Sesi Perantara ‘Interlude’ Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) di Singapura pada 1 hingga 2 September 2026 berlangsung ketika prinsip antarabangsa semakin terhakis, banjir besar memusnahkan kehidupan, penyakit merebak dan konflik tercetus di merata tempat.

Namun, kemajuan tetap terserlah di sebalik pelbagai cabaran. Pembentangan yang jelas dan jujur mengenai cabaran tersebut turut memperlihatkan pendekatan dasar baharu yang menjanjikan.

Kini tiba masanya untuk membayangkan semula jalan menuju masyarakat pelbagai dan bersatu padu yang kita tahu mampu diwujudkan.

Persidangan itu merupakan sebahagian daripada usaha ICCS yang diterajui Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), dengan sokongan pemerintah Singapura.

Dilancarkan pada 2019, usaha ICCS ini merupakan “langkah strategik jangka panjang yang menghimpunkan cendekiawan dunia, tokoh akademik serta pemimpin badan masyarakat dan agama untuk membina masyarakat yang lebih kukuh, bersatu padu dan berdaya tahan”.

ICCS banyak memberi tumpuan kepada rantau ini, khususnya negara Asean.

Namun, ucaptama oleh mantan Perdana Menteri New Zealand, Cik Helen Clark, membawa pandangan lebih luas dan menekankan keperluan mendesak untuk membina ruang baharu yang merangkumi pelbagai agama dan budaya.

Beliau bertanya: “Berapa banyak lagi tragedi harus kita saksikan sebelum bertindak?” lalu menyeru semua pihak agar “bangkit dan mengambil tindakan”.

Ketika kebimbangan semakin memuncak terhadap pelbagai krisis serentak, perpecahan, jurang sosial dan kemerosotan kepercayaan, Sesi Perantara ‘Interlude’ ICCS mengetengahkan peluang dan ancaman yang wujud seiring kepelbagaian (pluralism).

Tema utama ICCS menekankan bahawa kepelbagaian budaya (multiculturalism) bukanlah sesuatu yang telah berlalu, sebaliknya adalah hakikat kehidupan bermasyarakat yang tidak dapat dielakkan, malah sebahagian besarnya membawa kesan positif.

Namun, perubahan pemikiran dan dasar diperlukan agar pluralisme tidak terhenti pada kepelbagaian penduduk dan sikap “toleransi secara terpaksa” (grudging tolerance), sebaliknya menuju kepada kehidupan bersama yang mengiktiraf perbezaan demi kepentingan bersama.

Cabaran ‘pemikiran semula’ adalah menumpukan perhatian kepada kepentingan bersama sambil memahami halangan yang dihadapi.

Ini turut memerlukan langkah khusus untuk memberi perhatian kepada mereka yang paling mudah tercicir.

Tiga bidang utama saling berkait sepanjang perbincangan: memahami cabaran pemikiran tentang kepelbagaian budaya, membentuk tanggapan terhadapnya serta menerapkan pemahaman tersebut dalam dasar dan tindakan.

Satu tema utama ialah penelitian terhadap pelbagai indeks kesepaduan sosial, iaitu ukuran untuk menilai keharmonian masyarakat, mengesan ketegangan dan jurang serta memantau perubahan dari semasa ke semasa. 

Penggubal dan pakar dasar memerlukan sistem pemantauan untuk menilai ketegangan sosial, ekonomi dan politik serta kemajuan yang dicapai. 

Persidangan ini menampilkan indeks di peringkat negara, antarabangsa dan tempatan untuk menjejaki kesejahteraan manusia, termasuk dari Australia, Canada, Jerman, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan Korea Selatan.

‘Sistem pemantauan’ semakin penting ketika dunia berdepan pelbagai konflik, cabaran terhadap prinsip demokrasi, politik yang meraih sokongan rakyat biasa (populisme), kebangkitan gerakan nasionalis sayap kanan serta kelemahan kontrak sosial (persefahaman tentang hak dan tanggungjawab bersama).

Setiap keadaan berbeza dan perlu diteliti dengan pendekatan yang sesuai.

Persidangan itu turut menunjukkan kesukaran menetapkan maksud yang tepat bagi istilah seperti pluralisme, multiculturalism dan penyepaduan kerana setiap istilah ditafsirkan secara berbeza mengikut keadaan.

Pluralisme

Pluralisme bukan sekadar mengiktiraf kepelbagaian penduduk, malah, perlu disertai perpaduan yang membina hubungan antara kelompok berbeza melalui sikap saling menghormati dan mengambil berat, di samping menangani jurang ekonomi.

Masyarakat majmuk memerlukan institusi dan prinsip yang mampu mengurus perbezaan pendapat, melindungi hak dan mengekalkan kontrak sosial.

Pluralisme agama pula menimbulkan persoalan tersendiri. Sejak awal, ICCS meneliti kedudukan agama dalam dasar masyarakat bersatu padu. 

Dalam kehidupan harian, agama hampir tidak dapat dipisahkan daripada budaya, namun perbezaan agama turut membawa cabaran berkaitan tuntutan kebenaran, sejarah dan identiti warisan. 

Globalisasi semakin merapatkan hubungan antara masyarakat yang berbeza, menjadikan persoalan pluralisme semakin penting.

Dalam keadaan ini, pluralisme membuka ruang kepada kebebasan, tetapi juga boleh menggugat kepastian dan ikatan yang telah lama terbina.

Manusia dapat menggunakan kebebasan secara positif apabila mempunyai suara, rasa aman, pengiktirafan sosial dan hubungan yang bermakna. 

Namun, apabila mereka berasa terasing dan tidak berdaya, identiti yang berteraskan kuasa mutlak (authoritarian) menawarkan kepastian, rasa mudah diterima dan rasa lega daripada tanggungjawab.

Siri Forum Berkley baru-baru ini, ‘Religious Pluralism in an Age of Crisis’ (Pluralisme Agama dalam Era Krisis), menegaskan bahawa pluralisme bukan sekadar kehidupan bersama penganut agama berbeza, malah, suatu pencapaian politik, teologi dan sosial yang sukar diwujudkan.

Pluralisme menuntut masyarakat mengimbangi tuntutan kebenaran sejagat, hak individu yang sama rata, identiti bersama, kewibawaan institusi dan rasa menjadi sebahagian daripada negara. 

Pluralisme membawa manfaat penting, tetapi turut menimbulkan dilema yang tidak dapat diselesaikan hanya dengan sikap saling menerima atau perlindungan undang-undang.

Tanggapan

Tema kedua ialah tanggapan masyarakat. 

Pemahaman masyarakat tentang dirinya tidak semestinya sejajar dengan hakikat berdasarkan bukti.

Seseorang mungkin hanya melihat secebis daripada gambaran keseluruhan, malah pandangannya boleh dipengaruhi maklumat palsu. 

Jurang antara tanggapan dengan hakikat ini amat ketara dalam isu imigresen.

Tanggapan masyarakat terhadap migrasi dan pendatang boleh bercanggah dengan bukti tentang skala, kesan serta manfaatnya terhadap budaya dan ekonomi. 

Banyak negara memerlukan imigresen atas faktor penduduk dan ekonomi, namun pemerintah tetap menghadapi tentangan. 

Memahami tanggapan ini turut memerlukan perhatian terhadap penyampaian maklumat, kepimpinan, rangkaian kisah (naratif), Internet dan kecerdasan buatan (AI).

Dasar

Persidangan turut membincangkan dasar dan tindakan untuk memperkukuh perpaduan sosial.

Usaha ini memerlukan penyertaan akar umbi bermula daripada keluarga dan sekolah, disokong kepimpinan negara melalui badan nasional, serantau dan pelbagai hala.

Pendekatan ini turut diterapkan melalui Forum Antara Agama Kumpulan 20 (G20), termasuk Program Kefahaman Agama Rentas Budaya (Cross Cultural Religious Literacy Programme) Indonesia yang menyasarkan pelajar sekolah menengah.

Sebaik-baiknya, penggubal dasar dapat mengesan petunjuk awal masalah sosial seperti kemerosotan pencapaian pendidikan, konflik setempat, perubahan corak kematian atau kadar bunuh diri sebelum tercetus krisis. 

Walaupun belum ada sistem yang sempurna, indeks dan kaedah pengukuran menjadi titik permulaan penting.

Kefahaman agama dan budaya juga boleh diperkukuh.

Perbincangan mengenai ‘mamakization’ di Malaysia, iaitu budaya bergaul secara santai antara pelbagai kelompok di kedai mamak, menunjukkan bagaimana pergaulan harian dapat merapatkan hubungan dalam masyarakat.

Petunjuk serta sokongan masyarakat dan negara penting dalam menghadapi perubahan pesat.

Penggubal dasar tidak boleh menganggap penyelesaian bagi krisis lalu akan sesuai untuk krisis seterusnya.

Kesimpulan

Hasil pemikiran daripada persidangan ini perlu diterapkan dalam dasar dan tindakan, daripada keluarga dan sekolah hingga peringkat negara, serantau dan pelbagai hala.

Kefahaman agama dan budaya, indeks atau petunjuk yang lebih tepat tentang perubahan dalam masyarakat serta penilaian terhadap pendekatan yang berkesan atau tidak merupakan langkah penting.

Data dan naratif perlu saling melengkapi untuk memahami keadaan masyarakat serta cara masyarakat melihatnya.

Seorang diplomat Singapura menyifatkannya sebagai ‘prinsip Singapura’, iaitu usaha untuk sentiasa melakukan dengan lebih baik, selaras dengan semangat ICCS untuk terus belajar dan mencapai kemajuan.

Singapura sebagai pengerusi Asean pada 2027 berpeluang mengangkat pendidikan dan perpaduan sosial sebagai keutamaan serantau.

G20 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyediakan saluran untuk bertindak.

ICCS pula menjadi wadah untuk menilai dasar yang berkesan atau sebaliknya, berkongsi pengajaran dan membentuk pendekatan bagi mencapai kemajuan.

ICCS ‘Interlude’ menegaskan bahawa perpaduan sosial bukan sesuatu yang dicapai sekali lalu kekal selamanya.

Ia memerlukan perhatian berterusan terhadap perubahan hakikat, penilaian jujur tentang pendekatan yang berkesan serta badan yang mampu bertindak sebelum krisis tercetus.

Soalan yang menjadi pendekatan Singapura, “Apa yang boleh kita lakukan dengan lebih baik?”, menggambarkan cabaran dan harapan dalam usaha memikirkan semula multiculturalism pada zaman yang tidak menentu.