapatkan iaitu kelonggaran.
“Sebelum ini, saya selalu harus berfikir tentang tugas yang saya ada pada keesokan hari.
“Adakah saya perlu menyambut diplomat asing, ketua negara lain atau membaca dokumen-dokumen?” katanya, yang kini Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Sekarang saya ada kebebasan untuk bergerak ke mana-mana saja.
“Ingin ke pusat membeli belah, pergi makan atau jalan-jalan.
“Tidak perlu ada pegawai keselamatan lagi,” katanya sambil tersenyum, dalam episod ketiga siri khas podcast Berita Harian, NoTapis: Personaliti.
Episod pertama menampilkan penggiat seni, Rafaat Hamzah; manakala episod kedua pula mengetengahkan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari.
Siri empat episod ini mengetengahkan tokoh Melayu tempatan yang telah meninggalkan kesan bukan saja bagi masyarakat Melayu bahkan Singapura secara keseluruhan.
Puan Halimah berkongsi antara perkara yang beliau kini bebas lakukan termasuk berjalan-jalan ke pasar untuk membeli barangan harian dan meluangkan masa bersama keluarga serta cucu yang sering dimanjakan.
Itulah tumpuan utamanya sekarang.
Pada masa yang sama, ibu lima anak dan nenek dua cucu itu kini turut menggunakan masa yang ada bersama rakan-rakannya.
“Teman-teman saya beritahu saya bila saya Presiden dulu, susah untuk keluar bersama saya.
“Jadi sekarang adalah masa untuk mereka ‘bayar balik’ masa yang sudah berlalu,” katanysa sambil ketawa.
Puan Halimah dipilih sebagai Speaker Parlimen kesembilan pada 2013 dan merupakan wanita pertama yang menyandang jawatan tersebut.
Setelah itu pula, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Presiden kelapan Singapura pada 14 September 2017 untuk tempoh enam tahun.
Sepanjang masanya sebagai Presiden, sebanyak lima cadangan pengeluaran rizab lalu telah dibuat, dengan sebanyak $39.7 bilion dikeluarkan bagi perbelanjaan pandemik Covid-19.
Beliau juga telah melakukan 12 lawatan negara termasuk ke Uzbekistan, Arab Saudi, Jerman, Belanda dan Kazakhstan.
Meskipun, sudah bersara sebagai ketua negara pada 2023, Puan Halimah tidak berehat sepenuhnya.
Puan Halimah dilantik sebagai Canselor SUSS pada Oktober 2023.
Sebagai canselor universiti tersebut, beliau memberi tumpuan kepada usaha memperjuangkan pembelajaran sepanjang hayat.
“Sekitar tiga suku pelajar-pelajar kita mempunyai pekerjaan mereka dan mereka teruskan pelajaran untuk meningkatkan kemahiran di pertengahan kerjaya,” katanya.
Puan Halimah dikenali sebagai individu yang lantang menyuarakan isu-isu yang dekat di hatinya.
Ini termasuk perihal kesihatan mental, golongan wanita, mereka yang sedang melalui program pemulihan dadah serta golongan rentan.
Menurutnya perjuangannya untuk membantu mereka yang memerlukan adalah prinsip yang dipegang sejak awal di Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), tatkala beliau memperjuangkan hak pekerja.
“Mereka yang tiada suara memerlukan seseorang untuk bersuara bagi pihak mereka,” ujarnya.
Kini, meskipun tidak lagi memikul amanah besar sebagai ketua negara, Puan Halimah tetap meneruskan misinya menggunakan kebebasan yang dimiliki untuk terus berkhidmat, dengan cara tersendiri.
Berkongsi harapannya untuk generasi muda, Puan Halimah berkata mereka harus ada pendirian sendiri.
“Tanya diri anda, apa tujuan dan impak yang ingin anda capai?
“Mungkin bukan untuk menjadi Presiden Singapura tetapi mungkin ada yang mahu menulis buku, menghasilkan karya sendiri atau mengubah sesuatu dalam masyarakat,” katanya.
“Tidak kira apa yang menjadi tujuan anda... itu akan menjadi arah tuju anda dalam masa akan datang,” tambahnya.
“
“Tanya diri anda, apa tujuan dan impak yang ingin anda capai? Mungkin bukan untuk menjadi Presiden Singapura tetapi mungkin ada yang mahu menulis buku, menghasilkan karya sendiri atau mengubah sesuatu dalam masyarakat. Tidak kira apa yang menjadi tujuan anda... itu akan menjadi arah tuju anda dalam masa akan datang.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg