Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Fotografi bukan sekadar tentang kamera sahaja...

Jun 04, 2023 | 05:31 AM



FOTOGRAFI mempunyai tempat istimewa di hati saya. Saya memang menggemari bentuk seni itu sejak saya masih kecil.

Malah, kali pertama saya memetik gambar adalah ketika saya berumur empat atau lima tahun, menggunakan kamera pakai buang ayah saya.

Apabila saya dapat kamera sendiri ketika saya dalam sekolah menengah, saya teruja dan tidak sabar memetik gambar, tidak kira gambar orang, objek atau haiwan.

Saya juga menyertai kelab foto di sekolah menengah saya sebagai kegiatan kokurikulum (CCA) untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran teknikal.

Seronok betul mempelajari tentang pelbagai kamera dan lensa, serta prinsip asas fotografi seperti kelajuan pengatup (shutter speed), apertur, dan sensitiviti cahaya (ISO).


KEMAHIRAN INSANIAH

Fotografi perlahan-lahan menjadi hobi saya dan telah mengajar saya beberapa kemahiran insaniah sejak 15 tahun yang lalu – terutamanya kesabaran dan komunikasi.

Satu genre fotografi saya gemari adalah ‘street photography’ atau fotografi jalanan – satu amalan fotografi di mana jurugambar merakam orang dalam kehidupan seharian di tempat awam.

Jurugambar fotografi jalanan biasanya bertujuan merakam detik spontan, biasanya tanpa pengetahuan subjek, untuk memetik mereka dalam keadaan yang paling sahih.

Ini bermakna saya tidak mengarahkan subjek melakukan sesuatu dan sebaliknya akan menanti mereka melakukan sesuatu yang menarik secara semula jadi.

Sejujurnya, banyak kali penantian tidak berbaloi kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk sepuluh hingga lima belas minit.

Dengan rasa kecewa, saya akan beralih ke subjek berpotensi seterusnya dan mengulangi proses menunggu. Ia mengajar saya untuk banyak bersabar dan menguruskan jangkaan saya – sesuatu yang saya menerapkan kepada kehidupan seharian saya.

Selain daripada kesabaran, fotografi juga mengajar saya bagaimana untuk berkomunikasi dengan pelbagai jenis orang.

Saya pernah berpeluang bekerja sebagai jurugambar perkahwinan bebas dan salah satu cabaran adalah mengarah pasangan pengantin bagaimana untuk bergaya apabila bergambar.

Kadangkala, pengantin janggal atau rasa kekok apabila berhadapan kamera jadi saya perlu membuat mereka rasa selesa dengan kata-kata semangat atau memberi pujian apabila mereka melakukan sesuatu dengan baik.

Yang ada pengantin pula terlalu ekspresif sehingga mereka kadangkala tidak mengikut arahan. Bagi mereka, saya perlu tegas tetapi pada masa yang sama, tidak hingga ke tahap biadap.

Melalui fotografi, saya mempelajari cara berkomunikasi dengan orang berbeza dan memperhatikan bahasa badan seseorang untuk mengenal pasti personaliti mereka – sama ada dia peramah atau pemalu, jengkel atau tenang dan lain lagi.

KENANGAN TERINDAH

Fotografi juga merupakan alat berkesan untuk mengekalkan memori terindah dan membolehkan kita mengenang peristiwa lama yang mungkin menimbulkan emosi dan nostalgia.

Misalnya, acara istimewa seperti sambutan hari lahir, graduasi sekolah, dan majlis perkahwinan adalah peristiwa gembira yang berlaku setahun sekali atau sekali dalam kehidupan kita dan selalunya melibatkan orang-orang tersayang seperti keluarga dan kawan rapat.

Sebagai manusia, kita adalah makhluk beremosi, justeru normal untuk kita mengimbas kembali kenangan tersebut kerana ia membuat kita gembira dan dibawa ke masa dahulu, seolah-olah mengalami peristiwa itu buat pertama kali.

Di zaman digital ini, gambar orang tersayang yang sudah meninggalkan kita dapat dikekalkan selama-lamanya dalam bentuk gambar.

Saya kerap merenung gambar-gambar arwah nenek saya apabila saya merinduinya dan kadangkala tidak sedar yang saya tersenyum sendiri apabila mengenang kembali masa-masa indah bersamanya.

Satu-satunya penyesalan saya ialah tidak mengambil lebih banyak gambar dengan arwah nenek saya ketika kita membuat pelbagai kegiatan bersama.

Gambar tersebut bukan sahaja untuk kenangan saya, malah alat sesuai digunakan bagi memberitahu kisah arwah nenek kepada anak-anak saya pada masa depan.

Akhir kata, fotografi telah memperkayakan hidup saya dan saya tidak dapat membayangkan hidup tanpa sebuah kamera sekarang.

Yang bagusnya, kita tidak perlu mempunyai kamera mahal untuk menceburi seni ini kerana kamera dalam telefon sudah cukup canggih dan boleh digunakan dalam kehidupan harian.

Bagamainapun sebagai pecinta fotografi, saya akan tetap mengikuti perkembangan kamera dan lensa terkini tetapi seni ini adalah lebih daripada hanya kamera dan lensa.

Ia adalah satu bentuk seni yang memupuk kemahiran dan juga merupakan pintu masuk ke masa lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >