Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua ayah inspirasi korban masa, kerjaya demi jaga isteri sakit

Penerima Anugerah Bapa Cemerlang dan finalis sempena Bulan Kebapaan Melayu/Islam anggap ujian hidup akrabkan hubungan keluarga
Sep 15, 2025 | 5:30 AM
Singapura, NoTapis, podcast, Anugerah Bapa Cemerlang, Bulan Kebapaan
Penerima Anugerah Bapa Cemerlang 2025, Encik Suyasman Yadoni (kanan), dan finalis Anugerah Bapa Cemerlang, Encik Mohamed Hussain Adam Shah (tengah), berkongsi pengorbanan mereka sebagai ayah sempena Bulan Kebapaan bersama hos dan penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selama lebih 30 tahun, Encik Suyasman Yadoni, gigih mencari rezeki sebagai jurutera marin untuk menampung kehidupan keluarganya.

Kerjaya itu membawanya ke merata dunia, menyeberangi lautan bagi melaksanakan pelbagai projek antarabangsa.

Kebiasaannya, beliau yang kini berusia 58 tahun juga akan berjauhan daripada keluarga berbulan-bulan lamanya.

Namun, segalanya berubah pada 2018 apabila isterinya, Cik Sarimah Mensari, 57 tahun, seorang suri rumah dan bekas setiausaha, mengalami jangkitan darah.

Keadaannya bertambah teruk dan pada 2020, beliau perlu menjalani pembedahan bagi memotong sebelah kakinya.

Ketika itu, Encik Suyasman membuat keputusan besar dan berani meninggalkan kerjaya selama tiga dekad demi menjaga isterinya secara sepenuh masa.

Itulah antara perkara menyentuh jiwa yang dikongsi Encik Suyasman, kepada podcast Berita Harian, NoTapis.

Bertempat di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 7 September, beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bapa Cemerlang 2025 sempena Bulan Kebapaan Melayu/Islam 2025.

Anugerah itu merupakan sebahagian inisiatif bagi menyanjung bapa penuh inspirasi.

Ia diusahakan gerakan Bapa Sepanjang Hayat dengan sokongan Pasukan Nakhoda di bawah naungan Pembangunan dan Jangkauan Pusat Kebapaan (CFF).

Inisiatif itu khusus bertujuan menjadi pendorong kepada bapa lain.

Encik Suyasman Yadoni (tengah) meninggalkan kerjaya yang dibina selama tiga dekad sebagai jurutera marin demi menjaga isterinya, Cik Sarimah Mensari (kanan), yang dilanda jangkitan darah sehingga perlu menjalani pembedahan memotong sebelah kakinya. Bersama mereka ialah anak sulung pasangan itu, Encik Abdurrahman Suyasman.
Encik Suyasman Yadoni (tengah) meninggalkan kerjaya yang dibina selama tiga dekad sebagai jurutera marin demi menjaga isterinya, Cik Sarimah Mensari (kanan), yang dilanda jangkitan darah sehingga perlu menjalani pembedahan memotong sebelah kakinya. Bersama mereka ialah anak sulung pasangan itu, Encik Abdurrahman Suyasman. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Itu adalah satu dugaan yang saya harus lalui sebab saya merupakan ketua dan pemimpin keluarga saya.

“Pada masa yang sama, saya ingin menunjukkan kepada anak-anak yang kita tidak boleh patah semangat dan harus berjuang bersama untuk melalui tempoh yang mencabar ini,” kata bapa dua anak lelaki berusia 19 dan 29 tahun itu.

Bukan itu sahaja, pada 2020, Encik Suyasman turut memikul tanggungjawab menjaga bapa mentuanya, Encik Mensari Ali, kini 86 tahun, yang terlantar sakit dan memerlukan jagaan rapi di rumah.

Sebagai penjaga utama bagi isterinya, bapa mentua dan anak-anaknya, beliau menggunakan wang simpanannya untuk membiayai segala perbelanjaan harian.

Ia termasuk urusan pendidikan bagi anak bongsunya yang berusia 12 tahun pada masa itu.

Bergelut dengan pelbagai peranan sebagai ketua rumah, Encik Suyasman berkata keluarganya perlu membuat banyak penyesuaian.

Rutin hariannya selepas berhenti kerja termasuk mengurus isterinya dengan memandikannya, membantu beliau bergerak dan memastikan ubat-ubatan diambil tepat pada waktunya.

“Ia bukan mencabar bagi saya saja.

“Bagi isteri saya, ia merupakan satu perkara yang baru di mana beliau kini memerlukan bantuan bagi perkara yang biasa dilakukan secara berdikari.

“Jadi bagi kami sekeluarga, ia sangat penting untuk memberi motivasi kepada isteri saya supaya beliau rasa selesa dalam kehidupan yang baru ini,” tambahnya.

Menurut Encik Suyasman, beliau turut membimbing anak-anaknya supaya tidak canggung membantu ibu mereka.

“Senang sama-sama, susah pun sama-sama,” pesannya kepada anak-anak.

Beliau mengajar mereka dengan cara praktikal iaitu melihat, mencuba dan memperbetulkan apa jua keadaan, sekiranya perlu.

Hasilnya, anak-anak lelakinya menjadi lebih matang dan tidak segan melakukan tugas menjaga ibu atau datuk mereka.

Seorang lagi bapa yang turut menyertai rakaman podcast NoTapis adalah Encik Mohamed Hussain Adam Shah, 75 tahun, seorang pesara dan bekas ketua pegawai keselamatan, yang merupakan finalis pertandingan yang sama.

Encik Mohamed Hussain Adam Shah merupakan salah seorang finalis bagi Anugerah Bapa Cemerlang 2025 sempena Bulan Kebapaan Melayu/Islam 2025.
Encik Mohamed Hussain Adam Shah merupakan salah seorang finalis bagi Anugerah Bapa Cemerlang 2025 sempena Bulan Kebapaan Melayu/Islam 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ketika beliau berusia 66 tahun pada 2016, Encik Hussain bersara daripada tugas sebagai pegawai keselamatan demi menjaga isterinya yang pernah mengalami angin ahmar dan kemurungan.

“Kadang-kadang, orang yang mengalami kemurungan mungkin tidak ingin teruskan hidup.

“Tetapi sebagai suami, kita harus bersemangat dan sabar dengan keadaan itu,” katanya.

Menceritakan kisah isterinya, Cik Zainabah Ahmad, 76 tahun, suri rumah, yang menjalani rawatan di hospital selama sebulan, Encik Hussain berkata ia adalah hari yang sangat menyedihkan baginya.

“Saya ingat lagi saya berada di masjid pada Jumaat dan saya menangis.

“Bila saya berfikir tentang isteri saya yang berada di hospital, saya rasa sedih sangat,” katanya.

Namun, beliau terus tabah, mengambil alih tugas rumah tangga sambil memastikan emosi isteri dan anak-anak terjaga.

Encik Hussain, bapa dua anak berusia 49 dan 54 tahun itu, menganggap cabaran mengambil alih tugas isteri di rumah adalah sebahagian daripada kehidupan.

“Kita harus ingat bagaimana dulu kita sayang beliau, sampai sekarang tidak boleh secara tiba-tiba tak ambil endah akan keadaannya.

“Kita tidak rugi pun kalau menjaga keperluannya sepenuh hati,” jelasnya.

“Ia bukan mencabar bagi saya saja... Jadi bagi kami sekeluarga, ia sangat penting untuk memberi motivasi kepada isteri saya supaya beliau rasa selesa dalam kehidupan yang baru ini.”
Encik Suyasman Yadoni, pemenang Anugerah Bapa Cemerlang 2025.

“Kadang-kadang, orang yang mengalami kemurungan mungkin tidak ingin teruskan hidup. Tetapi sebagai suami, kita harus bersemangat dan sabar dengan keadaan itu.”
Encik Mohamed Hussain Adam Shah, finalis Anugerah Bapa Cemerlang 2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg