Di media sosial, Encik Afiq Zayany Zainin, 30 tahun, kelihatan seperti sudah menemui formula bagi mencapai kehidupan yang diidam-idamkan.
Video yang yang menunjukkan beliau mampu meraih pendapatan sehingga $6,000 sebulan sebagai penghantar makanan bersama Grab, tular dan menarik perhatian ramai.
Netizen kagum melihatkan kesediaan Encik Afiq berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura untuk mencari rezeki tetapi tetap berupaya menikmati kehidupan di rumah sewa mewah yang terletak di Johor Bahru dan bernilai RM1.4 juta ($426,437).
Kerana video tersebut, sebilangan netizen teruja dan berangan-angan untuk melakukan perkara yang sama.
Namun, di sebalik singkapan kehidupan yang tampak glamor, wujud realiti kehidupan yang memerlukan disiplin dan pengorbanan.
Ia sesuatu yang Encik Afiq akur wajib perlu ada untuk berjaya.
Menurut warga Singapua itu, beliau sebenarnya tidak pernah terfikir untuk bekerja sebagai pekerja gig.
Sebelum ini, beliau pernah bekerja sebagai penasihat kewangan selama tiga tahun tetapi terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Keadaan ketika itu sangat mencabar kerana saya tidak dapat mengekalkan prestasi saya sebagai penasihat kewangan dan terpaksa mengundur diri daripada kerjaya tersebut,” katanya dalam satu episod NoTapis, podcast Berita Harian (BH).
“Saya hanya mempunyai Diploma dalam Pendidikan Luar Kelas (daripada Politeknik Republic) dan pilihan kerjaya saya sangat terhad untuk mendapatkan pekerjaan profesional lain dengan pendapatan yang tinggi.
“Jadi saya fikir, baik saya kerja Grab dulu dan simpan duit,” tambahnya.
Walaupun begitu, peralihannya untuk menceburi dunia kerja gig tidak mudah.
Seawal 5 pagi, Encik Afiq sudah bangun untuk menyeberangi Tambak sebelum matahari terbit untuk sampai ke Bukit Merah sekitar 6.30 pagi.
Kemudian, beliau akan menunggang lapan hingga sembilan jam setiap hari.
Bagi menampung kos kehidupannya, Encik Afiq berkata beliau sering bekerja sekitar enam hari seminggu.
Kemudian, beliau akan kembali ke Johor Bahru sekitar 4 petang untuk mengelak kesesakan di Koswe dan Pusat Imigresen.
Pada mata kasar, pendapatan sekitar $6,000 sebulan mungkin kelihatan cukup untuk Encik Afiq yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Ungku Alya Natasya Ungku Munif, 22 tahun, yang juga warganegara Malaysia, pada Januari lalu.
Namun, ada kos ‘tersembunyi’ yang perlu dibayar termasuk minyak, Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP), cukai jalan dan insurans motosikal yang digunakan bagi tujuan pekerjaan yang berjumlah sehingga $700.
Semua itu perlu dibereskan, selain sewa rumah RM1,800 ($546.96) serta barangan keperluan harian lain.
Selain beban kewangan, tubuhnya juga menanggung tekanan.
Encik Afiq berkongsi beliau juga menghidap gout, dan serangan kadangkala boleh membuatnya tidak mampu bekerja sepanjang seminggu.
“Apabila gout menyerang, nak jalan pun susah, apatah lagi nak bawa motor.
“Tapi bil tetap perlu bayar. Sebab itu saya selalu pesan pada penghantar makanan lain, mereka harus ada simpanan.
“Kalau tidak, seminggu sakit bermakna seminggu tidak ada gaji dan ini adalah perkara yang agak sukar bagi kami,” katanya.
Bagi mengelak daripada mengalami tekanan kewangan, anak sulung dua beradik itu berkongsi beliau memastikan dirinya menyimpan sebahagian pendapatannya untuk keperluan kecemasan dan bagi pelaburan masa depan.
Lebih daripada itu, beliau juga percaya pekerja gig mesti meningkatkan kemahiran supaya terbentang lebih banyak peluang pekerjaan dalam masa akan datang.
Baru-baru ini, beliau mengikuti kursus pemasaran digital dan mula mempraktikkan kemahiran itu dalam penghasilan video di YouTube.
“Melalui kursus itu, saya belajar cara menarik perhatian orang ramai di media sosial.
“Saya rasa disebabkan kemahiran baru itu, video yang saya terbitkan di media sosial menjadi tular,” katanya seraya ketawa.
Namun di sebalik populariti itu, Encik Afiq berkongsi beliau bimbang apabila ramai anak muda ingin meniru gaya hidupnya.
“Saya rasa tertekan juga sebenarnya, takut mereka ikut dan menyesal.
“Nampak macam mudah tapi sebenarnya banyak pengorbanan dan disiplin yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa tugas selaku penghantaran makanan hanya langkah sementara, bukan jalan hidup yang kekal.
“Saya tidak mahu orang anggap hidup begini mudah.
“Memang nampak mewah di dalam talian tetapi terdapat risiko yang tinggi dalam pekerjaan ini.
“Ini bukan pekerjaan selamanya tetapi hanya sementara,” jelasnya, sambil menggalakkan orang ramai supaya memanfaatkan peluang meningkat kemahiran melalui kursus sedia ada.
Kini, Encik Afiq merancang masa depannya bersama isteri.
Mereka sedang menabung untuk membeli rumah di Johor Bahru serta menanti peluang untuk memiliki flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Singapura apabila beliau menepati syarat usia yang ditetapkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Pasangan itu juga bercadang memulakan dua perniagaan kecil, iaitu dalam bidang kecantikan buat isterinya dan jualan makanan untuk Encik Afiq.
“Dengan pengalaman yang saya peroleh daripada kursus ini, saya berharap dapat merebut peluang lain untuk mengembangkan perniagaan saya pada masa akan datang,” ujarnya.
“
Saya tidak mahu orang anggap hidup begini mudah. Memang nampak mewah di dalam talian tetapi terdapat risiko yang tinggi dalam pekerjaan ini (kerja gig).

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg